Saturday, August 29, 2015

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 3

Baru-baru ini, aku mendapat tahu bahawa editor Pendar Ratna, Kak Nabilah, juga menjadi editor untuk sebuah komik lain.




Rupa-rupanya, komik tersebut adalah komik 'Agensi Pengiklanan Ahmad' (APA). Komik tersebut ditulis oleh NaHa dan dilukis oleh Indera Wasih. Indera Wasih adalah rakan aku. Jadi menarik juga ada rakan yang bekerja di bawah editor yang sama. (Untuk gambar di atas.. err,, maaf lah lukis Indera Wasih sebegitu. Tiru gambar profile picture mu. Dan untuk gambar NaHa pula, terpaksa lukis misteri sebegitu sebab belum kenal orangnya. Huhu..)

Apa yang aku mahu ceritakan di sini, pada suatu hari, aku dan Indera Wasih bersembang. Aku sangka ianya perbualan biasa seperti hari-hari lain. Namun tak sangka terjadinya perkongsian ilmu. Sejujurnya pada hari tersebut banyak ilmu aku terima dari Indera Wasih. Tak sangka, seorang yang asyik sebut, :"Cik Amna, sila beri tunjuk ajar.." sebenarnya dia yang banyak mengajar aku. Aku ada beri kepadanya sedikit tips yang aku guna dalam menghasilkan watak. Aku hanya beri sedikit tips sahaja. Tapi dia teramat berterima kasih kepadaku. Indera Wasih, ilmu kau beri kepada aku jauh lagi banyak lah... Terima kasih banyak-banyak, lain kali, berilah ilmu banyak lagi. Aku benar-benar menghargai. Siap salin nota lagi tau.




Komik 'Agensi Pengiklanan Ahmad' (APA) akan boleh di baca bulan September ini. InsyaAllah. Tak lama lagi. 

Bagi yang belum membaca Pendar Ratna episod 3, bolehlah baca di sini.

Masih sempat undi!!! (sebelum Isnin ini) Cepat, undi di sini.

*Akak Nabilah, jangan marah. ni gurau je. Hehe..




Jumpa lagi dalam post akan datang, InsyaAllah.


Tuesday, August 25, 2015

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 2

Kenapa Pendar Ratna episod 3 lambat betul nak update? Sebabnya, aku manusia biasa yang tak dapat lari dari tugasan lain, kerja. Nak hidup kena lah kerja. Apa boleh buat. Tapi aku benci memberi alasan sebegini. Sebab aku sendiri yang pilih untuk menjadi pelukis komik, maka aku tak suka kena beri alasan apabila komik tak siap-siap lagi. 


Jadi, sebaik saja kerja lain siap, aku bertekad untuk siapkan Pendar Ratna episod 3 secepat mungkin. Ada 6 hari lagi tinggal untuk kejar tarikh update yang terdekat. 6 hari untuk 19 muka surat komik, adalah sesuatu yang mustahil bagi aku. Ini kerana sejarah aku setakat ini, episod 1 mengambil masa selama 18 hari. Manakala episod 2 selama 14 hari. Bunyinya tak masuk akal untuk aku mampu buat episod 3 dalam masa 6 hari. Tapi aku ketepikan segala tak logik. Aku buat saja.


Episod 3 Pendar Ratna, terdapat babak-babak tarian zapin. Aku bertuah kerana memiliki adik yang pandai menari zapin. Aku pun minta bantuan adikku, Tona, untuk membimbing aku menghasilkan zapin dalam komik.


Rupanya, ia tak semudah yang disangka. Mata seorang penari zapin dengan seorang pelukis komik, tak sama. Aku mahu panel-panel dalam komik aku memiliki angle yang menarik. Tapi angle yang menarik di mata aku itu, tak kena dengan apa yang Tona mahu. Sebab angle sebegitu membuatkan ianya tak kelihatan seperti zapin. Memandangkan aku mahu tunjuk ianya zapin, aku ikut cakap Tona.


Aku ada juga rujuk youtube zapin. Tapi lebih mudah Tona pose saja depan aku. Haa... subjek matter depan mata. Bukan lagi alasan untuk tak boleh melukis zapin.


Lepas tu, tugas Tona kritik sama ada aku lukis betul atau salah. 


Dalam pada kesibukkan aku menyiapkan komik sehingga makan, mandi dan tidur semuanya jadi tunggang langgang, berita sedih datang. Bagheera, kucing hitam kesayangan aku hilang. Tak balik rumah. Saat post ini ditaip pun, Bagheera masih belum pulang. Aku syak kena curi tu. Sebab dia comel dan dia tak takut dengan orang asing.


Aku keraskan hati aku. Aku tak nak sedih sebab nanti kerja tak siap. Aku cuma mampu berdoa sambil membuat kerja. Doa agar Bagheera pulang segera.


Selesai bahagian zapin, Tona check lukisan-lukisan aku. Amboi. Dia pulak dah jadi editor aku.


Di penghujung waktu, ada lagi satu muka surat beserta cover belum siap, aku gelabah. Nasib baik editor aku cool.


Syukur editor aku kata pagi esoknya masih boleh hantar.


Pagi Ahad... Lebih kurang dalam waktu Subuh, aku berjaya siapkan dan hantar. 



Umpama ayam kampung, telur sebiji riuh sekampung, aku pun keriuhan dengan kejayaan aku. 19 muka surat 6 hari !!!! Ini lah.. perangai Pelukis muda, baru, tanpa pengalaman. Pelukis-pelukis lain, bagi mereka ini perkara biasa saja. Tapi bagi aku, ianya sebuah kejayaan. Pecah rekod diri sendiri. Jadi, berilah peluang aku gembira sekejap. Jangan bandingkan dengan pelukis-pelukis lain yang lagi hebat. Kan? Hehe... Kelihatan editor ku turut tumpang gembira..


Begitulah saja kisah balik tabir Pendar Ratna buat masa ini. Penulisan ini hanyalah sebuah jurnal untuk rujukan diri aku sendiri masa akan datang nanti. Bukan sengaja mahu kecoh-kecoh kisah balik tabir yang tak seberapa ini.

Bagi yang belum baca Pendar Ratna episod 3, bolehlah baca di sini.

Jika suka, tolong undi di sini.

Oh ya, jika borang undian kelihatan seperti gambar di bawah ini, ikut saja arahan ini:


Undian dari pembaca semua amat bermakna. Ianya menentukan sama ada komik ini akan diteruskan atau tidak. Jadi, berikan sokongan anda dengan undi. Terima kasih pembaca semua. Anda semua selalu buat saya terharu dengan respon-respon positif selama ini.



Thursday, August 13, 2015

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 1

Pendar Ratna, ketika post ini ditaip, sudah memiliki sebanyak dua episod. Ya, jumlah yang amat sedikit. Tapi, sepanjang perjalanan yang sedikit ini, aku terasa mahu berkongsi juga cerita perjalanan setakat ini.

 Semua komik di laman web Supreme memiliki editor masing-masing yang menjaga komik-komik tersebut. Pendar Ratna juga tak terkecuali. Tapi, nak tahu sesuatu tak? Sepanjang dua episod Pendar Ratna berlangsung, komik ini pernah bertukar editor sebanyak 4 kali. Hanya dua episod, tapi berpengalaman dengan 4 editor.  Baiklah, cerita terperincinya, sebenarnya begini...

Editor pertama

Mula-mula, aku dapat Abam Apam sebagai editor. Tak pernah kenal dia secara peribadi, tapi sudah mendengar khabar bahawa dia seorang yang amat sibuk. Jadi, setiap masa yang aku guna untuk berbincang dengannya, aku akan guna sebaik mungkin. Tak berani langsung nak rugikan masa dia. Bahasa juga aku guna dengan baik. Betapa aku hargai dengan masa yang dia sudi luangkan untuk aku. Syukur, walaupun dalam tempoh yang amat singkat, dia sempat curahkan ilmu. Rakan seperjuanganku, Aniff Zazali, pelukis Tamingsari, gelak guling-guling bila dia tahu siapa editor aku. Kenapa dia ketawa? Rasanya dia ketawa tengok betapa 'formal' nya aku.


Editor kedua

Namun, atas sebab-sebab tertentu, Abam Apam tak boleh jadi editor Pendar Ratna lagi. Dia janjikan nanti ada editor datang ganti. Aku pun akur dengan ketentuan takdir (poyo tak ayat?) dan menanti dengan sabar kemunculan editor baru. 

Pada suatu hari, Aya Julkree tiba-tiba like page aku. Tahu tak dia adalah pelukis kegemaran aku? Selama ini aku ikuti page dia, minat dalam diam, Tiba-tiba dia like page aku??? Apakah? Dan, untuk menambahkan lagi kejutan, dia perkenalkan diri dia: "Hai, saya editor baru untuk Pendar Ratna." Serius???!!!! Ini mimpi ke apa? Nak tambah lagi kejutan? Aya kata dia minat style lukisan aku. Ok, ini memang satu mimpi agaknya. Pelukis yang kau minat, boleh mengaku dia minat style lukisan kau. Dapat Aya sebagai editor memang memberi semangat positif dalam diri aku.


Editor ketiga

Apakan daya, Aya juga mempunyai hal-hal yang tak dapat dielakkan dan terpaksa berhenti dari menjadi editor Pendar Ratna. Lagi sekali aku terpaksa akur dengan takdir. Tapi, walaupun Aya bukan lagi editor Pendar Ratna, aku masih lagi peminat dia. Aku masih ikuti perkembangan dia. 

Untuk seketika, Pendar Ratna tidak memiliki editor. Bagaimana aku nak menghantar karya ni? Lalu, aku bercerita kepada Maryam mengenai situasi aku ketika itu. Maryam adalah editor untuk komik lain dalam Supreme ketika itu. Tak sangka pula Maryam menawarkan dirinya untuk pegang Pendar Ratna sementara menanti editor baru. Dalam kesibukkan dia dengan tugasnya yang lain, dia masih boleh bertanggungjawab sebagai editor Pendar Ratna. Aku sempat menuntut sedikit ilmu darinya walau dalam tempoh yang amat sekejap itu. Sungguh, aku terharu. 


Editor keempat

Tak lama kemudian, Maryam kenalkan aku kepada Nabilah. Kini, saat post ini ditaip, editor Pendar Ratna adalah Nabilah. Alhamdulillah, aku dan dia juga serasi. 



Begitulah kisah perjalanan Pendar Ratna setakat ini. Seorang rakan pelukis komik yang lain, bertanya: "Tak penat ke asyik tukar editor? Kena ceritakan semula semua dari mula" Ini jawapan aku:"Ha ah, memang penat. Tapi, satu kelebihan yang aku miliki, aku berpengalaman tuntut ilmu dari 4 orang yang berbeza walau dalam tempoh yang singkat." Ya, setiap dari mereka sempat kongsi sedikit dari ilmu masing-masing kepada aku. 

Harap editor-editor ni tak marah aku tulis kisah balik tabir Pendar Ratna ni. Bukan apa. Sebagai jurnal rujukan masa akan datang. Juga sebagai peringatan kepada pelukis-pelukis lain agar hargai editor mereka. Hehe..

Buat pembaca Pendar Ratna yang menanti episod 3, tolong nantikan dengan sabar ya? Selain pelukis Pendar Ratna, aku juga miliki kehidupan lain dengan tanggungjawab lain. Namun aku tetap sedaya upaya utamakan Pendar Ratna. Sebab apa? Sebab anda semualah. Anda semua tak henti-henti beritahu aku anda suka Pendar Ratna. Aku pun bersemangat untuk teruskan perjalanan Pendar Ratna ini. 

Baik, itu saja buat masa ini. InsyaAllah jumpa lagi dalam post akan datang.