Saturday, January 20, 2018

Rima Pawana dan arah tuju Amna


Untuk Cabaran Komik Online Malaysia 2017, aku telah menghantar karya bertajuk Rima Pawana. Seperti tahun-tahun sebelumnya, lagi sekali aku kalah dalam pertempuran CKOM. Tidak terkejut, kerana ramai lagi pelukis komik yang berbakat di Malaysia ini. Malah, aku sedar diri tahap lukisan aku, memang rendah berbanding mereka. 

Cuma kali ini, kekalahan ku dirasakan benar-benar menjatuhkan aku. Untuk dua atau tiga hari, aku menjadi lesu. Aku masak, tetapi sambil lewa. Aku makan, tetapi tak kenyang. Aku duduk termenung banyak. Aku tak mahu sebenarnya taip sesuatu yang negatif di sini. Aku tak mahu cucu ku nanti terjumpa blog ini dan tahu bahawa nenek mereka lemah. Percayalah cucu-cucuku. Nenek kuat. Lemah nenek cuma sekali sekala seperti angin yang berlalu pergi saja. 

Kenapa aku tak boleh menerima kekalahan seperti tahun-tahun sebelum ini? Padahal dah banyak kali kalah, tak pernah kisah pun. Ini kerana, Rima Pawana adalah komik pertama aku setelah aku keluar dari bidang storyboard.

Komik pertama setelah keluar dari storyboard! Umpama bahan eksperimen ku sama ada bidang komik adalah untuk aku atau bukan. 

Aku telah memilih jalan hidup, untuk komik. Telah ku tinggalkan dunia storyboard yang mampu menjanjikan wang ringgit untuk ku. Aku pilih dunia komik yang langsung tak menjanjikan masa depan cerah. Bodoh? Cinta sejati memang bodoh. 

Dengan storyboard, aku mampu dapat duit sehingga boleh travel sini sana. Dengan komik, aku tak dapat apa. Malah tahap aku sebagai pelukis komik juga, belum lagi diiktiraf. Hanya pelukis komik media sosial saja. Tanya la sesiapa pun, pasti mereka kata pilih storyboard adalah lebih baik. Jadi wahai Amna, kenapa kau pilih komik??? 

Sewaktu masih bekerja sebagai storyboard artist, komik-komik ku terabai kerana tak cukup masa. Oleh itu, setelah tamat bekerja sebagai storyboard artist di KRU, aku pilih untuk hentikan saja bidang storyboard. Fokus kepada komik. Namun, setelah kekalahan ini, aku bagai tersedar. Tersedar di manakah tahap aku dalam dunia komik. Tersedar bidang komik tidak menjanjikan aku apa-apa. Tersedar semuanyalah. 

Tiba-tiba.. Aku mendapat perkhabaran ada tempat memerlukan storyboard artist. Bayaran dijanjikan jauh lebih lumayan dari tempat kerja lamaku. Aku mula memikirkan untuk selamat tinggal komik, dan hai duit. Namun, tak semudah tu. Aku belum berputus asa dengan komik. 

Oh Tuhan.. Tunjukkan aku jalan. Patutkah aku teruskan dalam bidang komik walau tahap aku dalam komik amat rendah? 

'Rima Pawana' 
Acrylic on canvas
2018


***
Kata seorang rakan pelukis komik kepada ku, "Komik Cari Ganti tu, nasib baik Oz yang lukis".

Cari Ganti, sebuah komik hasil penulisanku tetapi dilukis oleh Oz Ishak.

***
Mentor ku, Aman Wan, beri respon yang positif terhadap komik Rima Pawana. Sekurang kurangnya, walau kalah, masih ada insan yang melihat kebaikan dalam
Karya ini.



***
Storyboard menjanjikan duit. Berpijaklah di bumi nyata. Kau perlu duit.

***
Aku suka komik. Tapi hidup di Malaysia ni, duit amat diperlukan.

***
Entah apa kesudahan yang akan terjadi.





Thursday, January 11, 2018

Amna Shark di Pameran Kartun dan Kita



2018 telah menjelma. Tahun ini, adalah tahun yang membawa sesuatu yang baru kepadaku. Tiga bulan yang terakhir dalam tahun lepas, telah ku keluar dari zon selesa. Maka tahun ini adalah tahun untuk aku bertahan dengan cabaran. 

Pada 6 Januari 2018, buat pertama kalinya aku hadiri mesyuarat Pekomik. Aku salah seorang dari AJK Pekomik buat masa ini. Sudah beberapa tahun aku aktif dengan Aretis United, kini aku cuba aktif dengan Pekomik pula, tapi tanpa meninggalkan Aretis United. Terharu diterima menjadi sebahagian dari Pekomik. Nabilah (NaN) juga lagi seorang ahli Aretis United yang merupakan AJK Pekomik. 

Mesyuarat AJK Pekomik. 

Selepas tamat mesyuarat, kami ahli Pekomik ramai-ramai turun ke Muzium Negara. Pameran Kartun dan Kita sedang berlangsung di sana. 

Pameran Kartun & Kita memaparkan sejarah kartun, komik dan animasi di Malaysia. Selaku bekas pelajar Prof Muliyadi, dan juga berlatar belakangkan minor Liberal Studies, bahagian sejarah ini sudah ku baca berulang-ulang kali sejak dahulu. Tapi jangan lah anda pergi uji kepandaian aku. Aku cuma kata dah baca banyak kali, aku tak kata aku hafal. Apa yang hendak aku cerita, kerana ianya sesuatu yang biasa bagiku, perasaan keterujaan itu kurang berbanding pengunjung lain yang kali pertama tahu semua ini. Namun, sesuatu yang aku anggap biasa bagi diriku, aku tetap akui ianya sesuatu yang bagus untuk diketengahkan kepada orang awam. 

Di sini, aku sertakan sedikit gambar-gambar sepanjang di sana. 



Nabilah NaN dan Aku, di Pameran Kartun dan Kita. 


Bersama ahli-ahli dari kumpulan Daie Kreatif Venture (DKV). Kacak dan lawa mereka ni. Kelakar dan ceria pula tu. 

Mat Som. Sebuah karya yang telah ku baca sejak kecil. Bagi ku, ia adalah sebuah masterpiece yang tiada tandingan lagi di Malaysia. 

Dari filem animasi Putih.


Tan Tin Tun. Lagi satu karya yang telah ku baca sejak kecil. 


Semoga satu hari nanti watak-watak dari komik ku juga dapat dibuat sebegini. 

Wada dari DKV sedang ditemu bual oleh pihak media. Satu pencapaian yang membanggakan. 

Itulah sedikit kisah aku di pameran ini. Jika anda berkelapangan, pergilah mengunjung ke Muzium Negara sementara pameran ini masih berlangsung.