Friday, June 7, 2019

Pendam

"Kau banyak memendam seorang diri." Kata rakanku, Ahmad (bukan nama sebenar) ketika aku menemuinya baru-baru ini.

Aku terdiam sekejap. Lalu aku memberikan satu senyuman kepadanya. "Kau pun banyak memendam." Balas ku. Kini, Ahmad pula terdiam.

Kami sama-sama diam. Entah apa dalam fikiran Ahmad, tapi dalam fikiranku, aku kagum Ahmad dapat mengesan sikap memendam ku. Rata-rata kawan-kawan sekeliling menganggap aku ni sebagai seorang yang senang 'dibaca'. Kerana aku sentiasa tunjuk dan nyatakan apa yang aku rasa.

Namun, dalam pada aku sentiasa tunjuk dan nyatakan perasaanku, sungguh benar seperti kata Ahmad, aku seorang yang pendam rasa. Segala yang aku tunjuk dan nyatakan terang-terangan selama ini, hanyalah sebahagian. Lebih banyak yang tidak terungkap dan tidak terlihat.

Mengapa cuma Ahmad yang dapat mengesan sikap ku yang ini? Ini kerana dirinya juga seorang yang memendam rasa. Kami dari golongan yang sama. Kerana itulah kami dapat mengenali spesis kami.

"Eh, dah nak berbuka ni. Kau berbuka apa?" Tanya Ahmad.

"Apa-apa saja yang aku boleh cari nanti.." balas ku endah tak endah.

"Sorang?"

"Ye. Seorang."

"Tak sedih ke?" Tanya Ahmad dengan nada penuh mengambil berat. Pandangannya tajam ke arah ku seolah-olah memang menantikan jawapanku.

Lagi sekali aku kagum terhadapnya. Sungguh ramai yang tahu aku berbuka puasa seorang diri. Tapi tidak seorang pun bertanyakan tentang apa rasanya aku berbuka seorang diri. Ahmad yang pertama. Rasa nak menangis juga ada. Menangis terharu. Tapi aku cepat-cepat memadamkan rasa itu.

Azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Aku berbuka puasa bersama Ahmad setelah diajak olehnya. Begini rupanya perasaan bahagia. Bahagia ada yang memahami. Aku tahu detik ini tak akan lama. Kami kemungkinan tidak akan berjumpa lagi atas faktor hal masing-masing.

Selesai makan, aku minta untuk undur diri. Untuk solat Maghrib dan seterusnya pulang ke rumah. Kami saling memberi salam dan aku beredar.

***

Pendam rasa.

Banyak perkara lebih baik dipendam kerana walau ia diluahkan, belum tentu difahami oleh orang sekeliling.




No comments:

Post a Comment