Wednesday, November 20, 2019

Cinta itu buta




Cinta itu buta dan membutakan. Itu kata orang. Tapi aku akuinya. Persahabatan juga boleh putus kerana cinta.

Bertahun-tahun yang lepas, aku pernah hilang seorang rakan. Kerana cinta. Dia berada dalam percintaan yang toxic. Aku tak henti-henti nasihatinya. Namun dia pergi beritahu kepada cinta hatinya itu apa yang aku nasihat ini. Lalu si cinta hatinya menyatakan kepadanya bahawa dia tak suka rakan ku ini berkawan dengan ku.

Rakan ku lalu memberitahu kepada ku bahawa cinta hatinya tidak mahu dia berkawan dengan aku. Lantas aku suruh dia pilih. "Aku atau dia?"

Pedih tapi benar, rakan ku memilih dia. Aku pun hilang terus dari hidup rakan ku. Bertahun kemudian, rakan ku muncul semula dan berkata: "Aku telah putus dengan dia"

Aku diam sahaja. Menantikan adakah kemungkinan dia akan meminta maaf kepada ku dan mengakui bahawa aku betul? Tapi apa yang dijawabnya cukup pedih bagi ku:

"Tapi aku tak menyesal"

Lihat, dia tidak menyesal membuang aku sebagai kawan walaupun akhirnya dia dan cinta hati itu putus.

Tamat sebuah persahabatan.

***

Kini, cerita ini bagai diulang semula. Tapi dengan rakan yang lain pula. Seorang rakanku sedang berada dalam toxic relationship.  Mengapa aku mengatakan ianya toxic? Sebab hubungan itu hanya memburukkan situasi fizikal dan mental rakan ku.

Aku tak jemu-jemu membebel kepadanya. Tapi benarlah kata orang, cinta itu buta. Rakan ku ini seolah-olah telah berubah sepenuhnya sikap dan personaliti.

Aku serba tak kena. Lagi aku menasihatinya, lagi jauh dia daripadaku. Malah makin dibuatnya segala benda yang aku larang. Maka aku biarkan. Tapi biarkan juga salah. 'Cinta hatinya' terus menerus memberi impak negatif terhadap rakan ku ini.

Ketika saat aku menulis ini, kata hati ku mengatakan aku bakal kehilangan rakan lagi. Namun apa jalan lagi aku boleh pilih? Allah, tolong lindungi rakanku. Allah.. Allah.. Aku tiada daya lagi.

Saturday, September 28, 2019

Dua Tahun Amna Shark Bersama Pekomik

Tidak pernah sekali pun di hati saya terlintas bahawa satu hari nanti saya bakal terlibat dengan Pekomik, satu nama yang cukup gah dalam industri komik Malaysia. Namun, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Saya telah pun dua tahun menjadi AJK Pekomik. Terima kasih tuan presiden, Tuan Meor yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai AJK Pekomik untuk tahun 2018 dan 2019.

Ketika posting ini ditulis, AGM Pekomik bakal berlangsung dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Dalam erti kata lain, ini adalah detik-detik akhir saya menggalas jawatan AJK Pekomik ini. Semenjak semalam sudah ada satu perasaan sebak di hati. Bukan apa. Saya sendiri tak sangka cuma dengan dua tahun, saya sudah menjadi amat sayang terhadap Pekomik.

Banyak telah saya pelajari dalam tempoh dua tahun ini. Pelbagai acara telah saya sertai walaupun mungkin yang saya tolong tidak seberapa. Rakan-rakan AJK semua baik-baik terhadap saya. 

Saya tidak risau tentang hala tuju Pekomik selepas ini. Kerana calon-calon presiden untuk tahun hadapan kesemuanya bagus. InsyaAllah Pekomik berada dalam tangan yang selamat. 

Terima kasih Tuan Meor, terima kasih barisan AJK Pekomik 2018-2019 kerana begitu baik terhadap saya dan banyak memberikan tunjuk ajar.

InsyaAllah saya akan terus memberi sokongan terhadap Pekomik! 

*Beberapa gambar antara kenangan bersama Pekomik.











Friday, June 7, 2019

Pendam

"Kau banyak memendam seorang diri." Kata rakanku, Ahmad (bukan nama sebenar) ketika aku menemuinya baru-baru ini.

Aku terdiam sekejap. Lalu aku memberikan satu senyuman kepadanya. "Kau pun banyak memendam." Balas ku. Kini, Ahmad pula terdiam.

Kami sama-sama diam. Entah apa dalam fikiran Ahmad, tapi dalam fikiranku, aku kagum Ahmad dapat mengesan sikap memendam ku. Rata-rata kawan-kawan sekeliling menganggap aku ni sebagai seorang yang senang 'dibaca'. Kerana aku sentiasa tunjuk dan nyatakan apa yang aku rasa.

Namun, dalam pada aku sentiasa tunjuk dan nyatakan perasaanku, sungguh benar seperti kata Ahmad, aku seorang yang pendam rasa. Segala yang aku tunjuk dan nyatakan terang-terangan selama ini, hanyalah sebahagian. Lebih banyak yang tidak terungkap dan tidak terlihat.

Mengapa cuma Ahmad yang dapat mengesan sikap ku yang ini? Ini kerana dirinya juga seorang yang memendam rasa. Kami dari golongan yang sama. Kerana itulah kami dapat mengenali spesis kami.

"Eh, dah nak berbuka ni. Kau berbuka apa?" Tanya Ahmad.

"Apa-apa saja yang aku boleh cari nanti.." balas ku endah tak endah.

"Sorang?"

"Ye. Seorang."

"Tak sedih ke?" Tanya Ahmad dengan nada penuh mengambil berat. Pandangannya tajam ke arah ku seolah-olah memang menantikan jawapanku.

Lagi sekali aku kagum terhadapnya. Sungguh ramai yang tahu aku berbuka puasa seorang diri. Tapi tidak seorang pun bertanyakan tentang apa rasanya aku berbuka seorang diri. Ahmad yang pertama. Rasa nak menangis juga ada. Menangis terharu. Tapi aku cepat-cepat memadamkan rasa itu.

Azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Aku berbuka puasa bersama Ahmad setelah diajak olehnya. Begini rupanya perasaan bahagia. Bahagia ada yang memahami. Aku tahu detik ini tak akan lama. Kami kemungkinan tidak akan berjumpa lagi atas faktor hal masing-masing.

Selesai makan, aku minta untuk undur diri. Untuk solat Maghrib dan seterusnya pulang ke rumah. Kami saling memberi salam dan aku beredar.

***

Pendam rasa.

Banyak perkara lebih baik dipendam kerana walau ia diluahkan, belum tentu difahami oleh orang sekeliling.




Thursday, May 30, 2019

Rentak sama berulang lagi.

Aku kembali membaca penulisan-penulisan ku di blog ini. Penulisan-penulisan 7 atau 8 tahun yang lalu. Aku menyedari, aku banyak bercakap mengenai 'perjalanan'. Ya, perjalanan hidup ku. Sesuai dengan tujuan blog ini ditubuhkan, memang aku mahu mencatat perjalanan hidup ku di sini lebih-lebih lagi perjalanan dalam dunia seni.

Usia ku kini sudah tua. Tentu saja pemikiranku tidak sama seperti aku yang dulu. Namun apa yang mengejutkan aku adalah, aku bagai banyak mendapat nasihat dari diri ku dari masa yang lalu. Aku yang dulu lebih banyak berfikir. Lebih banyak positif. Lebih tinggi cita-cita dan harapan.

Ada sesuatu yang aku sedar, tidak berubah sejak dahulu. Aku telah ulang-ulang rentak hidup yang sama. Sejak dahulu, aku akan melalui fasa bersemangat mahu meneruskan bidang seni halus. Seterusnya, fasa lari dari bidang melukis. Seterusnya fasa serba salah dengan hala tuju hidup ku. Akhirnya fasa kembali ke bidang melukis. Kemudian, rentak yang sama berulang lagi, lagi dan lagi.

Ketika saat post ini sedang ditaip, aku sepatutnya perlu menyiapkan komik ku. Namun fokus ku telah lari ke bidang lakonan, iaitu kerja sambilan ku kini. Ini mengingatkan aku, bahawa bertahun-tahun dahulu, perkara begini sudah pun terjadi berkali-kali. Dan ketika itu aku pilih lari ke teater. Aku aktif kelab teater zaman dulu. Tak banyak beza dengan kisah hari ini ya.

Namun, aku bagai sudah tahu pengakhirannya. Rentak sama bakal berulang. Aku akan pulang melukis jua nanti. Tinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya pulang ke belakang kerbau. Aduh, serupa sekali seperti yang pernah ku tulis satu ketika dahulu di sini:

..akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.

Kenapa aku perlu lari dari melukis? Aku sendiri juga tak tahu. Aku dilahirkan dengan bakat melukis. Kononnya kecik-kecik lagi sudah pegang pensel. Lahir pula dalam keluarga pelukis. Bakat dan minat aku dipupuk sejak kecil oleh kedua ibu bapa ku. Sejak zaman persekolahan lagi, aku sudah nampak, bahawa aku ni nanti akan melukis sampai besar. Kerja aku nanti melukis. Sehingga aku tak berapa pentingkan subjek lain di sekolah. Adakah aku mengeluh? tidak! Betapa aku bersyukur dengan hidup yang diberikan Tuhan ini.

Jadi, atas alasan apa aku mahu lari dari melukis? Lari lah Amna! Lari! Lari! Lari dari melukis! Kerana aku tahu, selagi hayat dikandung badan, aku akan pulang juga nanti.


Saturday, April 20, 2019

Bukan Rakan yang Baik


Aku bukan seorang rakan yang baik. Aku tahu kau dalam masalah. Tapi aku tak berani untuk bertanya: "Kau okay?" Sebab aku tahu kau akan jawab: "Tak". Maka aku pilih untuk diam.

Tambahan pula aku tahu dengan kudrat dan kemampuan aku, aku tidak mampu membantu. Masakan seekor burung kecil boleh membantu Sang Singa? Beratnya ujian yang ditanggung kau, sahabat. Sehingga tiada kata-kata aku boleh beri untuk pembakar semangat. Maka, aku pilih untuk diam.

Aku tidak pandai menyusun ayat. Aku tidak pandai bermanis mulut. Aku tidak pandai memujuk. Kerana itu aku pilih untuk diam.

Oh Tuhan, tolong berikan dia kebahagiaan. Permudahkanlah urusannya. Berikan dia kesihatan yang baik. Buat sesiapa saja yang baca ini, tolong aminkan doa ini.

Aku sayang kau. Serius.



Friday, March 22, 2019

Ringkasan 2018 Amna Shark

Aku rindu blog ini. Inilah tempat aku catitkan hampir semua pengalaman atau pemikiran ku. Ia adalah jurnal ku. Namun, kesibukan hidup membuatkan aku tidak berkesempatan meneruskan rutin ku semenjak dahulu. 

Kebiasaannya, setiap hujung tahun aku akan membuat ringkasan tahun tersebut, dan mensyukuri segalanya dalam tahun itu. Ini, 2019 telah berlalu beberapa bulan, namun kisah ringkasan 2018 ku belum tertulis. 

Di sini, biarlah aku himpunkan gambar-gambar sepanjang 2018, tanpa apa-apa tulisan cerita mengenainya. Semoga Amna di masa hadapan apabila membaca blog ini, masih tahu apa yang Amna pada hari ini cuba sampaikan walau cuma melalui gambar. 

Alhamdulillah untuk 2018. Semoga terus kuat wahai diri, untuk menempuh 2019.


























Monday, July 30, 2018

Di dalam impian mu


Satu ketika dahulu, tatkala kita berdua masih muda dan mentah, kita pernah bersembang mengenai impian. Aku suarakan keinginan ku, betapa aku teringin panjat bukit, naik gunung, melihat keindahan alam. Namun apa daya, kondisi kesihatan aku, tidak mengizinkan aktiviti lasak seperti itu. Kau pujuk aku. Kau kata, tak apa, nanti carilah suami yang boleh menemani aktiviti tersebut supaya ada seseorang menjaga ku. Terdetik juga dihati ku, andai kau sahaja tawarkan diri menjaga aku dan kita sama-sama pergi naik gunung.

Kau juga, ceritakan impian kau. Kau ingin mengembara melihat dunia. Kau ingin travel. Kau ingin bersama backpack pergi ke pelbagai negara.

Tahun demi tahun berlalu. Masa telah pudarkan persahabatan kita. Kita yang amat akrab dahulu, entah bagaimana tidak lagi seperti dulu. Kita masih bertegur sapa. Namun tidak lagi bersembang kerap seperti dahulu. Tidak lagi bercerita mengenai impian masing-masing.

Aku, Alhamdulillah.. Tuhan izinkan aku melawat ke beberapa negara semenjak usia pertengahan 20an sehingga lewat 20an ini. Sedar tak sedar, travel sudah menjadi kesukaan aku. Aku lihat, kau like segala posting ku di media sosial mengenai travel ku.

Kau, ku ikuti media sosial kau. Kini kau kerap kali panjat bukit dan gunung, meredah hutan. Aku like gambar-gambar tersebut.

Sekali-sekala, aku termenung. Agaknya, sedar kah kau? Aku kini hidup dalam impian kau. Manakala kau pula hidup dalam impian aku.

Tuhan berikan aku, sesuatu yang kau ingin. Dan Tuhan berikan kau, sesuatu yang aku ingin.

Mari kita bersyukur dengan apa yang kita miliki. Sesuatu yang kita miliki itu, kemungkinan sesuatu yang orang lain impikan. Seperti aku yang hidup dalam impian kau, dan kau yang hidup dalam impian aku.


Sunday, June 3, 2018

Di mana

Semakin hari, semakin tua. Cita-cita juga, selepas satu persatu tercapai. Jika aku yang muda dulu tahu apa yang aku kini telah kecapi, tentu dia tak sabar nak tua.

Namun, dalam pada aku dilihat telah miliki segalanya, sebenarnya di sudut hati, aku masih mencari-cari tempat untuk ku. Aku juga tak tahu, tempat apakah itu. Aku ketagih untuk travel. Sebelum ini, setiap tahun, sekurang-kurangnya sekali aku mampu travel. Namun tahun ini, kerana aku berjaya miliki studio, aku tak mampu untuk travel disebabkan komitmen yang harus ku berikan kepada studio. Orang lain mungkin anggap, travel itu cuma satu hobi generasi sekarang yang suka menunjuk-nunjuk di instagram. Tapi cuma aku tahu. Aku mencari 'tempat' untuk ku di dunia ini.

Makin tua, kawan-kawan menjadi semakin ramai. Lagi-lagi kerana banyak urusan kerja, jadi makin bertambah juga kawan atas urusan professional. Tapi, walau kawan ramai sekalipun, aku masih cari tempat yang mengalu-alukan diriku walau ketika aku tidak bersikap profesional.

Dalam kalangan adik beradik aku sendiri pun, aku rasa tak masuk. Bukan salah mereka. Mereka sempurna serba serbi. Sempurna sampai tahap, jika berkumpul saja, yang salah, mesti aku. Seolah olah aku spesis dari planet lain. Aku tak rasa seperti aku salah seorang dari mereka.

Jujur aku cerita di sini, sebenarnya bila aku makin tua, makin ramai lelaki yang cuba dekati aku untuk ke arah hubungan serius. Tapi, jujur juga aku katakan, cuma dari topik perbualan sahaja, sudahku tahu tempat aku bukan di mereka.

Patutlah Tuhan buat hayat manusia tidak panjang. Sebab, makin lama hidup, makin terasa dunia ini tak ada apa.

Cerita di sini, bukan untuk menyalahkan sesiapa di sekeliling diriku. Aku sedar, aku yang ganjil. Aku yang pelik. Tempat aku bukan di sini. Mungkinkah satu hari nanti aku sampai ke tempat yang benar-benar untuk ku dan mengalu-alukan kedatangan ku?

Wednesday, April 18, 2018

Amna Shark dan Hari Kartunis Malaysia 2018

1 April merupakan hari Kartunis Malaysia. Pada 1 April 2018, aku berasa amat berpuas hati kerana sepanjang hari tersebut telah ku manfaatkan cuma untuk aktiviti komik. 

Aku bertolak awal pagi, menuju ke KL sentral. AJK Pekomik akan mengadakan meeting di situ. Disebabkan lokasi aku jauh, aku telah keluar seawal yang boleh. Setibanya di KL sentral, aku lega walaupun aku sedikit terlewat, meeting masih belum bermula. Masih lagi menanti ketibaan beberapa AJK yang lain. 

Meeting Pekomik berjalan lancar. Syukur Alhamdulillah. Apabila meeting berakhir, kami sempat juga berbual-bual, ambil ilmu mengenai dunia komik. 

Meeting AJK Pekomik 

Ketika kami selesai makan tengah hari dan berbual, waktu telahpun hampir Zohor. Aku sebenarnya menanti untuk ke Forum Khas: Hari Kartunis 2018 yang akan bermula tidak lama lagi. Maka, aku mengajak mana-mana AJK Pekomik yang berminat untuk turut serta. 

Forum Khas : Hari Kartunis Malaysia 2018 

Forum Khas tersebut diadakan di Muzium Negara, tidak jauh dari KL Sentral. Selesai Zohor, aku bergegas ke Muzium Negara. Masuk sahaja auditorium, aku terkejut melihat auditorium kosong. Yang aku lihat adalah, seseorang yang amat aku kenali dan sanjungi, Prof Muliyadi. Bekas pensyarah aku. Seperti biasa setiap kali aku bertemu Prof, aku menghampiri dengan tersenyum sampai ke telinga.

Belum sempat aku menyapa dan bertanya khabar Prof, Prof telahpun terlebih dahulu menyapa ku dan bertanya khabar. Kemudian aku bertanya, "Tak ada siapa pun?" kerana kehairanan melihat auditorium yang kosong. "Nanti 2.30, ada lah tu" balas Prof tenang. Baru aku perasan, program tersebut mula pukul 2.30 lah. Aku pukul 2 sudah tercegat di sini. Bukti betapa teruja dan sokongan tidak berbelah bahagi dari ku. 

Aku mengambil tempat di dalam auditorium tersebut. Bersama-sama aku, adalah Nabilah N. A. N, rakan Aretis United dan juga merupakan salah seorang AJK Pekomik. Apabila menghampiri jam 2.30, manusia mula memenuhi ruang auditorium.

Ada satu ketika, segerombolan kartunis-kartunis otai memasuki auditorium serentak. Terasa ada satu aura luar biasa. Para hadirin juga semua menoleh kepala melihat kehadiran mereka. Mengagumkan bukan?  Jadi kartunis juga boleh disanjung sebegini.  Mungkin ketika aku tua nanti, aku pula ditempat sebegitu? Angan-angan kosong kah aku? 


Prof Muliyadi merupakan moderator bagi forum kali ini. Ahli panel pula adalah Jaafar Taib, Mishar, Dato Azman Yusof dan Zainal Buang Hussein. Nama-nama ahli panel, semuanya nama-nama yang aku belajar dari buku semasa belajar subjek liberal studies satu ketika dahulu. Luar biasa rasanya apabila nama-nama yang selama ini cuma belajar dari buku, kini aku dapat melihat dan mendengar insan-insan ini duduk di depan dan bercakap. 

Namun, sesi yang paling menarik bagiku adalah, ketika sesi soal jawab para hadirin dan ahli panel. Barulah terasa perbincangan dua hala. Malah, para hadirin juga bukan calang-calang manusia. Kartunis-kartunis otai, penggiat seni, collector, pihak media, dan ramai lagi. 

Seusai forum ini, para hadirin berkumpul dan minum petang di luar auditorium. Ketika inilah, dapat lihat nama-nama besar berkumpul, bersembang, dan aku hanyalah, seorang pelukis komik muda, mentah dan tidak dikenali tersesat dikalangan mereka. 

Aku sempat bergambar dengan kartunis Lambok. Ni sudah kali kedua sebenarnya bergambar dengan beliau. Kali pertama, ketika majlis pelancaran Jenama X. Buat malu saja. Beliau ternampak aku masa sedang bisik-bisik dengan AJK Pekomik kerana segan nak minta bergambar dengan beliau. Kantoi aku peminat beliau. Tapi tak apalah. Beliau tak kenal aku. Aku pun tak kenalkan diri. Nasib baik. 



AJK Pekomik bergambar dengan Prof Muliyadi selepas Forum berakhir. 

Sesudah itu, aku menuju ke KL sentral semula, untuk Asar, Maghrib, dan sempat mandi dan bersiap untuk event malam tersebut. 

Event malam itu adalah event yang aku tunggu-tunggu. Aku datang sebagai salah seorang dari 10 orang AJK Pekomik untuk Majlis Hari Kartunis Malaysia 2018. Pada mulanya, aku tak mahu hadir kerana ia berlangsung waktu malam. Aku pula tinggal jauh. Susahlah jika pulang lewat. Namun setelah aku tak sengaja tertahu senarai nama-nama yang hadir, terdapat ramai kartunis, dan Prof Muliyadi, terus aku beritahu Pekomik, aku mahu turut serta! Maka, tersenarailah namaku dalam senarai tetamu pada malam tersebut.

Amna Shark di Hari Kartunis Malaysia 2018.

Bergambar bersama Uncle Gedek dari Blog Begins at Forty

Antara AJK Pekomik yang turut serta.

Selesai makan dan penyampaian anugerah, kami bergambar. Aku saja yang terkejar-kejar mendesak AJK Pekomik bergambar segera, sebab aku kena mengejar KTM terakhir. Dan selepas itu, terlihat seorang gadis dress hitam, berlari-lari anak mengejar KTM terakhir. Aku lah itu.

Tamatlah kisah aku pada Hari Kartunis Malaysia 2018. Amat berpuas hati, sepanjang hari ku dimanfaatkan. Gembira kerana menjadi sebahagian daripada hari bersejarah ini. Terima kasih, Pekomik.

Monday, March 12, 2018

Amna Shark dan Pekomik Classroom



Aku pernah ceritakan bahawa tahun ini, aku mula terlibat dengan Pekomik. Selaku salah seorang AJK Pekomik, ini adalah tugasan pertama yang diberikan kepadaku, membuat bengkel komik. Pada 10 Mac 2018, berlangsunglah Pekomik Classroom. Aku mampu laksanakan ini pun, kerana bantuan dari seluruh AJK Pekomik, terutamanya Tuan Presiden. Alhamdulillah.

Pekomik Classroom, dibimbing oleh tiga orang tenaga pengajar yang merupakan pelukis komik daripada generasi-generasi yang berbeza. Untung siapa yang hadir ni. Dapat berjumpa dan dengar sendiri daripada tiga nama hebat ini, Pokcik Fingernailz, Bophairy dan Tembakau.

Alhamdulillah, bengkel berjalan lancar. Meski aku hadir ke sini sebagai urussetia, namun itu tak menghalang aku untuk serap seberapa banyak ilmu yang boleh diperolehi hari ini.





Sesi pertama bersama Pokcik Fingernailz. Pokcik boleh dikatakan pelukis dari generasi ku. Umur Pokcik pun, kalau tak silap, muda beberapa tahun dari ku. Apa yang aku boleh dapat dari pelukis komik yang masih muda? Haa.. banyak rupanya perkara yang boleh aku pelajari dari beliau. Memandangkan kami dari generasi yang sama, input yang Pokcik beri, lebih bersesuaian dengan zaman aku. Seperti, platform melukis, target audience dan sebagainya.

Selesai sesi bersama Pokcik, beliau berikan laluan kepada peserta untuk bertanya soalan. Aku  ambil peluang mengemukakan soalan: "Apa nasihat Pokcik untuk membuat cerita mengikut kehendak audience atau kehendak diri?" Jawapan dari Pokcik, sebenarnya jawapan yang sudah aku jangkakan. Tapi sengaja aku mahu dengar juga. "Untuk permulaan, ikutlah kehendak audience. Nanti fan based dah kukuh, barulah buat mengikut kehendak sendiri." Jelas Pokcik. Aku sekadar beri satu senyuman sahaja. Jawapan yang sudah ku jangka. Namun, itulah kesilapan diri aku yang tak mampu diubah lagi. Aku mengikut kehendak sendiri. Bukan audience. Apa-apa lah. Nantilah aku selesaikan isu tersebut.


Seterusnya, sesi bersama Tuan Bophairy. Nama yang sudah lama bertapak dalam industri ini. Beliau banyak menerangkan cara-cara menghantar proposal komik. Sudah tentulah, aku tak terlepas untuk catit apa yang patut.

Selepas itu, kami berhenti rehat untuk tengah hari. Sedang aku menjamah hidangan, terlihat seseorang di seberang jalan, memakai baju 'Jenama X', terus aku buat andaian, "Itukan Tuan Tembakau?" Tanya ku kepada salah seorang ahli Pekomik yang turut hadir sebagai AJK hari ini.  ternyata andaian aku tepat. Ya, itu beliau. Sesi bersama beliau adalah selepas ini.



Sesi bersama Tuan Tembakau, terasa sesuatu. Sukar hendak aku jelaskan apa itu 'sesuatu'. Mungkin ini adalah aura seorang pro yang sudah bertahun-tahun pengalaman. Beliau bercakap dengan ilmu dan pengalaman. Ada satu ilmu yang dikongsi oleh Tuan Tembakau, aku terasa seperti pernah dengar sebelum ini. Bila aku fikir-fikirkan, oh, Tuan Sireh pernah ajar benda yang sama. Terus aku catitkan. Jikalau sampai dua pro sudah berkongsi ilmu yang sama, ianya sesuatu yang penting. Tuan Tembakau juga tunjukkan karya-karya beliau yang dibuat secara manual. Aku cuma mampu diam-diam menjerit dalam hati. Mengagumkan!

Aku bersama para peserta dan tenaga pengajar yang menjayakan bengkel hari ini.

Bersama tenaga pengajar.

Selesai sahaja bengkel, kami, AJK bengkel dan tenaga pengajar, duduk minum semeja. Sembang-sembang apa sahaja perkembangan komik. Aku banyak mendengar dari bersuara. Tentulah, inilah peluang serap apa sahaja yang boleh aku dapat lagi.

Aku ambil kesempatan bertanyakan Tuan Tembakau mengenai pengalaman beliau pernah terlibat sebagai storyboard artist Usop Sontorian. Dengar la bagaimana animasi zaman tu dibuat, bagaimana storyboard zaman tu. Yelah, aku juga storyboard artist. Mahal tau peluang sebegini bagiku. Wow, aku berpeluang duduk minum semeja dengan pelukis storyboard Usop Sontorian, animasi zaman kanak-kanak ku! Aku sendiri tak percaya. Kalaulah Amna yang sekolah rendah itu tahu, tua nanti, dia dapat peluang sebegini, mesti dia tak sabar nak tua.  

Hari semakin petang, kami mula beredar pulang. Alhamdulillah untuk hari ini. Aku bersyukur sangat dapat peluang sebegini. Terima kasih Pekomik, barisan tenaga pengajar, dan para peserta yang terlibat bagi menjayakan hari ini.