Friday, January 29, 2016

Kanak-kanak


Beberapa hari lepas, semasa aku sedang belek-belek buku di sebuah kedai buku, seorang kanak-kanak perempuan meluru ke arah rak patung Barbie dan menyebut: "Uuu.. Barbie.." Kemudian diikuti oleh adiknya, "Uuu.. Barbie.." Dalam bayangan aku, aku pun nak sertai sebut: "Uuu.. Barbie.." Ya, dalam bayangan sahajalah. Tak buat betul-betul.

Aku perasan, diri aku ini selalu tertarik dengan banyak perkara yang kebudak-budakan. Kalau kedai permainan, kedai lego, aku masih lagi masuk. Masuk cuci mata saja lah. Tak beli apa-apa pun. Kalau di pesta buku, aku satu-satunya makcik tua yang berhimpit himpit dengan kanak-kanak kat bahagian komik. Aku cuba sedapkan hati aku.. Alaa Amna, kau suka permainan sebab kau kan dalam bidang kartun. Permainan dan kartun kan saling sangkut paut. Rupa permainan tu kan seperti watak-watak kartun. Kalau komik tu pula, normal lah. Kau kan pelukis komik, kenalah minat komik. Ayat aku menyedapkan hati sendiri.

Aku suka kanak-kanak. Setiap kali aku ternampak kanak-kanak, aku mula lah terbayang.. Agaknya pada umur berapakah aku akan dapat anak? Anak aku nanti comel macam aku tak? *ehem..ehem.. abaikan ayat ni* Kalau tak comel pun, tak apa. Tu mesti sebab bapak dia tak comel. *siapa entah bapak dia* Adakah dia sopan dan pendiam atau bising dan aktif? Mana-mana pun aku suka. Tapi, satu benda yang buat aku berhenti angan-angan tu sebab.. Hei, aku sendiri masih kanak-kanak. Macam mana nak didik anak?

Pernah tak semasa kecil, anda fikir bahawa orang dewasa itu membosankan? Aku selalu fikir begitu dahulu. Jadi apabila umur mencecah dewasa, ada suara kuat dalam diri ni yang menjerit: "Tidak !!!!" Kawan-kawan sekitar aku semua sudah jadi dewasa. Lepas seorang, seorang kahwin. Adik-adik aku sendiri sudah menjadi lebih matang dari aku. Bukan setakat matang, malah mereka adalah orang-orang yang berjaya. Aku masih di sini, tidak kecapi apa-apa kejayaan, duduk di rumah melukis komik sahaja. Aku bukan nak jadi seperti mereka pun. Aku memang mahu jadi begini sahaja. Ini adalah cita-cita aku. Duduk di rumah bersama kedua ibu bapa, dan aku hanya melukis. Alhamdulillah cita-cita menjadi kenyataan. Cuma, selama mana lagi aku mampu jadi begini? Nanti orang kata aku ni tiada masa depan pula.  Ceh.. Masa depan? Aku tak dapat bayangkan langsung masa depan aku bagaimana. Aku cuma mahu meninggal dunia dalam keadaan tanpa dosa langsung. Seperti seorang kanak-kanak. Bunyinya mustahil ya? Kerana aku cuma manusia biasa yang penuh dosa juga. Tapi, alang-alang dah tulis di sini, mari ramai-ramai doakan aku. "Ya Allah, biarlah aku mati nanti dalam keadaan tanpa dosa.. Amin.."

Aku selalu dengar ada orang yang berharap Peter Pan itu wujud. Pergi ke Neverland dan masa terhenti. Di sana kita tidak membesar. Sebenarnya, aku pun pernah berangan begitu. Tapi aku tahu, itu mustahil. Maka, hiduplah aku di muka Bumi ini dengan umur yang dah tua tapi jiwa masih kanak-kanak.

Dengan post ini, tentu ramai yang akan judge aku macam-macam. Tapi, ketahuilah, yang judge bukan-bukan itu, tandanya anda tergolong dalam golongan orang dewasa yang membosankan.

Sekian...


Sunday, January 24, 2016

Lembaga Kerusi Belakang



Ini adalah drawing ku berdasarkan novel 'Lembaga Kerusi Belakang'. Selepas membaca novel tersebut, tergerak untuk melukis sesuatu yang membawa mood seram. Tapi hasilnya, tak seram langsung. Comel bukan? Haha.. Sedangkan aku melukis pada pukul tiga pagi dalam bilik seorang diri bagi mendapatkan mood seram. Tidak mengapalah. Biarlah begini.

Bercakap mengenai novel 'Lembaga Kerusi Belakang', ini adalah sebuah novel dari Aman Wan. Selama ini aku mengenali Aman Wan dengan karya-karya komiknya yang kelakar. Jadi apabila aku mendapat tahu beliau menulis novel, cerita seram pula tu, aku kagum. Wow.. serba boleh rupanya.

Satu ketika dahulu, semasa aku sekolah menengah, aku merupakan peminat novel seram. Jadi, apa salahnya aku cuba membaca Lembaga Kerusi Belakang ini. Mengembalikan perasaan zaman sekolah menengah aku. Tak sangka pula ia benar-benar mengembalikan perasaan tersebut. Sepanjang cerita berjalan, aku terasa dekat dengan kehidupan pelajar sekolah menengah. Watak utama yang ada isu dalam menyiapkan kerja rumah, dimarahi guru, pernah ada waktu bertengkar dengan rakan-rakan, ada lagenda di sekolah yang karut, ada pak guard yang kacak, watak utama mendesak bapa atas kecuaian sendiri yang tertinggal buku, dan sebagainya. Perkara-perkara yang kecil begini membuatkan aku terasa bagai ini kisah pelajar sekolah menengah yang benar, bukan rekaan.

Baik, aku perlu berhenti taip sebelum aku terberi spoiler pula. Tambahan pula aku perlu siapkan komik aku, tak mampu nak taip panjang-panjang. Sesiapa berminat untuk baca buku ini, bolehlah pergi dapatkannya.





*Sedang menyiapkan Pendar Ratna secepat mungkin. Terima kasih semua yang sabar menanti.

Sunday, January 17, 2016

GiveAway Contest Gila #7: Saya Nak Komik Percuma!

Seperti yang pernah aku sebut sebelum ini, aku antara 33 orang pelukis yang terlibat dalam menghasilkan Buasir Otak The Komik. Ini, ada promosi buat masa ini, bagi yang mahu dapatkan komik tersebut secara percuma. Apa lagi, mari lah sertai beramai-ramai!!


Langkah-langkah:

1. Like page Buasir Otak: The Komik.
2. Like dan share post di link ini.
3. Tag rakan-rakan facebook anda, seramai yang boleh, di ruangan comment.


Selamat mencuba ya semua !!!


***Oh ya, kepada yang mahu membeli komik ini pun boleh. PM fb Amna Shark.