Monday, March 12, 2018

Amna Shark dan Pekomik Classroom



Aku pernah ceritakan bahawa tahun ini, aku mula terlibat dengan Pekomik. Selaku salah seorang AJK Pekomik, ini adalah tugasan pertama yang diberikan kepadaku, membuat bengkel komik. Pada 10 Mac 2018, berlangsunglah Pekomik Classroom. Aku mampu laksanakan ini pun, kerana bantuan dari seluruh AJK Pekomik, terutamanya Tuan Presiden. Alhamdulillah.

Pekomik Classroom, dibimbing oleh tiga orang tenaga pengajar yang merupakan pelukis komik daripada generasi-generasi yang berbeza. Untung siapa yang hadir ni. Dapat berjumpa dan dengar sendiri daripada tiga nama hebat ini, Pokcik Fingernailz, Bophairy dan Tembakau.

Alhamdulillah, bengkel berjalan lancar. Meski aku hadir ke sini sebagai urussetia, namun itu tak menghalang aku untuk serap seberapa banyak ilmu yang boleh diperolehi hari ini.





Sesi pertama bersama Pokcik Fingernailz. Pokcik boleh dikatakan pelukis dari generasi ku. Umur Pokcik pun, kalau tak silap, muda beberapa tahun dari ku. Apa yang aku boleh dapat dari pelukis komik yang masih muda? Haa.. banyak rupanya perkara yang boleh aku pelajari dari beliau. Memandangkan kami dari generasi yang sama, input yang Pokcik beri, lebih bersesuaian dengan zaman aku. Seperti, platform melukis, target audience dan sebagainya.

Selesai sesi bersama Pokcik, beliau berikan laluan kepada peserta untuk bertanya soalan. Aku  ambil peluang mengemukakan soalan: "Apa nasihat Pokcik untuk membuat cerita mengikut kehendak audience atau kehendak diri?" Jawapan dari Pokcik, sebenarnya jawapan yang sudah aku jangkakan. Tapi sengaja aku mahu dengar juga. "Untuk permulaan, ikutlah kehendak audience. Nanti fan based dah kukuh, barulah buat mengikut kehendak sendiri." Jelas Pokcik. Aku sekadar beri satu senyuman sahaja. Jawapan yang sudah ku jangka. Namun, itulah kesilapan diri aku yang tak mampu diubah lagi. Aku mengikut kehendak sendiri. Bukan audience. Apa-apa lah. Nantilah aku selesaikan isu tersebut.


Seterusnya, sesi bersama Tuan Bophairy. Nama yang sudah lama bertapak dalam industri ini. Beliau banyak menerangkan cara-cara menghantar proposal komik. Sudah tentulah, aku tak terlepas untuk catit apa yang patut.

Selepas itu, kami berhenti rehat untuk tengah hari. Sedang aku menjamah hidangan, terlihat seseorang di seberang jalan, memakai baju 'Jenama X', terus aku buat andaian, "Itukan Tuan Tembakau?" Tanya ku kepada salah seorang ahli Pekomik yang turut hadir sebagai AJK hari ini.  ternyata andaian aku tepat. Ya, itu beliau. Sesi bersama beliau adalah selepas ini.



Sesi bersama Tuan Tembakau, terasa sesuatu. Sukar hendak aku jelaskan apa itu 'sesuatu'. Mungkin ini adalah aura seorang pro yang sudah bertahun-tahun pengalaman. Beliau bercakap dengan ilmu dan pengalaman. Ada satu ilmu yang dikongsi oleh Tuan Tembakau, aku terasa seperti pernah dengar sebelum ini. Bila aku fikir-fikirkan, oh, Tuan Sireh pernah ajar benda yang sama. Terus aku catitkan. Jikalau sampai dua pro sudah berkongsi ilmu yang sama, ianya sesuatu yang penting. Tuan Tembakau juga tunjukkan karya-karya beliau yang dibuat secara manual. Aku cuma mampu diam-diam menjerit dalam hati. Mengagumkan!

Aku bersama para peserta dan tenaga pengajar yang menjayakan bengkel hari ini.

Bersama tenaga pengajar.

Selesai sahaja bengkel, kami, AJK bengkel dan tenaga pengajar, duduk minum semeja. Sembang-sembang apa sahaja perkembangan komik. Aku banyak mendengar dari bersuara. Tentulah, inilah peluang serap apa sahaja yang boleh aku dapat lagi.

Aku ambil kesempatan bertanyakan Tuan Tembakau mengenai pengalaman beliau pernah terlibat sebagai storyboard artist Usop Sontorian. Dengar la bagaimana animasi zaman tu dibuat, bagaimana storyboard zaman tu. Yelah, aku juga storyboard artist. Mahal tau peluang sebegini bagiku. Wow, aku berpeluang duduk minum semeja dengan pelukis storyboard Usop Sontorian, animasi zaman kanak-kanak ku! Aku sendiri tak percaya. Kalaulah Amna yang sekolah rendah itu tahu, tua nanti, dia dapat peluang sebegini, mesti dia tak sabar nak tua.  

Hari semakin petang, kami mula beredar pulang. Alhamdulillah untuk hari ini. Aku bersyukur sangat dapat peluang sebegini. Terima kasih Pekomik, barisan tenaga pengajar, dan para peserta yang terlibat bagi menjayakan hari ini.