Beberapa hari kebelakangan ini, aku banyak cerminkan kembali sikap aku. Aku terlalu letak target yang tinggi untuk diri sendiri, malah dengan prinsip aku seorang yang kuat, mampu hidup sendiri. Yalah, lihat sahaja azam tahun baru aku. (Boleh baca di sini) Ada tertulis mahu jadi kuat, dan mahu kerja keras. Kedua-dua azam ini aku laksanakan bermula awal tahun lagi. Namun, aku terlupa salah satu azam aku, iaitu "sayangi diri sendiri". Aku kerja keras. Siang bekerja jadi storyboard artist untuk sebuah company. Malam hari, buat kerja-kerja lain terutamanya komik. Sehingga rakan serumah kata padaku: "Amna ni workaholic". Tak sangka pula aku sudah capai level workaholic di mata orang. Aku tak sedar. Sebab bagi ku, kerja di malam hari semuanya adalah kerja-kerja yang aku minat. Jadi aku tak sedar bahawa aku sedang bekerja. Sudah jatuh demam ini, barulah aku mahu menyalahkan diri ku. Mengapa aku lupa untuk sayangi diri sendiri? Tinggal jauh dari keluarga, duduk bilik sewa seorang diri, aku hanya miliki diriku untuk menjaga aku.
Bercakap mengenai menjadi kuat, aku berani kata bahawa aku seorang yang kuat. Bukan secara fizikal. Secara fizikal, aku ni kecil dan lemah saja. Tapi kekuatan kecekalan ku. Pedulilah jika sesiapa yang baca ni mahu kata aku perasan seorang diri. Cuma aku yang tahu apa yang telah aku lalui. Empat tahun sejak menamatkan degree, pelbagai perkara telah aku tempuhi, lalui dan belajar. Aku salah kerana tidak pernah beri pujian kepada diri sendiri. Sentiasa memaksa diri ku tempuh pelbagai benda, sentiasa letakkan target yang tinggi untuk diri sendiri kejar. Amna, rehat lah sekejap. Aku tahu kau kuat. Tak perlu buktikan kepada sesiapa. Kau kuat.
Lukisan menunjukkan, kerja keras demi sesuatu
yang aku terlalu impikan. Tolong doakan semuanya
dipermudahkan ya?
Apabila demam, sisi manja ku menjelma. Aku bukan manja. Sikit pun tidak. Tapi bila demam, entah mengapa akan begini. akan jadi manja, dan sunyi. Lalu aku mengadu pada seseorang yang aku panggilnya dengan gelaran 'adinda', walau dia bukan adik kandung ku. Apabila adinda nasihat minum air dan sebagainya, aku balas, "Jangan risau, kanda kuat". Lepas tu dia menjawab: "Kekanda memang seorang wanita yang kuat"
Mendapat pujian 'kuat' daripada seseorang yang bukan diri ku sendiri, ada satu perasaan luar biasa menjelma. Hati rasa berbunga-bunga, tapi dalam masa yang sama rasa semacam nak tumpah empangan air mata.
Nampaknya, aku masih lemah.