Thursday, December 31, 2015

Ringkasan 2015 Amna Shark

2015 merupakan tahun yang padat buatku. Pelbagai perkara terjadi dalam tahun ini. Sedangkan tahun sebelumnya, 2014 adalah zaman kegelapan aku. Dalam 2014 aku telah tersalah pilih company tempat bekerja, sekaligus menjadikan aku mensia-siakan masa aku dalam 2014. Company tersebut terlalu celaka sehingga aku malas nak tulis di sini. Oh, betapa aku kesal dengan masa yang terbuang.

Di penghujung 2014, aku berehat seketika, langsung tidak mencari kerja kerana risau terkena company yang seumpama company celaka tersebut. Sambil berehat, aku meneruskan minat aku dalam komik. Kemudian terdetik, apa kata kalau aku serius dalam komik, bukan sekadar hobi saja lagi? Maka, 2015 aku mulakan dengan azam untuk serius dalam komik. Bermulalah kisah 2015 Amna Shark.

Lukisan yang dilukis sehari sebelum 2015 tiba.

Komik TGP adalah komik pertama yang aku buat dalam tahun 2015. Sebenarnya ianya sambungan dari penghujung 2014. Sudah mula buat semenjak Disember 2014. Untuk kemasukan Supreme Januari. Aku akui banyak kelemahan TGP. Ya, atas faktor masa suntuk, lagi pula sekadar eksperimen. Aku gagal bawa TGP ke tahap seterusnya. Maka, tamat kisah TGP. Tapi aku gembira sebab berjaya makbulkan impian masa kanak-kanak ku. TGP sebenarnya komik yang aku dan adik aku cipta semasa kanak-kanak. Aku bawa semula dalam wajah baru kerana dahulu aku impikan TGP di bawa ke peringkat lebih tinggi.

TGP

Selepas TGP, aku membuat komik baru, Duga Jeladeri. Sebuah komik yang idea asalnya adalah dari aku yang berusia 16 atau 17 tahun. Komik Duga Jeladeri boleh dibaca di page fb aku, walaupun sehingga kini ianya belum lagi siap. Alhamdulillah, dengan Duga Jeladeri, aku terasa bagai diterima pembaca. Pembaca-pempaca banyak memberi respon. Malah pelukis-pelukis komik mula berkenalan dengan aku.

Duga Jeladeri

Dalam pada sibuk dengan komik dan kerja freelance aku, aku tak lepaskan peluang sekali sekala bercuti. Aku sempat juga ke Fraser's Hill bersama rakan-rakan sekepala aku dari degree. Percutian sekejap, cuma untuk lari dari tugasan seketika.

Amna Shark di Fraser's Hill.

Untuk pengambilan Supreme Mei, aku mempertaruhkan komik baru ku, Pendar Ratna. Alhamdulillah, Pendar Ratna berjaya disirikan, sekaligus menjadikan 2015 aku dipenuhi Pendar Ratna di celah-celah timbunan kerja lain.

Pendar Ratna oleh Amna Shark

Lagi sekali, aku curi-curi masa bercuti. Kali ini, aku menjejaki China. Aku berpegang kepada konsep, akulah kuli, aku juga bos. Benar, aku bos kepada diriku, aku yang arahkan aku untuk buat kerja. Tapi, aku kena sayangi kuli juga. Kenalah beri peluang kuli bercuti. Jadi, hai China!!!

Amna Shark di China

Dalam tahun ini juga, aku berpeluang melukis komik 'Demi Sebuah Subuh'. Semuanya terima kasih kepada Abeben yang sudi menjemput aku sebagai salah seorang pelukis dalam komik Resolusi. Demi Sebuah Subuh adalah pengalaman pertama aku menghasilkan komik kolaborasi. Cerita ditulis oleh Hidayu Hatta, dan aku pula melukisnya.


Demi Sebuah Subuh.

Dalam tahun ini juga, aku beruntung kerana berpeluang bertemu dengan pelukis-pelukis semasa aku berada di Kelantan, kampung Umi aku. Mereka adalah Abeben, Nudin, dan Hasif Rayyan. 

Sketches yang dapat dikumpul semasa berjumpa Abeben, Nudin dan Hasif Rayyan.

Ceritera Amna Shark, komik main-main yang boleh didapati di page Amna Shark.

Dalam tahun ini, aku agak kerap mencari Prof.

Lagi satu berita gembira dalam tahun ini, aku terlibat dengan Buasir Otak the Komik. Syukur Alhamdulillah.
Buasir Otak the Komik.

Lagi sekali, aku terlibat dalam kolaborasi komik lagi. Kali ini dengan Pyromania. Komik yang kami hasilkan adalah Gema Pemikiran, khas untuk Cabaran Komik Online Malaysia 2015.


Gema Pemikiran.

Oh ya, aku sudah miliki merchandise sendiri, Amna Shark's felt toys. Aku betul-betul sukakannya. Respon yang diterima juga agak positif. Alhamdulillah.

Amna Shark's felt toys.

Dipenghujung tahun, aku terlibat dengan Projek A. Projek komik yang dijayakan bersama rakan-rakan pengkarya dari Supreme.

Projek A

Pada hari Comic Fiesta, iaitu 20 Disember 2015, aku berpeluang bertemu dengan rakan-rakan pengkarya dari Supreme. Selama ini hanya rapat melalui group Whatsapp, kini boleh bersua muka. Semasa perjumpaan, aku tuntut sketches dari mereka semua sebagai kenangan.

Sketches-sketches dari rakan-rakan pengkarya.

Lagi satu berita gembira yang aku terima dipenghujung tahun, Amna Shark's 2016 monthly planner, sold out! Alhamdulillah..


Begitulah ringkasan 2015 ku. Terasa panjang sekali. Pelbagai perkara terjadi, baik ada, buruk ada.. Tapi yang aku tulis di sini yang baik-baik semuanya sebab dalam hidup, kita kena fokuskan perkara yang baik. Barulah kita bersyukur. Benar bukan? Namun, secara keseluruhannya, aku bersyukur dan berpuas hati. Setelah 2014 aku sia-sia, aku kini manfaatkan 2015 ku. 

Semoga 2016 aku mampu untuk manfaat kan lagi masa ku. Hai 2016..



Tuesday, December 29, 2015

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 6

Episod 6 Pendar Ratna mengambil masa yang agak lama untuk siap. Sebenarnya ada kisah panjang yang aku belum ceritakan kepada semua. Di sini aku tulis kisah di sebalik pembikinan episod 6. Aku tulis untuk rujukan diri aku sendiri di masa akan datang. Dalam erti kata lain, sebagai jurnal lah. (Kepada Amna di masa hadapan, kisah ini adalah catatan dari masa silam mu. Ambil sebagai pengajaran.)


*****
Kisahnya begini, oleh kerana aku membuat komik 'Gema Pemikiran', untuk tujuan Cabaran Komik Online Malaysia 2015, Pendar Ratna direhatkan seketika. Namun, itu bukan satu-satunya sebab. Lagi sekali, aku alami jatuh semangat. Aku hilang keyakinan terhadap Pendar Ratna. Meskipun respon yang diterima dari pembaca rata-rata semuanya positif, tapi aku tak nampak jalan yang membolehkan Pendar Ratna mampu pergi ke tahap yang lebih tinggi. Seolah-olah selama-lamanya Pendar Ratna akan berada dalam takuk yang sama. Memikirkan yang aku juga manusia biasa yang memiliki kerja lain selain melukis Pendar Ratna, aku mula terfikir. Lebih baik aku gunakan masa aku untuk buat sesuatu yang boleh ke tahap lebih tinggi bukan?

Sampai satu tahap, aku rasa, "Amna, sudahlah, hentikan Pendar Ratna." Malah, ketika pihak Supreme benarkan untuk buat pilihan masih mahu editor atau tidak, aku telah pilih tak mahu editor. Ya, TAK MAHU. Sebab aku sudah pun putus asa terhadap Pendar Ratna. Selepas Pendar Ratna ketiadaan editor, aku rasa sedikit gayat. Berdiri sendiri. Tidak dipantau lagi. Ada sedikit rasa menyesal, tetapi memandangkan aku fikir mahu berhenti, aku abaikan perasaan menyesal tu. Betulkah mahu hentikan Pendar Ratna? Hati aku masih lagi berbelah bagi.

Setiap kali aku rasa hilang semangat, aku kembali mencari Prof. Orang yang paling aku kagumi dan hormati dalam bidang ini. Seseorang yang terlalu tinggi tarafnya, terlalu tinggi ilmunya. Bak pepatah Melayu, "Sukakan gaharu kerana baunya. Sukakan guru kerana ilmunya." Aku amat suka Prof. Sejak mula memasuki bidang komik, aku memang mengejar untuk menjadi seperti beliau.


Tapi agaknya, di sini lah silap aku. Aku terlalu mengejar sesuatu yang tarafnya jauh lebih tinggi, mana mungkin tercapai dalam masa yang singkat. Untuk menjadi seperti beliau, kemungkinan besar aku perlukan 20 atau 30 tahun lagi. Prof amat baik. Prof tak pernah abaikan aku. Prof memberi respon setiap kali aku mencarinya. Namun, cara ini salah. Seorang anak murid mana boleh dimanjakan. Aku tak boleh kacau Prof dengan setiap hal remeh temeh begini. Aku kena berusaha, barulah tunjukkan kepada Prof hasil yang boleh dibanggakan.



Sudahlah tak ada editor, ke mana lagi harus aku rujuk? Akhirnya aku mendapat bimbingan dari seseorang yang luar biasa. Dia bukan editor atau pelukis komik. Jadi dia memandang kes aku dari sudut lain. Dia bagai seorang pakar motivasi pula. Dia seorang yang mampu melihat kebaikan dalam apa jua situasi. Dengan mudah, semangat aku kembali, dan aku mula atur langkah perjalanan ku dengan cara yang berbeza. Selain dia, aku juga mendapat bimbingan dari Hasif Rayyan, penulis D'Raksha / bekas editor di Supreme, dan Putra Nubhan, salah seorang editor Supreme. Masih banyak ilmu aku perlu pelajari dari mereka.

Dengan ini, Pendar Ratna kembali bangkit!


*****
Bagi membuktikan kepada diri aku sendiri bahawa Pendar Ratna telah bangkit, aku buat perubahan wajah kepada Pendar Ratna. Tidak, aku tak ubah cerita Pendar Ratna. Cerita Pendar Ratna sudah lock lama dah, tak akan diubah suai saja-saja. Aku hanya buat perubahan kepada 'wajah' Pendar Ratna.

Cover utama Pendar Ratna, aku gantikan dengan yang baru.

Cover sebelum dan selepas tukar.

Aku rujuk poster 'The Phantom of the Opera' untuk dapatkan mood seperti filem tersebut.

Adikku, Tona dari Canada sudi hantar gambarnya sebagai rujukan cover terbaru ini.

Selain cover Pendar Ratna, aku juga telah ubah logonya. Mengubah logo, adalah sesuatu yang agak berat hati untuk dilaksanakan. Namun aku kebalkan hati aku untuk ubah juga tanpa ada perasaan sayang terhadap logo lama yang memang sudah tidak diragui lagi kehodohannya itu.


Antara sketches sepanjang mencari rupa logo baru.

Cover episod 6 juga aku buat perubahan. Kiri sebelum, manakala kanan selepas.


******

Untuk Amna di masa hadapan, ini apa yang boleh dipelajari dari kisah kali ini:
1. Kau boleh dengar pendapat ramai orang, suka hati kau nak terima atau tidak, tapi akhirnya, yang buat keputusan untuk kau, adalah diri kau sendiri.

2. Jangan terlalu sayang. Apa saja yang menghalang kau untuk maju, buang! (Dalam kes kali ini, ianya logo. Tapi boleh digunakan dalam situasi lain juga)

3. Dalam keadaan paling buruk sekalipun, cuba pandang dari sudut berbeza. Mungkin ada cantiknya.


*****

Sekian sahaja buat masa ini. Untuk membaca Pendar Ratna episod 6, boleh baca di sini. Jika suka, jangan lupa undi di sini. Sebarang kritikan, boleh terus kritik di ruangan komen. 





Wednesday, December 16, 2015

Amna Shark's 2016 monthly planner

Hai semua. Dengan gembiranya, aku ingin tunjukkan sesuatu kepada anda semua. Lihat!!!


Amna Shark's 2016 monthly planner ! 

Memandangkan tahun-tahun sebelum ini aku selalu buat monthly planner untuk kegunaan sendiri, maka aku terfikir sesuatu. Alang-alang sudah buat ni, apa kata jual kepada sesiapa yang turut ingin memilikinya? 

Jadi, ini adalah sedikit preview daripada Amna Shark's 2016 monthly planner. Tema colouring for adults.

Jika anda berminat untuk memilikinya, PM page fb Amna Shark, atau emel ke amnasyakira@gmail.com. 









Saturday, November 28, 2015

Gema Pemikiran (Cabaran Komik Online Malaysia 2015)

Semenjak riuh mengenai Cabaran Komik Online Malaysia 2015, aku bertekad untuk menyertainya seperti rakan-rakan pelukis yang lain juga.



Namun, tema yang diberikan adalah 'Cinta'. Sungguh aku buntu dengan tema begini. Walaupun aku cuba untuk luaskan skop cinta kepada alam sekitar, kekeluargaan, ketuhanan dan lain-lain, namun tema ini tetap berat untuk ku. Sudah beberapa kali aku tukar idea, namun belum juga ketemu idea yang bagus.


Setelah 14 hari bertungkus lumus mencari idea, akhirnya aku buat keputusan untuk mencari penulis untuk berkolaborasi. Untung badan, Pyromania tampil dengan tawaran kerjasama. Memandangkan aku pernah membaca beberapa karya Pyromania sebelum ini dan aku yakin dengan kebolehan beliau, aku setuju untuk bekerjasama. Maka, lahirlah sebuah komik yang bertajuk 'Gema Pemikiran'. 


Di sebalik tabir pembikinan 'Gema Pemikiran'.

Draft asal komik ini yang disediakan oleh Pyromania sebenarnya hanya 8 muka surat, tapi kami kembangkannya menjadi 10 bagi memenuhi tuntutan pertandingan. Aku yang minta agar muka surat terakhir menjadi satu panel sahaja. Aku suka lukis satu muka surat satu panel. Besar, puas.

Aku mengambil masa dua hari untuk reka watak-watak, dan 8 hari bagi menyiapkan keseluruhan komik.

Aku menyiapkan cover dahulu sebelum mula lukis isi komik. Entah kenapa. Mungkin sebab aku percaya cover itu penting sebagai first impression.

Idea ku adalah, melukis watak utama dengan pose sedang berfikir sebagai cover. Namun aku memerlukan objek lain bagi menghiasi cover bersama watak utama. Letak motor mungkin bagus. Aku pilih motor Triumph untuk tambah perasaan dramatik.

Langkah-langkah menghasilkan cover 'Gema Pemikiran'.


Aku cuba untuk dapatkan mood cover seolah-olah seperti poster movie ini:
(Tak tahulah berjaya atau tidak)



Berikut pula merupakan lakaran-lakaran watak dalam 'Gema Pemikiran'.


watak akak pejabat

watak rakan lepak

 watak utama

 watak-watak dalam 'Gema Pemikiran'.

Sepanjang menghasilkan komik ini, aku dan Pyromania langsung tak fikirkan tajuk. Bila sudah sampai saat nak menghantar karya, baru masing-masing menggelabah cari tajuk. 

Kini, Gema Pemikiran sudah boleh dibaca di sini. Jemput lah baca semua.  Sesudah baca, tinggalkan pandangan, kritikan atau pendapat anda. Oh ya, jangan lupa rate komik kami. Beri bilangan bintang mengikut pendapat anda. 

Terima kasih.

Friday, November 27, 2015

Buasir Otak: the Komik



Watak yang sedang promote dalam komik di atas adalah Aujinz, pemilik blog Lanun Ranggi. Manakala Tuan Direktor di atas adalah Prince of Noob, Pengasas projek Buasir Otak: The Komik

Jadi, apa Buasir Otak: The Komik ini sebenarnya?

Buasir Otak: The Komik ni, komik laa.. 3 buah buku semuanya. Buku pertama menghimpunkan 13 orang pengkarya, manakala buku kedua dan ketiga menghimpunkan 33 orang pengkarya. Aku sendiri merupakan salah seorang daripada 33 itu.


Alhamdulillah, projek ini berjaya kami siapkan, dan sudah bersedia untuk sampai ke tangan para pembaca. Jadi, jika anda ingin memilikinya, bolehlah dapatkannya sementara stok masih ada. Cara-caranya boleh lihat di sini.

Jika anda sudah membacanya, jangan lupa tinggalkan pendapat anda mengenainya. Ingin juga aku dengar respon pembaca.
Sekian sahaja. Terima kasih.


Thursday, November 12, 2015

Setia kah?

Siapa masih ingat entri blog aku mengenai kesetiaan aku terhadap phone ku? Boleh baca di sini jika mahu.

Jika entri dulu berkaitan phone, kali ini mengenai dompet pula. Dompet yang aku guna sekarang ni, telah ku guna sejak tahun 2006 lagi. Aku Tingkatan 4 ketika itu. Ya, sejak aku tingkatan 4 ! Berapa tahun sudah lamanya itu? 9 tahun!!! Kenapa aku tak beli dompet baru sepanjang 9 tahun ini? Aku juga tak tahu. Aku tak pernah terfikir langsung kenapa.


Nak dijadikan cerita, Kelmarin aku jalan-jalan di shopping mall bersama teman-teman karib, mata ku terpandang kepada satu dompet. Bukan dompet branded pun. Tak ada lah cantik pun. Tapi warnanya, membuat aku rasa seolah-olah dompet tersebut tercipta hanya untukku. Jika jiwa aku berwarna, aku percaya itulah warnanya. Kuning merah.

Aku ragu-ragu nak beli atau tidak, lalu rakan ku berkata :"Belilah.. Bila lagi nak tukar dompet?" Saat itulah, buat pertama kali dalam 9 tahun ni, aku baru sedar yang aku tak pernah tukar dompet! Maka, terus ku bawa pulang dompet tersebut. (selepas membuat bayaranlah)


Setibanya di rumah, apabila aku mahu mengalih duit, kad pengenalan dan lain-lain barangan dari dompet lama ke dompet baru, hasrat ku terhenti. Aku fikir beberapa kali, aku sudah terlalu selesa dengan yang lama. Kenapa perlu tukar yang baru? Jadi, sehingga kini, (saat post ini ditaip) aku masih belum beralih ke dompet baru itu.


Baiklah, ceritanya di sini, rupanya bukan phone sahaja yang aku pakai lama-lama. Dompet juga. Tak tahu lah jika ada barangan lain yang aku pakai bertahun-tahun begini juga.

Apakah faktor utama yang menyebabkan aku susah untuk tukar kepada sesuatu yang baru? Mula-mula aku fikir, "Oh, aku ni tentu seorang yang setia. Sedangkan dengan barang aku boleh setia. Apatah lagi dengan orang. Eh, ke situ pula.."

Tapi, selain faktor 'kesetiaan', kemungkinan besar, ianya faktor 'tak selesa dengan perubahan'. Bila difikirkan kembali, Saat aku hampir tamat sekolah menengah, aku rasa terlalu sayang nak tinggalkan sekolah. Kemudian, saat nak tamat universiti, aku sangat sayang nak tamatkan universiti. Aku jenis yang jika aku sudah selesa dengan sesuatu keadaan, aku tak nak perubahan. Ini bukanlah satu sifat yang baik untuk aku banggakan pun. Perubahan itu perlu jika mahu berjaya. Bukan?

Ya nampaknya ini bukan faktor kesetiaan. Ini mengenai aku yang tak suka perubahan. Jadi andai sesiapa berniat nak masuk dalam hidup aku, jangan pernah berniat untuk ubah aku. Hahahahahahahahahahaha... Amboi gelak besar.


Friday, November 6, 2015

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 5


Pada bulan lepas, aku langsung tak update episod baru Pendar Ratna. Sebenarnya, setiap pelukis pernah lalui musim tak bersemangat. Begitu juga aku. Musim tak bersemangat aku tiba. Tak bersemangat tentang Pendar Ratna. Tak puas hati dan sebagainya. Jadi Pendar Ratna episod 5 mengambil masa yang sangat lama untuk disiapkan. Tambahan pula, komitmen aku terhadap benda lain juga adalah salah satu faktor.


Memikirkan yang diri aku perlu diselamatkan, aku kembali mencari lecturer aku, Prof. Prof adalah seorang yang menjadi penyebab aku berada dalam bidang komik sekarang ni. Seorang yang amat aku hormati. Dulu aku pernah putus asa terhadap komik, Prof yang berjaya buat aku masih terus berada dalam bidang komik. Jadi, apabila semangat berkomik aku hilang, aku kembali mencari beliau. Setelah aku tunjuk Pendar Ratna kepadanya, respon dari beliau amat positif. Sehingga aku mengalir air mata. Kalaulah Prof tahu betapa besarnya erti respon Prof ini kepada aku. Daripada aku hilang semangat terhadap Pendar Ratna, terus aku menjadi sayang pula. Terima kasih Prof kerana nampak potensi yang ada pada Pendar Ratna.



Selepas itu, aku bersembang dengan Hasif Rayyan, penulis komik D Raksha. Seorang anak muda yang ceria-ceria. Dia juga pernah menjadi editor untuk komik lain. Terima kasih juga kepadanya. Semangat aku dah kembali. Agaknya sebab pernah menjadi editor, dia tahu bagaimana mahu uruskan aku. Haha...


Kini Pendar Ratna episod 5 sudah boleh dibaca di sini. Jika suka, bolehlah tolong undi di sini. Cepat-cepat.. Tempoh mengundi untuk episod 5, sampai hari Ahad ini saja.

Baik, akhir sekali, aku mahu tanya pendapat anda semua. Apa pendapat anda mengenai Pendar Ratna dari episod 1 sehingga 5 ?


Saturday, October 31, 2015

Susahnya memiliki kucing bijak

Aku pernah bercerita bahawa aku memiliki seekor kucing yang bijak bukan? Namanya Tommy Tompok. Tommy ni bijak. Pagi-pagi dia akan masuk melalui tingkap bilikku dan cakar kotak sebagai cara minta makanan.



Biasanya aku malas layan dia. Aku buat-buat tak dengar dan pura-pura tidur.


Baru-baru ni, Tommy telah jumpa cara supaya aku tidak pura-pura tidur lagi. Dia panjat meja dan jatuhkan barang.

Cara ini dia telah guna banyak kali sekarang ni. Bukan sahaja ketika aku tidur. Ketika aku sedang sibuk menghadap PC, dia turut buat perkara yang sama. Aku dah perhati cara dia ni, dia memang cari apa saja untuk dijatuhkan. Guna kaki depannya, dia tolak satu persatu barang.

Benar-benar menguji kesabaran aku. Terpaksalah ikut cakap dia, beri dia makan segera. Susah bela kucing bijak ni.


Friday, October 23, 2015

Perginya seorang sahabat



Bulan Oktober ini, ini baru kali pertama aku update blog. Bukan sahaja blog, malah perkembangan komik Pendar Ratna aku juga semakin lambat. Pada awal bulan ini, aku telah menerima berita yang menyedihkan. Seorang sahabat aku telah pergi buat selama-lamanya.

Sebagai seorang yang sudah berusia 25 tahun, aku cuba menerima berita ini dengan matang. Tapi jujurnya, masa bagai telah berhenti aku rasa. Fikiran aku terkurung dalam memori lama. Memori saat kami bersama-sama dalam studio yang sama. 

Dalam studio itu, tempat kami bersebelahan. Sudah menjadi kebiasaan aku, setiap kali aku tiada mood mahu buat painting, aku akan menjenguk dia yang khusyuk menyapu akrilik pada permukaan kanvas. 

Dalam studio, kami semua ahli studio sudah seperti sebuah keluarga. Ketawa bersama, bergaduh bersama. Sudah menjadi kebiasaan ahli studio minta aku buatkan air teh. "Amna, nak teh !"  Dia juga tak terkecuali. Dengan senyuman nakal dia, "Amna, nak Teh!" Sebaris ayat itu saja sudah cukup terngiang-ngiang sehingga sekarang.

Dalam apa-apa kerja berkumpulan, selalunya dia adalah salah seorang dari ahli kumpulan aku. Terlalu banyak memori dengannya. Terlalu banyak ! Setiap kali aku terkenangkannya, masa bagai terhenti.

Di sini aku, cuba teruskan kehidupan seperti biasa. Tapi segala-galanya menjadi lambat. Sebab 25 itu hanya lah angka. Tapi aku sebenarnya belum matang.

Ya Allah, ampunkanlah segala dosa sahabat ku ini. Temukanlah kami semua satu hari nanti di syurga Mu.

Tuesday, September 29, 2015

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 4

Ramai yang tanya.. mengapa lambat benar episod 4 Pendar Ratna nak keluar. Inilah cerita yang tak ramai orang tahu..

Pada suatu hari, aku sedang gigih menyiapkan Pendar Ratna episod 4..





Tiba-tiba...


Bayangkan bagaimana perasaan aku tatkala melihat PC aku
sebegitu...


Dalam kesedihan, keresahan, kekalutan itu, manusia pertama yang aku
cari untuk mengadu adalah editor aku.
Editor perlu tahu situasi aku. Tak dapatlah 
menghantar Pendar Ratna dalam minggu tersebut.



Kemudian, aku mengadu pada Aniff Zazali, pelukis Tamingsari.
Walaupun aku fikir dia tak akan dapat tolong, tapi aku sekadar beritahu,
sebab dia merupakan rakan seperjuangan aku semenjak sebelum Pendar Ratna muncul lagi.
(Namun aku tahu hubungan 'rakan seperjuangan' ini boleh bertukar menjadi 'persaingan' bila-bila masa saja nanti.)



Setelah bertenang seketika, aku menghubungi hero sebenar.
Satu-satunya hero aku yang confirm dapat bantu aku.
Tak lain tak bukan....Abah aku.


Maka, abah membawa aku ke hospital PC.


Haa.. begitulah kisah mengapa Pendar Ratna episod 4 lambat keluar. Tapi, hentikan kegelisahan anda, kerana kini, Pendar Ratna episod 4 sudah boleh dibaca! Bacalah.. dan nyatakan pendapat anda mengenainya. Jika suka, jangan lupa undi kerana undian anda yang menentukan masa depan komik ini.

 Pendar Ratna episod 4 baca di sini.

 undi pula di sini.

Sekian sahaja... Harap anda semua suka Pendar Ratna episod 4.