Saturday, June 30, 2012

Degree Show 9 hari lagi...

9 hari saja lagi? Tak lama dah tu. Tapi, sempat pula aku buka blog untuk tukar header blog ni. Jemu pakai header yang sama lama sangat.

Ini rupa header aku sebelum ini:


Ini rupa yang baru ditukar:

Header aku sebelum ni, konon nak buat muka misteri la... Tapi ada mereka yang kata ianya langsung tak misteri! Ok, merajuk la.. Tukar header baru. Header baru aku, sememangnya tak misteri. Aku dedikasi header ni kepada Bubu dan Kembang ku yang telah pergi selamanya. Nanti akan datang baru aku cuba fikirkan bagaimana nak buat header penuh misteri.

Oh, ya.. cakap pasal misteri, Faten Osman ada beri kepada aku satu lukisan. Comel sangat! Inilah dia:


Rasanya, dia cuba lukis imej Gadis Misteri. Ok lah, nampak misterinya, ada rupa ahli sihir cuma naik pensel, bukan penyapu. Oh, sebab kerjaya aku melukis lah kan. Bagus idea tu. Terima kasih Faten Osman. Mungkin header aku seharusnya sesuatu seperti ini? Entahlah.. Nanti lah aku fikirkan.


Wednesday, June 27, 2012

Degree Show 12 hari lagi...

Hari Isnin baru-baru ni, ada Preview untuk lihat sama ada student tersebut layak atau tidak untuk mara ke Degree Show. Hari yang sama juga, aku ada presentation untuk minor aku. Maka, bersiap-siaplah aku secantik mungkin lengkap berkebaya lagi. Berkebaya untuk presentation. Oh ya, ini cerita dua hari lepas, aku baru menulisnya hari ini.

Selesai minor, aku bergegas menuju ke studio aku untuk melihat preview berjalan. Selamat kerana masih belum bermula. Aku dan rakan-rakan seperjuangan painting mengatur painting masing-masing untuk bersedia menghadapi preview. Dalam masa yang sama, kami dengar khabar bahawa student sulpture sedang di preview. Makin debar-debar terasa.

Tiba masanya, sekumpulan orang (lecturer la) datang masuk studio painting. Kami semua dikehendaki tunggu di luar. Perasaan ketika itu, tak tahulah nak kata macam mana. Aku tak takut kerana aku rasa aku dah bersedia. Cuma aku risau. Entah apa tanggapan mereka terhadap painting aku. Perasaan aku, bagai seorang ibu yang meninggalkan enam orang anaknya diluar penglihatannya. Begitulah aku rasa. Terfikir-fikir kan enam painting aku yang ditinggalkan sendirian di dalam tanpa pengawasanku. Maaf, adakah perumpamaan yang aku beri terlalu hyperbola?

Selesai preview, lecturer kami prof Jai datang mengumpulkan kami semua. Saatnya telah tiba untuk dia memberitahu siapa yang tak layak untuk ke Degree Show. Syukur Alhamdulillah! Kami semua layak! Aku benar-benar lega. Aku memang tidak mahu melihat sorang pun daripada rakan ku yang terkandas. Kerana aku tahu, kami semua bermati-matian untuk Degree Show ini.

Aku bersama painting-painting ku.

Petang itu, aku berjumpa dengan lecturer minor ku, Prof Muliyadi. Sebab apa aku jumpa dia? Itu rahsia. Adalah alasan peribadi ku. Bagi yang mengikuti blog aku, mesti dah pernah terbaca mengenai prof kan? Ya, dia lecturer yang paling aku suka. Dia cool, ilmu tinggi.. Seperti peribahasa yang pernah aku nyatakan sebelum ini: "Sukakan gaharu kerana baunya, Sukakan guru kerana ilmunya," Ya, aku suka dia. Aku rasa, senyap-senyap aku ni sebenarnya cuba ikuti jejak langkah prof. Hehe.. mampu ke? Cubalah dulu. Tak ada siapa larang pun. Pertemuan dengan prof haritu, banyak memberi aku semangat baru. Amna, berusahalah!!!

Hari terus berlalu.. Menanti tibanya Degree Show... 

Monday, June 25, 2012

Degree Show 2 Minggu Lagi...

Belum benar-benar bersedia.


Hari terus berlalu...
Betul-betul ada dua minggu sahaja lagi sebelum tarikh keramat itu.
Sebelum hari tersebut, ada dua peperiksaan menantiku.


Masih mampu mencuri masa update blog


 Menemani rakan-rakan keluar mencari barang.


 Slip peperiksaan yang siap di print,
hanya menanti hari peperiksaan menjelma.


Aku bersama perempuanku (painting la) 


Penyejuk hati, penawar duka, pengubat stress.
Kucing di Seroja.


 Rakan seperjuangan.

Rakan seperjuangan juga.


Sunday, June 17, 2012

Degree Show 22 hari lagi...





22 hari lagi..
Lebih berdebar-debar dari menunggu SPM dulu.
Berusahalah sehabis mungkin buat semua rakan seperjuangan!
Semoga semua berjalan lancar.
Amin...

Saturday, June 16, 2012

Cabaran Melukis Emosi

We Love Art (WLA) adalah sebuah kumpulan di Facebook yang mengumpulkan blogger-blogger yang meminati seni. Sehingga kini, pelbagai aktiviti seni telah WLA adakan. Aku pernah menceritakan mengenai aktiviti-aktiviti WLA yang telah aku sertai. (Boleh bacanya di SINI

Kini, pertama kali aku pula yang menganjurkan aktiviti di WLA. Inilah 'Cabaran Melukis Emosi'. Sila guna bingkai yang sudah disediakan ini:


Isi tempat kosong dengan emosi yang bersesuaian dengan yang tertulis di situ. Apa-apa jenis medium, semua dibenarkan. Guna tangan, guna komputer, guna lah apa sekali pun, diterima. Asalkan guna SATU watak yang sama untuk kesemua emosi ini. Watak hendaklah yang dibuat sendiri, bukan ambil dari mana-mana. Itu saja syaratnya. Oh ya, lagi satu syarat... Cabaran ini hanya untuk warga WLA ye. Tarikh akhir hantar penyertaan adalah pada 12 Julai 2012.

Nak tahu hadiah untuk cabaran ini? Ok, hadiahnya, aku akan potretkan wajah pemenang. Pemenang boleh minta potretnya dibuat dalam warna, hitam putih atau earth tone. Ini contohnya:



Baiklah, sebenarnya aku sedang sibuk untuk Degree Show ni. Jadi, aku cuma menanti ahli-ahli WLA menyertainya. Kepada bakal pemenang, potret akan dapat dalam bulan Julai. 

Aku gembira menyertai aktiviti-aktiviti WLA sebelum ini. Harap ahli-ahli WLA juga akan gembira menyertai aktiviti aku. Tak sabarnya nak lihat hasil mereka.!!! Ok, itu saja.. perlu kembali bekerja. Sekian..

Friday, June 15, 2012

Degree Show 24 hari lagi...


Degree Show 24 hari lagi?
Aku dah bersedia belum?
Masih dalam proses lagi..
Tapi, waktu-waktu macam ni pula lah terasa rindu rumah.
Padahal family aku baru datang melawat aku tadi.
Nak balik rumah, tapi aku rasa tak ada masa dalam 24 hari ni.
Tolong lah kuat Amna...
Berjuang mati-matian 24 hari ni.
Lepas tu, bolehlah balik rumah! 
Ok, nak sambung buat kerja.



Friday, June 8, 2012

Fine Art part6 2012


Tinggal sebulan lagi untuk menikmati kehidupan sebagai pelajar Fine Art. Kami terdiri dari major Painting, Sculpture, Printmaking dan Ceramic. Ramainya kami.. Sejujurnya, belum semua aku kenal. Siapa boleh cari mana aku?


Monday, June 4, 2012

Bulan Jun


Assalamualaikum.. Sedar tak sedar, dah masuk bulan Jun. Maksudnya, ada lagi sebulan saja sebelum tamat semester akhir ini. Bila dah tiba saat-saat akhir begini, sibuknya aku tak terkata. Kehidupan aku, macam tak ada benda lain selain painting. Bangun tidur, buat painting sepanjang hari. Lepas tu tidur semula. Esoknya, hari yang sama berulang. Kehidupanku hanya berulang alik dari studio dan bilik. Balik bilik untuk tidur, datang studio buat painting. Begitulah setiap hari. Sedang sibuk begini, aku tiba-tiba terasa nak ke pantai. Hai.. Berangan je lah Amna. Mana nak dapat pantai di Shah Alam ni?

Apa-apa pun, aku bukan nak mengeluh dengan kehidupan begini. Inilah hidup aku. Aku pilih Fine Art. Aku terima seadanya kehidupan Fine Art ku. Aku tahu, ada budak kos lain berpendapat Fine Art ni tak ada peluang pekerjaan. Ada juga yang berpendapat buat painting ni satu pembaziran kerana banyak kos habis untuk beli kanvas dan warna. Haha.. membazir? Tuhan marah membazir tau. Aku tahu aku bukan buat sesuatu yang membazir. Ini semua adalah pelaburan masa depan. InsyaAllah kalau berusaha, akan dapat pulangan. Duit yang aku habis untuk belajar ni adalah modal untuk keuntungan masa depan. Mereka yang hargai seni akan faham. Mereka yang tak faham seni, biarlah terus dengan tanggapan pembaziran tu. 

Eh? Warna kuning yang aku beli satu botol besar tu dah hampir habis? Aku ni makan warna kuning ke? Ok, tukar topik. Bila sibuk begini, walaupun aku dan keluarga hanya terpisah dengan jarak 45minit perjalanan, sudah lama rasanya aku tak balik rumah. Hari tu balik pun dua hari saja. Rindu keluarga aku. Tapi, bila berada dalam keadaan begini, barulah aku belajar bersyukur. Dalam banyak-banyak perkara dalam dunia ni, yang paling penting untuk aku adalah keluarga. Ya Allah, syukur.. aku memiliki sebuah keluarga yang bahagia. 

Cakap pasal keluarga, hari ni hari ulang tahun kelahiran adikku Tonah. Tapi, hadiah hari jadi dia, aku dah bagi seminggu lebih awal. Sebab aku ingatkan aku tak dapat jumpa dia sebelum hari jadi dia. Rupanya, sehari sebelum hari jadi dia (semalam), aku sempat jumpa dia sekejap sebab dia nak pulangkan satu barang pada aku. Kalau aku tahu, patutnya semalam baru bagi hadiah hari jadi. Haha.. tak apalah.

Tonah bersama gelang yang aku beri.
Mahal tu. RM4000. (ok, tipu je)
Tonah, Happy Birthday...


Hari ini juga, aku mengikuti Program Survival Mahasiswa UiTM. Program yang wajib pergi sehingga semua kuliah dibatalkan. Sebelum pergi, aku berkata dalam hati: "Apa benda lah pulak ni? Aku dah lah belum tidur dari semalam sebab buat painting. Tak apa, nanti aku curi-curi tidur masa program tu". Haa.. begitu sekali kata-kata hati ku sebelum program tu bermula. Ni ada sedikit gambar semasa dan selepas program tersebut:(Gambar dicuri dari Facebook Yatt Yusof)



Haha.. selepas program tu selesai, aku kata dalam hati: "Wah, tak rugi rupanya aku pergi. Sayangnya aku ada tertidur sikit tadi sebab terlalu mengantuk". Tak perlu cerita banyak tentang program tersebut. Semua pelajar UiTM yang hadir tahu kelebihan program tersebut.

Itu saja cerita buat masa ini. Aku perlu sambung menyiapkan painting ku. Sekian...


Friday, June 1, 2012

Pameran Kartun 2012

Semalam, aku pergi pameran kartun 2012 di Galeri Shah Alam. Adik aku, Dibah ikut sekali. 


Aku pernah cerita, aku pergi forum pekomik hari tu, kemudian aku kecewa tak sempat bergambar dengan Datuk Lat. Hari ni, aku dapat! Walaupun cuma jumpa sekejap untuk bergambar, sembang pun tak sempat, tapi tak apalah. InsyaAllah kalau diizinkanNya, satu hari nanti, aku akan jumpa Datuk Lat lagi.


Pulang saja dari Pameran Komik, soalan pertama Umi tanya: "Bergambar dengan Lat tak?" Hehe.. dengan bangganya tunjuk gambar tersebut pada Umi.