18 dan 19 Febuari 2012, iaitu beberapa hari yang lepas, Aku mengikuti bengkel kurator, 'So you want to be a young curator'. Bertempat di HOM, dan di bawah tunjuk ajar Hendra Himawan.
Sebelum aku menghadiri program ni, apa yang aku tahu mengenai 'curator' ialah, seseorang yang menggantung artwork di galeri. Selebihnya, aku tak tahu apa curator buat, apa pentingnya curator dan apa sebenarnya fungsi curator dalam art scene. Serius, aku memang tak tahu. Bagaimana aku boleh tertarik untuk pergi sedangkan aku tak tahu apa-apa? ~Sebab perasaan ingin tahu aku tinggi sangat. "Mengapa sampai ada bengkel kurator? Mesti kurator ni lebih dari sekadar gantung artwork" Benar, begitulah fikiran aku pada mulanya. Datang kerana perasaan ingin tahu, bukan kerana minat.
Hari pertama hadir sudah cukup buat aku buka mata. Selama ini aku memandang sesebuah karya dari sudut pandangan artist yang menghasilkan karya tersebut saja. Tak pernah terfikir mengenai persekitaran karya tersebut. Pameran, galeri, orang yang turut menjayakan sesebuah pameran, orang yang cuba menyampaikan mesej sesebuah karya kepada audience. Tak pernah terfikir pun.
Apabila aku dapat tahu bahawa kurator mencatit sejarah art scene di sesebuah negara, barulah aku sedar, bidang ini berkait rapat dengan subjek minor aku, Liberal Studies. Malah, tugas kurator yang menghuraikan karya secara visual juga adalah apa yang aku pelajari dalam kelas liberal. Kini aku boleh senyum. Tak sia-sia aku ambil minor liberal.
Menggigil lutut aku apabila peserta lain semuanya dari galeri-galeri. Ada juga yang dari Balai seni. Aku dan dua orang lagi rakan ku sahaja yang merupakan pelajar. Tapi perbezaan begini bukan sesuatu yang buruk. Aku belajar banyak benda dengan hanya mendengar perbualan mereka.
Apabila peserta-peserta dibahagikan dalam kumpulan, aku berkenalan dengan ahli kumpulanku. Sejujurnya, aku tak menyumbangkan apa-apa kepada kumpulanku. Mereka terlalu hebat.Tak sempat aku berfikir, mereka sudah dengan pelbagai idea. Malah idea mereka hebat-hebat. Bila difikirkan, tentu kerana mereka sudah biasa melihat atau mengadakan pameran. Oleh itu, aku senyap sahaja. Pernah dengar peribahasa; air berkocak tanda tak dalam? Itulah sebabnya aku senyap. Aku tak nak berkocak, nanti kelihatanlah diriku bagai air yang tak dalam. Betulkan? Tapi, senyap juga menampakkan aku kurang ilmu. Tapi tak kisahlah. Mendengar perbincangan mereka saja boleh menambahkan ilmu ku yang kurang ini. Ahli kumpulanku baik, mereka nampak aku kurang faham dan mereka menjelaskan satu persatu kepadaku. Yelah, mereka tahu aku masih seorang student.
Setiap kumpulan membentangkan idea masing-masing. Selepas itu soal jawab dengan kumpulan yang membentang. Dalam sesi ini, aku nampak. Para peserta semuanya golongan bijak pandai. Setiap perbincangan kebanyakannya benda yang aku tak pernah terfikir.
Satu kata-kata Hendra Himawan yang cukup meninggalkan kesan kepadaku: "Jangan pernah memandang remeh kepada sesebuah pameran. Kerana dalam satu pameran mengandungi jiwa dan fikiran pengkarya, dan mereka yang terlibat dalam menjayakan pameran" Lebih kurang begitulah ayatnya. Aku tak ingat sebijik-sebijik. Tapi, ia cukup tinggalkan kesan kerana selama ini aku hanya fikir: "Jangan memandang remeh kepada sesebuah karya." Beza bukan? Aku hanya memikirkan karya, tapi tak terfikir dari sudut pameran.
Apabila segala-galanya telah tamat, aku berfikir macam-macam dalam perjalanan pulang ku. Tak sia-sia aku mengikuti program ini. Aku sedar sesuatu. Satu lagi pintu dihadapanku terbuka. Kini terpulang pada ku adakah aku mahu melalui pintu itu atau tidak. Buat masa ini, aku tak mahu melalui pintu itu. Tapi masa depan, siapa tahu..
*Semua gambar diambil dari HOM.
Satu ulasan/artikel yang menarik.
ReplyDelete