Wednesday, April 18, 2018

Amna Shark dan Hari Kartunis Malaysia 2018

1 April merupakan hari Kartunis Malaysia. Pada 1 April 2018, aku berasa amat berpuas hati kerana sepanjang hari tersebut telah ku manfaatkan cuma untuk aktiviti komik. 

Aku bertolak awal pagi, menuju ke KL sentral. AJK Pekomik akan mengadakan meeting di situ. Disebabkan lokasi aku jauh, aku telah keluar seawal yang boleh. Setibanya di KL sentral, aku lega walaupun aku sedikit terlewat, meeting masih belum bermula. Masih lagi menanti ketibaan beberapa AJK yang lain. 

Meeting Pekomik berjalan lancar. Syukur Alhamdulillah. Apabila meeting berakhir, kami sempat juga berbual-bual, ambil ilmu mengenai dunia komik. 

Meeting AJK Pekomik 

Ketika kami selesai makan tengah hari dan berbual, waktu telahpun hampir Zohor. Aku sebenarnya menanti untuk ke Forum Khas: Hari Kartunis 2018 yang akan bermula tidak lama lagi. Maka, aku mengajak mana-mana AJK Pekomik yang berminat untuk turut serta. 

Forum Khas : Hari Kartunis Malaysia 2018 

Forum Khas tersebut diadakan di Muzium Negara, tidak jauh dari KL Sentral. Selesai Zohor, aku bergegas ke Muzium Negara. Masuk sahaja auditorium, aku terkejut melihat auditorium kosong. Yang aku lihat adalah, seseorang yang amat aku kenali dan sanjungi, Prof Muliyadi. Bekas pensyarah aku. Seperti biasa setiap kali aku bertemu Prof, aku menghampiri dengan tersenyum sampai ke telinga.

Belum sempat aku menyapa dan bertanya khabar Prof, Prof telahpun terlebih dahulu menyapa ku dan bertanya khabar. Kemudian aku bertanya, "Tak ada siapa pun?" kerana kehairanan melihat auditorium yang kosong. "Nanti 2.30, ada lah tu" balas Prof tenang. Baru aku perasan, program tersebut mula pukul 2.30 lah. Aku pukul 2 sudah tercegat di sini. Bukti betapa teruja dan sokongan tidak berbelah bahagi dari ku. 

Aku mengambil tempat di dalam auditorium tersebut. Bersama-sama aku, adalah Nabilah N. A. N, rakan Aretis United dan juga merupakan salah seorang AJK Pekomik. Apabila menghampiri jam 2.30, manusia mula memenuhi ruang auditorium.

Ada satu ketika, segerombolan kartunis-kartunis otai memasuki auditorium serentak. Terasa ada satu aura luar biasa. Para hadirin juga semua menoleh kepala melihat kehadiran mereka. Mengagumkan bukan?  Jadi kartunis juga boleh disanjung sebegini.  Mungkin ketika aku tua nanti, aku pula ditempat sebegitu? Angan-angan kosong kah aku? 


Prof Muliyadi merupakan moderator bagi forum kali ini. Ahli panel pula adalah Jaafar Taib, Mishar, Dato Azman Yusof dan Zainal Buang Hussein. Nama-nama ahli panel, semuanya nama-nama yang aku belajar dari buku semasa belajar subjek liberal studies satu ketika dahulu. Luar biasa rasanya apabila nama-nama yang selama ini cuma belajar dari buku, kini aku dapat melihat dan mendengar insan-insan ini duduk di depan dan bercakap. 

Namun, sesi yang paling menarik bagiku adalah, ketika sesi soal jawab para hadirin dan ahli panel. Barulah terasa perbincangan dua hala. Malah, para hadirin juga bukan calang-calang manusia. Kartunis-kartunis otai, penggiat seni, collector, pihak media, dan ramai lagi. 

Seusai forum ini, para hadirin berkumpul dan minum petang di luar auditorium. Ketika inilah, dapat lihat nama-nama besar berkumpul, bersembang, dan aku hanyalah, seorang pelukis komik muda, mentah dan tidak dikenali tersesat dikalangan mereka. 

Aku sempat bergambar dengan kartunis Lambok. Ni sudah kali kedua sebenarnya bergambar dengan beliau. Kali pertama, ketika majlis pelancaran Jenama X. Buat malu saja. Beliau ternampak aku masa sedang bisik-bisik dengan AJK Pekomik kerana segan nak minta bergambar dengan beliau. Kantoi aku peminat beliau. Tapi tak apalah. Beliau tak kenal aku. Aku pun tak kenalkan diri. Nasib baik. 



AJK Pekomik bergambar dengan Prof Muliyadi selepas Forum berakhir. 

Sesudah itu, aku menuju ke KL sentral semula, untuk Asar, Maghrib, dan sempat mandi dan bersiap untuk event malam tersebut. 

Event malam itu adalah event yang aku tunggu-tunggu. Aku datang sebagai salah seorang dari 10 orang AJK Pekomik untuk Majlis Hari Kartunis Malaysia 2018. Pada mulanya, aku tak mahu hadir kerana ia berlangsung waktu malam. Aku pula tinggal jauh. Susahlah jika pulang lewat. Namun setelah aku tak sengaja tertahu senarai nama-nama yang hadir, terdapat ramai kartunis, dan Prof Muliyadi, terus aku beritahu Pekomik, aku mahu turut serta! Maka, tersenarailah namaku dalam senarai tetamu pada malam tersebut.

Amna Shark di Hari Kartunis Malaysia 2018.

Bergambar bersama Uncle Gedek dari Blog Begins at Forty

Antara AJK Pekomik yang turut serta.

Selesai makan dan penyampaian anugerah, kami bergambar. Aku saja yang terkejar-kejar mendesak AJK Pekomik bergambar segera, sebab aku kena mengejar KTM terakhir. Dan selepas itu, terlihat seorang gadis dress hitam, berlari-lari anak mengejar KTM terakhir. Aku lah itu.

Tamatlah kisah aku pada Hari Kartunis Malaysia 2018. Amat berpuas hati, sepanjang hari ku dimanfaatkan. Gembira kerana menjadi sebahagian daripada hari bersejarah ini. Terima kasih, Pekomik.