Thursday, May 10, 2012

Cuba menjadi kurator




Hari Isnin yang lalu, bersama-sama rakan kelas liberal, aku pergi ke Balai Seni Visual Negara. Terima kasih Prof Muliyadi kerana membawa kami ke sini. Prof Muliyadi adalah lecterur kegemaran aku. Lecturer yang paling aku suka antara semua lecturer yang pernah mengajar aku. Tutur kata beliau penuh sopan, murah dengan senyuman, dan ilmu beliau tinggi. Sudah tentu lah kan. Kata pepatah, 'Sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya'. Ya, aku benar-benar suka beliau. Beliau banyak ubah pemikiran aku. Aku cuba ceburi bidang komik Malaysia selepas dapat galakan dari beliau, aku jatuh cinta dengan dunia liberal juga kerana beliau.


Berbalik kepada topik asal, aku dan rakan-rakan datang ke BSVN untuk kelas Curatorship kami. Ingin mendalami bidang kurator la. Aku rasa, banyak benda aku dapat dengan kelas ini. Baiklah, biar aku ceritakan satu persatu. 


Selepas mendapat sedikit ajaran dari kurator di sana, kami di bawa melihat pameran di BSVN. Kebetulan pameran 'Pertarungan-Amron Omar' sedang berlangsung. Pameran 'Pertarungan' diadakan di dua galeri di tingkat paling atas di BSVN. Kami bermula dengan memasuki galeri yang di sebelah kiri dahulu. Sebaik sahaja melangkah masuk, aku dapat rasakan sesuatu perasaan yang lain. Kerana ini pengalaman pertamaku. Melawati pameran adalah sesuatu yang aku biasa buat, tetapi, inilah kali pertama aku masuk pameran BUKAN untuk melihat karya, tapi untuk melihat cara mempamerkan karya. Tak pernah langsung aku terfikir begini sebelum ini.


Aku teringat sesuatu, sebelum ni, aku pernah terdengar seseorang berkata: "Kebiasaannya, apabila pelawat memasuki sesebuah pameran, mereka akan masuk dan melihat bermula dari belah kiri." Hari ini, aku dapat nampak kebenaran kata-kata tersebut. Rakan-rakan sekelas ku terus ke kiri sebaik sahaja memasuki ke ruang pameran. Ajaib. Bila difikir-fikir semula, ada logiknya juga. Kerana kita membaca bermula dari kiri. Oleh itu, tanpa disedari, kita melihat pameran juga bermula dari kiri. Sekadar andaian ku. Mungkin ada sebab lain, aku tak tahu.


Dalam ruangan pameran ini, pengunjung dapat melihat sketches-sketches milik Amron Omar dari dulu hingga kini. Susunan sketches-sketches ini berdasarkan tarikh. Kuantitinya banyak. Susunannya tidak semua sama jarak. Ada sekelompok sketches yang di atur berdekatan, ada jarak tertentu selang beberapa sketches, ada sederet sketches yang rapat-rapat, ada pula yang jarak selepas itu, pendek kata, kepelbagaianlah corak susunannya. Mengapa? Jika berdasarkan andaianku, ini semua atas faktor penegasan. Penegasan penting untuk daya tarikan. Malah, jika menghasilkan komik juga, setiap panel komik itu tak sama jaraknya untuk menghasilkan penegasan. Maaf jika andaianku tidak tepat. Tapi buat masa ini, itu yang aku fikir. 


Di bahagian ruangan tengah pameran tersebut, terdapat dinding yang meletakkan teks tentang Amron Omar. Namun, aku tidak sempat untuk meneliti teks tersebut walaupun aku tahu, penyediaan teks itu juga tugas kurator.          


Kami masuk ke galeri bertentangan dengan galeri tadi pula. Kali ini, diruangan pameran ini adalah karya-karya Amron Omar. Jika sana adalah sketches, sini pula painting. Ruangan di sini lebih kecil berbanding tadi. Painting yang di pamerkan juga lebih sikit berbanding sketchesnya. Tiba-tiba aku teringat sesuatu yang pernah diberitahu oleh Abah aku. Dalam pameran, karya  tak boleh banyak sangat, nanti orang pandang sekali lalu saja. Ada betulnya juga. Bila sikit, baru setiap karya itu dihayati.


Cahaya di ruang pameran ini lebih gelap berbanding di ruangan sketches tadi. Ini aku faham kenapa. Bila gelap, cahaya ditumpukan kepada karya. Jadi menonjol lah karya-karya tersebut. Menjelma dalam kegelapan, bagai menonton pawagam jugalah. Dalam gelap bukan? Di sini juga, aku bergambar dengan salah satu karya Amron Omar yang bertajuk: 'Catan Diri'. Sebuah karya yang aku sentiasa lihat dalam buku, kini aku nampaknya di depan mata. 


Satu tingkat di bawah pameran 'pertarungan', terdapat pameran ceramik. Cahaya di ruangan ini cerah. Cerah sehingga boleh melihat pantulan ceramik di atas lantai. Indah sekali suasana ini. Pameran ini berbeza, mungkin kerana ianya barangan 3D. Bila menggunakan barangan 3D, dinding lebih banyak kosong, tetapi lantai yang diperlukan untuk mengatur bahan-bahan pameran.


Bertentangan dengan ruangan pameran ceramik tadi, terdapat pameran 'The Last Harvest-Rabindranath Tagore'. Berbeza dengan pameran-pameran sebelum ini, pengunjung pergi ke sebelah kanan dulu, bukan kiri. Kemudian, barulah aku sedar, ini kerana terdapat tulisan di dinding :"phase 1, phase 2, Phase 3" dan seterusnya. Tulisan-tulisan tersebut yang memandu arah pengunjung supaya berjalan bermula dari kanan. Begitu rupanya, dan ianya berkesan buktinya aku lihat rakan-rakanku ke kanan dahulu.


Itu saja yang aku nak ceritakan. Mungkin bagi mereka yang sudah lama dalam bidang ini, semua yang aku tulis ini biasa saja. Tapi bagi aku, ini pegalaman baru. Itu saja, salah dan silap harap ditegur. Terima kasih.



No comments:

Post a Comment