Sunday, June 3, 2018

Di mana

Semakin hari, semakin tua. Cita-cita juga, selepas satu persatu tercapai. Jika aku yang muda dulu tahu apa yang aku kini telah kecapi, tentu dia tak sabar nak tua.

Namun, dalam pada aku dilihat telah miliki segalanya, sebenarnya di sudut hati, aku masih mencari-cari tempat untuk ku. Aku juga tak tahu, tempat apakah itu. Aku ketagih untuk travel. Sebelum ini, setiap tahun, sekurang-kurangnya sekali aku mampu travel. Namun tahun ini, kerana aku berjaya miliki studio, aku tak mampu untuk travel disebabkan komitmen yang harus ku berikan kepada studio. Orang lain mungkin anggap, travel itu cuma satu hobi generasi sekarang yang suka menunjuk-nunjuk di instagram. Tapi cuma aku tahu. Aku mencari 'tempat' untuk ku di dunia ini.

Makin tua, kawan-kawan menjadi semakin ramai. Lagi-lagi kerana banyak urusan kerja, jadi makin bertambah juga kawan atas urusan professional. Tapi, walau kawan ramai sekalipun, aku masih cari tempat yang mengalu-alukan diriku walau ketika aku tidak bersikap profesional.

Dalam kalangan adik beradik aku sendiri pun, aku rasa tak masuk. Bukan salah mereka. Mereka sempurna serba serbi. Sempurna sampai tahap, jika berkumpul saja, yang salah, mesti aku. Seolah olah aku spesis dari planet lain. Aku tak rasa seperti aku salah seorang dari mereka.

Jujur aku cerita di sini, sebenarnya bila aku makin tua, makin ramai lelaki yang cuba dekati aku untuk ke arah hubungan serius. Tapi, jujur juga aku katakan, cuma dari topik perbualan sahaja, sudahku tahu tempat aku bukan di mereka.

Patutlah Tuhan buat hayat manusia tidak panjang. Sebab, makin lama hidup, makin terasa dunia ini tak ada apa.

Cerita di sini, bukan untuk menyalahkan sesiapa di sekeliling diriku. Aku sedar, aku yang ganjil. Aku yang pelik. Tempat aku bukan di sini. Mungkinkah satu hari nanti aku sampai ke tempat yang benar-benar untuk ku dan mengalu-alukan kedatangan ku?