Wednesday, March 1, 2017

Pendar Ratna, Amna Shark dan Sucomi




Post kali ini, aku akan bercerita mengenai Pendar Ratna, Amna Shark, dan Sucomi. Namun aku akan ketepikan soal pengenalan apa itu Pendar Ratna, atau Sucomi. Aku anggap sahaja, semua pembaca aku sudah sedia maklum mengenainya. Ya, anda akan tahu jika anda benar-benar telah ikuti blog aku sejak dulu.

Pendar Ratna adalah sebuah eksperimen.

Hendak terus ke klimaks cerita, iaitu aku kini telah pun setahun lebih bersama Pendar Ratna. Sudah setahun lebih, dan saat post ini ditulis, Pendar Ratna memiliki 8 episod yang boleh dibaca di Sucomi. Pendar Ratna adalah bahan eksperimen ku. Aku mulakan Pendar Ratna dengan niat hendak bereksperimen sahaja. Almaklumlah pada ketika itu aku hanya seorang pelukis komik yang baru mencuba nasib dalam dunia komik. Jika ianya sebuah ekperimen, maka ia seharusnya mempunyai tempoh masa, dan kesimpulan eksperimen. Aku sudah melangkaui tempoh masa. Amna, kau biar betul? Setahun lebih jalankan eksperimen, bila mahu berakhir?

Soal kesimpulan eksperimen pula, Alhamdulillah, Pendar Ratna buktikan pada aku bahawa aku mampu buat pembaca yang tak tahu apa-apa mengenai budaya, datang berkata kepadaku, Pendar Ratna buat mereka suka kepada budaya dan muzium. Satu misi eksperimen telah tercapai. Namun, ada satu misi yang gagal. Iaitu, aku mahu tahu sejauh mana Pendar Ratna mampu bawa aku? Setahun lebih telah berlalu, namun, Pendar Ratna tidak bawa aku ke mana-mana.

Menyedari bahawa aku sudah terlalu lama bereksperimen, aku sedar bahawa satu eksperimen itu, akhirnya akan sampai ke penghujungnya. Maka, ya.. aku ada terdetik untuk hentikan Pendar Ratna. Sudah-sudahlah tu Amna. Kau kena sedar bila sepatutnya berhenti. Apabila aku menghadapi jalan buntu, aku selalu pergi cari Aman Wan. Sebab kata-kata dari beliau selalu bagaikan keajaiban, aku mudah dengar dan menurut. Tapi kali ini, Aman tidak memberi apa-apa kata putus untuk aku laksanakan. Sebaliknya, beliau pulangkan semula soalan kepada ku. "Jadi apa rancangan Amna sekarang?"

"Jadi, apa rancangan Amna sekarang?" Soalan itu berlegar-legar dalam minda aku. Tahu dan mahu, adalah dua perkara berbeza. Aku tahu apa yang patut aku lakukan. Tapi dalam masa yang sama, aku tak mahu. Tahu dan mahu ku tidak selari. Aku tahu sudah masanya aku hentikan eksperimen, tapi dalam masa yang sama, aku tak mahu hentikan Pendar Ratna. Tak mahu!

Aku sedar aku miliki satu kedegilan yang luar biasa jika melibatkan Pendar Ratna. Aku tahu Pendar Ratna tidak membawa aku ke tahap lain. Aku sepatutnya fokus kepada kerja-kerja komik lain yang mampu bawa aku ke tahap lebih tinggi. Tapi aku tak ada kesanggupan untuk hentikannya. Ini kerana, apabila sudah setahun lebih bersama Pendar Ratna, timbul perasaan sayang. Aku sayang Intan. Aku sayang Putera Kayangan. Watak-watak ciptaan ku, walau tidak wujud, aku mula merasa ada ikatan antara aku dan mereka. Tak percaya, sudah.

Hubungan aku dan Sucomi

Jika sudah setahun lebih aku bersama Pendar Ratna, ini bermakna, sudah setahun lebih juga aku bersama dengan Sucomi (dahulu dengan nama Supreme). Jika Sucomi itu umpama satu kapal, kami Aretis United, umpama anak-anak kapal. Kami tidak bersaing sesama kami, sebaliknya, kami bersama-sama menggerakkan kapal yang sama.

Selama berada dalam kapal yang sama ini, aku sudah lihat pelbagai nasib yang menimpa anak kapal. Dalam erti kata lain, nasib yang menimpa komik-komik yang pernah berada di Sucomi. Ada komik yang memiliki ramai peminat dan pembaca, tetapi telah tarik diri pada episod yang ketiga atau keempat. Ada komik yang miliki ramai peminat, malah bilangan episod sudah cecah hingga dua belas, namun, komik tersebut tarik diri juga. Jadi, apa sebenarnya yang diperlukan untuk menjadikan sesebuah komik itu bertahan di Sucomi? Banyak peminat? Banyak episod? Bukan!!! Sudah banyak komik yang memiliki banyak peminat dan banyak episod telah tarik diri. Apa yang diperlukan adalah, kekuatan, kesungguhan dan kecekalan seorang pelukis komik tersebut.

Aku dah lihat banyak komik kegemaranku di Sucomi yang berhenti separuh jalan. Jujurnya selaku peminat komik-komik tersebut, aku sedih. Selaku rakan seperjuangan pula, lagilah sedih. Tapi aku tidak meletakkan kesalahan kepada mereka. Ini kerana, aku selaku pelukis komik sendiri, aku sedar bahawa setiap pelukis komik ada matlamat masing-masing. Jika komik tersebut tidak membawa mereka ke matlamat mereka, berhenti itu adalah pilihan terbaik.

Masa depan Pendar Ratna juga aku tak tahu. Apakah nasib yang bakal menimpa Pendar Ratna? Adakah satu hari nanti aku akan tarik diri juga seperti beberapa rakan-rakan seperjuanganku? Tak ada siapa akan tahu, malah aku selaku pelukisnya sendiri juga tak tahu. Namun, buat masa sekarang, aku masih mahu berada dalam kapal yang sama. Salah satu faktor adalah kerana aku percaya pada nakhoda kapal ni.Tapi jika satu hari nanti tertulis bahawa destinasi ku tidak sama dengan destinasi kapal ini, itu kisah lain. Aku tak tahu masa depan.

Buat sesiapa yang ada niat mahu menyertai menjadi sebahagian dari ahli kapal ini, satu saja aku mahu nasihat. "Nak masuk itu mungkin mudah, tetapi nak bertahan itu susah. Semoga berjaya"

Apakah nasib Pendar Ratna?

Jika anda adalah pembaca Pendar Ratna, teruskan tinggalkan komen di Sucomi bahagian Pendar Ratna. Ini kerana, aku perlu tahu berapa ramai yang masih ikuti Pendar Ratna. Namun, masa depan Pendar Ratna bukan hanya bergantung kepada berapa ramai pembaca. Ianya adalah satu keputusan sulit, yang melibatkan matlamat ku, masa depan ku dan hala tuju karier ku. Tapi saat post ini ditulis, aku masih mahu teruskannya. Doakan aku kuat, ya semua.


2 comments:

  1. Saya masih mengikuti perkembangan Pendar Ratna ☺️

    ReplyDelete
  2. Saya masih membaca Pendar Ratna cuma yang latest belum baca lagi sebab kekurangan masa. Baca tergesa gesa nanti tak best.. huhuhu

    Walaopon OB bukan kategori komik, tapi saya faham masaah setiap pelukis. Mcm saya pun struggle nak habiskan OB disebabkan kehidupan diluar maya, saya kengkadang rasa stress nak siapkannya 😅

    ReplyDelete