Tuesday, May 17, 2016

Pendar Ratna 1 Tahun



Pejam celik pejam celik, usia Pendar Ratna kini mencecah satu tahun. Usianya dikira sejak hari ia mula dipamerkan untuk tatapan awam, iaitu 17 Mei 2015. Wah, setahun berlalu dan pada ketika post ini ditaip, Pendar Ratna memiliki 7 episod, dan episod 8 sedang dalam proses. Malah, setahun yang lepas, pada tarikh ini, Pendar Ratna mula diperkenalkan di blog ini. Baca di sini untuk post setahun yang lepas.

Respon para editor untuk one shot Pendar Ratna satu ketika dahulu

Sepanjang setahun bersama Pendar Ratna, pelbagai perkara telah aku lalui dan pelajari. Rasa bagai masih baru bersama Pendar Ratna. Tapi apabila ku kenang kembali apa yang telah ku lalui, baru aku sedar... Ya, pelbagai perkara telah terjadi. Ramai orang aku kenal sepanjang perjalanan yang singkat ini. Skill menulis komik ku, semakin meningkat. Tapi skill melukis masih di takuk yang sama. Aku kecewa untuk itu.

Pendar Ratna bersama 5 lagi komik yang terpilih untuk disirikan pada ketika itu.

Antara respon dari pembaca semasa one shot Pendar Ratna

Dua komik muncul pada ulang tahun pertama Pendar Ratna

Baru-baru ini, aku muncul dengan dua komik baru, iaitu Cari Ganti dan Mekar Melati. Dalam kedua-dua komik ini, aku hanyalah sebagai penulis. Namun, kemunculan dua komik ini, adalah pada bulan Mei. Bulan di mana Pendar Ratna genab usia setahun. Mungkin bagi anda, ianya bukanlah fakta yang penting. Tapi bagiku, ianya buat satu perasaan luar biasa muncul di hati ku. Wah.. selepas setahun kemunculan Pendar Ratna, ini yang aku bawa? Susah hendak gambarkan apa perasaan ini. InsyaAllah dalam post akan datang, aku akan ceritakan mengenai Cari Ganti dan Mekar Melati. Kali ini aku cerita mengenai Pendar Ratna dahulu.

Pengalaman pahit bersama Pendar Ratna

Sepanjang menghasilkan Pendar Ratna, tidak dinafikan aku miliki juga pengalaman pahit. Antaranya ialah, pernah sekali dua aku terima kritikan dari pembaca yang berbunyi begini: "Saya tengok lukisan buruk, tapi bila baca, rupanya best!" Aduh, siapa faham apa rasa yang patut aku rasai mendengar kritikan begini? Separuh dari aku rasa patut sedih, separuh lagi rasa patut gembira.

Ada juga pendapat pembaca yang berbunyi begini: "Kena lukis style manga, baru orang berminat.." Untuk kritikan begini, walaupun aku tidak sedih, tapi aku tak mampu buat apa-apa. Bukannya aku benci style manga, bukan. Aku minat baca manga. Cuma aku memiliki sebab-sebab tersendiri yang membuatkan aku tidak melukis style manga. Apakah sebabnya? Panjang untuk terangkan. Malah jika terangkan pun, aku tak rasa semua orang faham. Sebab pandangan ini lebih kepada sudut pandangan seseorang yang pernah belajar art history. Bukan niat untuk berlagak atau merendahkan style manga. Ianya cuma pandangan peribadi. Jika berminat untuk tahu, sila PM fb aku secara personal.

Ada kalanya, aku hilang keyakinan terhadap Pendar Ratna. Rasa seperti untuk apa lagi aku sambung cerita ini? Apa pun, terima kasih kepada editor-editor yang terus menerus memberikan sokongan, semangat aku naik semula.

Pendar Ratna pernah bertukar banyak editor. Kini, Pendar Ratna berdiri sendiri tanpa editor. Namun buat masa ini, aku menganggap Putra Nubhan (salah seorang editor Sucomi) sebagai editor Pendar Ratna. Beliau banyak memberi bimbingan walaupun beliau bukan editor untuk Pendar Ratna. Setiap kali pertukaran editor itu berlaku, sebenarnya aku sedih. Tapi aku menerima hakikat bahawa aku adalah penulis dan pelukis Pendar Ratna. Bukan orang lain. Sesusah apa yang aku lalui, walau keseorangan, Pendar Ratna aku yang punya. Aku harus telan segala pahit manis yang datang kerana Pendar Ratna. Telan segala pahit manis? Wah ayat... Macam lah susah sangat melukis komik ya? Hmm.. sebenarnya banyak kesulitan yang aku terpaksa tempuhi demi Pendar Ratna. Ya, pembaca tak tahu. Kerana inilah aku sayang lebih Pendar Ratna berbanding komik aku yang lain. Kesulitan yang telah aku tempuhi demi Pendar Ratna, cuma aku yang tahu.


Pengalaman manis besama Pendar Ratna

Selain pengalaman pahit, aku turut miliki banyak pengalaman manis. Pengalaman paling manis adalah, pernah satu ketika semangat aku jatuh, lalu aku buat keputusan untuk beri Prof baca Pendar Ratna. Prof adalah seorang yang penting dalam perihal komik aku. Kerana beliaulah aku terjun ke bidang komik. Respon yang aku terima dari Prof, memang buat hati aku berbunga bunga. Prof terus beri nombor telefon seorang editor sebuah syarikat penerbitan, malah Prof siap pesan, kata padanya bahawa Prof yang beri nombor ini. Walaupun kesudahannya aku tak mampu untuk buat editor tersebut suka Pendar Ratna, tapi, cukuplah Prof suka. Aku bahagia. Terasa aku umpama manikam, Prof adalah jauhari. Hanya jauhari mengenal manikam. Amboi ayat!!! Haha.. Maafkan angan-angan ku.

Seterusnya, aku menerima respon dari Aman Wan. Yang ini sungguh aku tak jangka. Berbeza dengan Prof, memang aku secara peribadi menghantar emel kepada Prof. Normal lah Prof akan baca. Tapi Aman Wan, aku tak hantar apa-apa pun, tapi Aman baca!!! Aman Wan seorang yang penting bagi aku selepas Prof. Perkenalan dengan Aman beberapa tahun yang lepas, (selepas aku kenal Prof) membuat aku tanam satu azam. Azam yang aku tanam pada ketika itu, kini jadi kenyataan! Maka aku rasa perkenalan aku dengan Aman itu sesuatu yang luar biasa. Jika aku tidak berkenlan dengan beliau, adakah aku akan tanam azam tersebut? Adakah aku berada di sini sekarang? Tahu tak apa azam yang aku tanam ketika berkenalan dengan Aman dulu? Azam aku, 'Aku akan jadi pelukis komik pada usia 24 tahun'. Ya, ianya telah jadi kenyataan. Berbalik kepada cerita respon Aman mengenai Pendar Ratna, jujurnya aku sudah lupa bagaimana ayat dari beliau. Tapi yang aku ingat, betapa aku gembira!!! Serius?? Aku ikuti perkembangan Aman selama ni, rupanya Aman pun ikuti perkembangan aku?! Wow!!!

Sepanjang penghasilan Pendar Ratna, aku terima banyak respon dari pembaca yang berbunyi begini: "Saya tak pernah suka budaya-budaya ni. Bila baca komik ni, saya jadi suka!"
"Saya tak tahu pula kisah pasal muzium boleh jadi menarik!"
"Best rupanya budaya-budaya ni!"
Tahu tak apa perasaan yang aku rasa apabila mendapat respon sebegini? Rasa seperti aku telah berbakti kepada masyarakat untuk sukakan budaya kita. Rasa seperti, akhirnya aku buat sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Aku berharap sangat agar Pendar Ratna terus memberi kebaikan kepada para pembaca. Doakan ya.

Pendar Ratna di Sucomi



Pendar Ratna episod 8

Kebiasaannya, paling lama aku tak update episod terbaru Pendar Ratna adalah sebulan. Tapi untuk episod 8 ini, aku telah dua bulan lewat. Sebenarnya sebab aku pergi duduk di Sarawak selama 3 minggu. 3 minggu aku bercuti dari menghasilkan komik. Selepas pulang dari Sarawak, aku perlu selesaikan beberapa perkara sebelum mulakan episod 8. Episod 8 kini dalam proses. Maafkan aku kerana lambat. Maklumlah, aku manusia normal yang punyai komitmen lain. Namun tak sanggup aku tinggalkan Pendar Ratna. Jangan risau.


Pendar Ratna 1 tahun

Sempena usia Pendar Ratna cecah setahun ini, aku tidak meraikan apa-apa pun. Aku sedar aku masih baru, masih banyak perlu dipelajari. Hanya post ini sahaja aku taip sebagai memperingati Pendar Ratna ku. Bukan untuk orang lain, tapi untuk diriku. Sebahagian dari catatan perjalanan hidupku yang bukan sesiapa ini. Namun, jika ada diantara anda yang baca post ini sehingga tamat, terima kasih. Aku benar-benar terharu. Tolong teruskan menyokong Pendar Ratna ya?

Sekian..


Wednesday, May 11, 2016

Kenali Aretis United

*penulisan ini bertujuan sebagai catatan jurnal hidup ku. Ia juga penting sebagai rujukan para sejarawan masa hadapan*



Aretis United merupakan nama bagi sekumpulan pengkarya yang terdiri daripada pelukis dan penulis komik di Sucomi. (dulu dikenali sebagai Supreme) Aretis United pada asalnya, hanyalah sekadar satu group Whatsapp yang ditubuhkan oleh saya (Amna Shark) bersama Aniff Zazali, bertujuan mengumpulkan pengkarya-pengkarya Sucomi. Bermula dari sekadar group Whatsapp, lama kelamaan Aretis United bertukar menjadi satu komuniti yang saling memberi semangat, berbincang perihal komik, games, filem dan kucing. Saling tunjuk lukisan, lakaran mahupun conteng-conteng. Berbincang idea dan kembangkan idea bersama. Melakukan aktiviti bersama seperti Projek A. Berkumpul di mana-mana event komik, dan sebagainya.


Memandangkan komuniti Aretis United ini terdiri daripada pengkarya yang komiknya disirikan di Sucomi, kemungkinan besar jumlah kami akan terus meningkat selagi Sucomi mengambil pengkarya baru. Namun, ahli-ahli asal Aretis United amat memainkan peranan dalam terbentuknya Aretis United. Setelah agak seketika mengenali mereka, saya berani katakan bahawa mereka semua berbakat. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Penulisan ini bertujuan merekodkan perkembangan Aretis United sebelum kami hilang ditenggelam zaman.

Sebelum terbentuknya Aretis United, pengkarya-pengkarya Sucomi muncul secara berperingkat. Kumpulan pertama pengkarya Sucomi, muncul pada November 2014. Mereka adalah Hanza, Rahimi AF, Yoketouchi Yutaka, dan Pokcik Fingernailz. Kumpulan kedua muncul pada Mac 2015. Mereka adalah A'amir Raffiq, Harith Syazwan, Mizi, Anhaz, Siti Manan dan Rahmat Aspar. Kumpulan ketiga muncul pada Mei 2015. Mereka adalah, Amna Shark (diri saya sendiri), Irfan Hilal, Kawa, Hasif Rayyan, Noor Athirah, Nurel, Maryam, Sayuti Fakhri, Haikal Adnin, dan Yasahiro Yoruki. Kumpulan keempat pula muncul pada Julai 2015. Mereka adalah Aniff Zazali, Inderawasih dan Syafy Zahin. Aretis United terbentuk selepas kemunculan kumpulan keempat.

Selepas itu, warga Aretis United terus meningkat dengan kemunculan pengkarya-pengkarya seterusnya. Pada September 2015, kami menerima Ploless dan Khairul. Kemudian pada Mac 2016, kami menerima kehadiran Aiman dan Kein.

Hanza

Hanza atau nama panggilannya dikalangan Aretis United, Az, merupakan pelukis komik Gangster. Hanza pada ketika ini merupakan pelajar bidang animasi. Gadis yang berbakat besar ini seringkali melukis makhluk kuning berupa batal, guni, atau kucing yang kelihatan selalu mencelah di mana-mana lukisnnya. Tidak dinafikan bahawa dia memiliki ramai pembaca setia yang sentiasa menantikan karyanya.

Rahimi

Rahimi AF atau mesra dengan panggilan 'Imi' di kalangan Aretis United, adalah pelukis Komik Eureka. Saya mula mengenali Rahimi dengan karyanya yang berjudul Hatred. Antara karya Rahimi yang mendapat sambutan menggalakkan adalah Inktober 2015, The Dried Leaves-childhood, dan Nisrina.

Yoketouchi

Yoketouchi Yutaka adalah pengkarya Sucomi yang paling awal saya kenal. Lebih mesra dengan panggilan Yok, dan umpama 'abang' dalam Aretis United memandangkan dirinya paling tua di antara kami. Yoketouchi pernah menyertai Supreme (Sucomi) pada November 2014 dengan dua karya yang berjudul Joran X-treme dan Obiyoshi. Joran X-treme berjaya disirikan dan telah pun tamat pada episod ke 10. Yoketouchi pernah menempa nama di majalah Kreko satu ketika dahulu dengan komiknya, Akatsuki Celup. Kini, Yoketouchi muncul kembali di Sucomi dengan karya Super Karut.

Pokcik

Pokcik Fingernailz, merupakan seorang anak muda yang mahu dirinya digelar 'Pokcik'. Pokcik merupakan pelukis komik Paradigma Guru, sebuah komik yang mendapat sambutan menggalakkan di laman web Sucomi.

A'amir

A'amir Raffiq atau A'amir, seorang anak muda yang kini sedang menyambung pelajaran di negara orang. A'amir merupakan pelukis komik Nadim. A'amir mudah dikenali dengan stail lukisannya yang mirip manga One Piece tetapi dengan sentuhan tempatan.

Harith

Harith Syazwan atau Harith, merupakan pelukis komik Tuah. Menurut Harith, stail lukisannya menghampiri stail manga Bleach. Melihat kepada komik Tuah, jelas Harith mahir dalam melukis babak aksi. Tahukah anda, Harith seorang yang obses dengan kucing. Sekadar fakta tambahan, suara Harith apabila menyanyi, sungguh sedap.

Mizi

Anhaz

Mizi atau dikenali juga sebagai Jimmy dikalangan Aretis United merupakan pelukis komik Hidden Princess. Mizi bekerjasama dengan Anhaz bagi menjayakan cerita Hidden Princess. Anhaz atau dikenali sebagai Anis dikalangan Aretis United, merupakan penulis Hidden Princess. Anhaz, seorang gadis yang mesra dan mudah senyum, walaupun menurut Anis, dia seorang yang misteri. Selain Hidden Princess, Mizi dan Anhaz juga bekerjasama dalam projek Nudin.

Siti Manan

Siti Manan merupakan pelukis komik Kekuih di Sucomi. Gadis cantik dari Sarawak ini juga melukis komik 'Apabila Cinta Berputik'. Sebuah karya yang sungguh manis dan comel.

Rahmat

Rahmat Aspar merupakan pelukis Detektif Komik Detektif.

Amna Shark

Amna Shark, iaitu diriku, merupakan Pelukis Pendar Ratna. Dikalangan Aretis United, Amna dipanggil Kak Amna memandangkan Amna antara yang tua dikalangan mereka. Berlatar belakang dari Seni Halus dan berpengalaman dalam storyboard untuk animasi tempatan, Amna kini baru hendak mencuba nasib dalam bidang komik. Sebelum Pendar Ratna, Amna pernah cuba memasuki Supreme/Sucomi dengan karya TGP, namun gagal dengan karya tersebut. Antara komik Amna yang lain adalah Duga Jeladeri dan Gema Pemikiran.

Irfan

Irfan Hilal seorang anak muda yang berbakat besar. Stail lukisan Irfan unik dan dia hebat dalam melukis latar fantasi. Irfan juga mempunyai latar belakang dari Seni Halus. Irfan merupakan pelukis komik Imagine di Sucomi. Irfan juga dikenali dengan karyanya, Antara Cinta & Sahabat.

Kawa atau dikenali sebagai Ain dikalangan Aretis United, merupakan pelukis komik Aku Pencari. Aku Pencari adalah antara komik kegemaranku di Sucomi. Kawa pandai menggambarkan komik seperti babak dari filem.

Hasif

Hasif Rayyan merupakan penulis bagi komik D'Raksha. Kini Hasif  aktif menulis novel. Antara novelnya yang mendapat sambutan adalah, Teman Ghaib:Rakzhan. Hasif juga berpengalaman sebagai editor Supreme satu ketika dahulu. Komik D'Raksha mempunyai ahli kumpulan iaitu Harihtaroon, Nurel dan Mar. Mar seorang penulis yang menyampaikan cerita dalam bentuk tersendiri, iaitu, thumbnail.

Sayuti Fakhri juga dikenali sebagai Uti dikalangan Aretis United, merupakan pelukis komik Forgia.
Sayuti merupakan adik kepada Mizi. Pada awal penglibatan Sayuti dengan Forgia, Sayuti dibantu oleh Haikal Adnin, rakannya. Kini Sayuti bergerak sendiri dengan Forgia. Sayuti boleh dikatakan seorang yang gigih. Dia antara yang laju dalam update komiknya di Sucomi.

Yasahiro Yoruki

Yasahiro Yoruki merupakan pelukis komik York. Yoruki adalah pelajar bidang animasi. Dia juga berbakat dalam menghasilkan digital painting.

Aniff

Aniff Zazali adalah pelukis bagi komik Tamingsari. Aniff turut dikenali dengan komiknya, Rindu Dendam.

Inderawasih

Inderawasih merupakan pelukis bagi komik APA. Inderawasih seorang yang banyak ilmu, sering berbincang mengenai ilmu yang baru bagi aku. Kini, APA telah menamatkan episodnya pada episod 5. Antara karya lain oleh Inderawasih adalah Kebebasan yang Hilang.

Syafy

Syafy Zahin, seorang lagi dari Seni Halus di kalangan Aretis United. Syafy merupakan pelukis komik maskot.

Ploless

Ploless atau dikenali juga sebagai Yasmin, adalah seorang gadis cun dengan stail lukisan yang unik. Ploless merupakan pelukis bagi komik Sirna Gerhana. Sirna Gerhana, dijayakan dengan penulisnya iaitu. Khairul Exodus, seorang anak muda yang bercita-cita tinggi.

Kemudian, dua pengkarya yang baru menyertai Aretis United adalah Aiman dan Kein.

Selepas seketika penubuhan Aretis United, sebahagian dari kami telah tarik diri Sucomi. Masing-masing mempunyai sebab-sebab tersendiri. Namun, itu tidak bermakna mereka berhenti berkomik. Mereka masih lagi merupakan ahli Aretis United. Teruskan mengikuti perkembangan kami untuk karya-karya kami yang seterusnya. Teruskan juga menyokong Sucomi.


*Setiap gambar atau lukisan adalah milik aretis tersebut.

*Kepada para aretis, jika aku salah info mengenai anda atau anda tak suka dimasukkan di sini, boleh beritahu kepada ku dengan segara.

*Terdapat segelintir aretis yang tidak ku sebut di sini kerana info yang aku miliki, terbatas. Jika anda salah seorang aretis atau bekas aretis yang ingin dimasukkan nama ke dalam penulisan ini, mohon hubungi ku dan berikan butiran anda. Terima kasih.