Friday, January 29, 2016
Kanak-kanak
Beberapa hari lepas, semasa aku sedang belek-belek buku di sebuah kedai buku, seorang kanak-kanak perempuan meluru ke arah rak patung Barbie dan menyebut: "Uuu.. Barbie.." Kemudian diikuti oleh adiknya, "Uuu.. Barbie.." Dalam bayangan aku, aku pun nak sertai sebut: "Uuu.. Barbie.." Ya, dalam bayangan sahajalah. Tak buat betul-betul.
Aku perasan, diri aku ini selalu tertarik dengan banyak perkara yang kebudak-budakan. Kalau kedai permainan, kedai lego, aku masih lagi masuk. Masuk cuci mata saja lah. Tak beli apa-apa pun. Kalau di pesta buku, aku satu-satunya makcik tua yang berhimpit himpit dengan kanak-kanak kat bahagian komik. Aku cuba sedapkan hati aku.. Alaa Amna, kau suka permainan sebab kau kan dalam bidang kartun. Permainan dan kartun kan saling sangkut paut. Rupa permainan tu kan seperti watak-watak kartun. Kalau komik tu pula, normal lah. Kau kan pelukis komik, kenalah minat komik. Ayat aku menyedapkan hati sendiri.
Aku suka kanak-kanak. Setiap kali aku ternampak kanak-kanak, aku mula lah terbayang.. Agaknya pada umur berapakah aku akan dapat anak? Anak aku nanti comel macam aku tak? *ehem..ehem.. abaikan ayat ni* Kalau tak comel pun, tak apa. Tu mesti sebab bapak dia tak comel. *siapa entah bapak dia* Adakah dia sopan dan pendiam atau bising dan aktif? Mana-mana pun aku suka. Tapi, satu benda yang buat aku berhenti angan-angan tu sebab.. Hei, aku sendiri masih kanak-kanak. Macam mana nak didik anak?
Pernah tak semasa kecil, anda fikir bahawa orang dewasa itu membosankan? Aku selalu fikir begitu dahulu. Jadi apabila umur mencecah dewasa, ada suara kuat dalam diri ni yang menjerit: "Tidak !!!!" Kawan-kawan sekitar aku semua sudah jadi dewasa. Lepas seorang, seorang kahwin. Adik-adik aku sendiri sudah menjadi lebih matang dari aku. Bukan setakat matang, malah mereka adalah orang-orang yang berjaya. Aku masih di sini, tidak kecapi apa-apa kejayaan, duduk di rumah melukis komik sahaja. Aku bukan nak jadi seperti mereka pun. Aku memang mahu jadi begini sahaja. Ini adalah cita-cita aku. Duduk di rumah bersama kedua ibu bapa, dan aku hanya melukis. Alhamdulillah cita-cita menjadi kenyataan. Cuma, selama mana lagi aku mampu jadi begini? Nanti orang kata aku ni tiada masa depan pula. Ceh.. Masa depan? Aku tak dapat bayangkan langsung masa depan aku bagaimana. Aku cuma mahu meninggal dunia dalam keadaan tanpa dosa langsung. Seperti seorang kanak-kanak. Bunyinya mustahil ya? Kerana aku cuma manusia biasa yang penuh dosa juga. Tapi, alang-alang dah tulis di sini, mari ramai-ramai doakan aku. "Ya Allah, biarlah aku mati nanti dalam keadaan tanpa dosa.. Amin.."
Aku selalu dengar ada orang yang berharap Peter Pan itu wujud. Pergi ke Neverland dan masa terhenti. Di sana kita tidak membesar. Sebenarnya, aku pun pernah berangan begitu. Tapi aku tahu, itu mustahil. Maka, hiduplah aku di muka Bumi ini dengan umur yang dah tua tapi jiwa masih kanak-kanak.
Dengan post ini, tentu ramai yang akan judge aku macam-macam. Tapi, ketahuilah, yang judge bukan-bukan itu, tandanya anda tergolong dalam golongan orang dewasa yang membosankan.
Sekian...
Sunday, January 24, 2016
Lembaga Kerusi Belakang
Ini adalah drawing ku berdasarkan novel 'Lembaga Kerusi Belakang'. Selepas membaca novel tersebut, tergerak untuk melukis sesuatu yang membawa mood seram. Tapi hasilnya, tak seram langsung. Comel bukan? Haha.. Sedangkan aku melukis pada pukul tiga pagi dalam bilik seorang diri bagi mendapatkan mood seram. Tidak mengapalah. Biarlah begini.
Bercakap mengenai novel 'Lembaga Kerusi Belakang', ini adalah sebuah novel dari Aman Wan. Selama ini aku mengenali Aman Wan dengan karya-karya komiknya yang kelakar. Jadi apabila aku mendapat tahu beliau menulis novel, cerita seram pula tu, aku kagum. Wow.. serba boleh rupanya.
Satu ketika dahulu, semasa aku sekolah menengah, aku merupakan peminat novel seram. Jadi, apa salahnya aku cuba membaca Lembaga Kerusi Belakang ini. Mengembalikan perasaan zaman sekolah menengah aku. Tak sangka pula ia benar-benar mengembalikan perasaan tersebut. Sepanjang cerita berjalan, aku terasa dekat dengan kehidupan pelajar sekolah menengah. Watak utama yang ada isu dalam menyiapkan kerja rumah, dimarahi guru, pernah ada waktu bertengkar dengan rakan-rakan, ada lagenda di sekolah yang karut, ada pak guard yang kacak, watak utama mendesak bapa atas kecuaian sendiri yang tertinggal buku, dan sebagainya. Perkara-perkara yang kecil begini membuatkan aku terasa bagai ini kisah pelajar sekolah menengah yang benar, bukan rekaan.
Baik, aku perlu berhenti taip sebelum aku terberi spoiler pula. Tambahan pula aku perlu siapkan komik aku, tak mampu nak taip panjang-panjang. Sesiapa berminat untuk baca buku ini, bolehlah pergi dapatkannya.
*Sedang menyiapkan Pendar Ratna secepat mungkin. Terima kasih semua yang sabar menanti.
Sunday, January 17, 2016
GiveAway Contest Gila #7: Saya Nak Komik Percuma!
Seperti yang pernah aku sebut sebelum ini, aku antara 33 orang pelukis yang terlibat dalam menghasilkan Buasir Otak The Komik. Ini, ada promosi buat masa ini, bagi yang mahu dapatkan komik tersebut secara percuma. Apa lagi, mari lah sertai beramai-ramai!!
Langkah-langkah:
1. Like page Buasir Otak: The Komik.
2. Like dan share post di link ini.
3. Tag rakan-rakan facebook anda, seramai yang boleh, di ruangan comment.
Selamat mencuba ya semua !!!
Thursday, December 31, 2015
Ringkasan 2015 Amna Shark
2015 merupakan tahun yang padat buatku. Pelbagai perkara terjadi dalam tahun ini. Sedangkan tahun sebelumnya, 2014 adalah zaman kegelapan aku. Dalam 2014 aku telah tersalah pilih company tempat bekerja, sekaligus menjadikan aku mensia-siakan masa aku dalam 2014. Company tersebut terlalu celaka sehingga aku malas nak tulis di sini. Oh, betapa aku kesal dengan masa yang terbuang.
Di penghujung 2014, aku berehat seketika, langsung tidak mencari kerja kerana risau terkena company yang seumpama company celaka tersebut. Sambil berehat, aku meneruskan minat aku dalam komik. Kemudian terdetik, apa kata kalau aku serius dalam komik, bukan sekadar hobi saja lagi? Maka, 2015 aku mulakan dengan azam untuk serius dalam komik. Bermulalah kisah 2015 Amna Shark.
Lukisan yang dilukis sehari sebelum 2015 tiba.
Komik TGP adalah komik pertama yang aku buat dalam tahun 2015. Sebenarnya ianya sambungan dari penghujung 2014. Sudah mula buat semenjak Disember 2014. Untuk kemasukan Supreme Januari. Aku akui banyak kelemahan TGP. Ya, atas faktor masa suntuk, lagi pula sekadar eksperimen. Aku gagal bawa TGP ke tahap seterusnya. Maka, tamat kisah TGP. Tapi aku gembira sebab berjaya makbulkan impian masa kanak-kanak ku. TGP sebenarnya komik yang aku dan adik aku cipta semasa kanak-kanak. Aku bawa semula dalam wajah baru kerana dahulu aku impikan TGP di bawa ke peringkat lebih tinggi.
TGP
Selepas TGP, aku membuat komik baru, Duga Jeladeri. Sebuah komik yang idea asalnya adalah dari aku yang berusia 16 atau 17 tahun. Komik Duga Jeladeri boleh dibaca di page fb aku, walaupun sehingga kini ianya belum lagi siap. Alhamdulillah, dengan Duga Jeladeri, aku terasa bagai diterima pembaca. Pembaca-pempaca banyak memberi respon. Malah pelukis-pelukis komik mula berkenalan dengan aku.
Duga Jeladeri
Dalam pada sibuk dengan komik dan kerja freelance aku, aku tak lepaskan peluang sekali sekala bercuti. Aku sempat juga ke Fraser's Hill bersama rakan-rakan sekepala aku dari degree. Percutian sekejap, cuma untuk lari dari tugasan seketika.
Amna Shark di Fraser's Hill.
Untuk pengambilan Supreme Mei, aku mempertaruhkan komik baru ku, Pendar Ratna. Alhamdulillah, Pendar Ratna berjaya disirikan, sekaligus menjadikan 2015 aku dipenuhi Pendar Ratna di celah-celah timbunan kerja lain.
Pendar Ratna oleh Amna Shark
Lagi sekali, aku curi-curi masa bercuti. Kali ini, aku menjejaki China. Aku berpegang kepada konsep, akulah kuli, aku juga bos. Benar, aku bos kepada diriku, aku yang arahkan aku untuk buat kerja. Tapi, aku kena sayangi kuli juga. Kenalah beri peluang kuli bercuti. Jadi, hai China!!!
Amna Shark di China
Dalam tahun ini juga, aku berpeluang melukis komik 'Demi Sebuah Subuh'. Semuanya terima kasih kepada Abeben yang sudi menjemput aku sebagai salah seorang pelukis dalam komik Resolusi. Demi Sebuah Subuh adalah pengalaman pertama aku menghasilkan komik kolaborasi. Cerita ditulis oleh Hidayu Hatta, dan aku pula melukisnya.
Demi Sebuah Subuh.
Dalam tahun ini juga, aku beruntung kerana berpeluang bertemu dengan pelukis-pelukis semasa aku berada di Kelantan, kampung Umi aku. Mereka adalah Abeben, Nudin, dan Hasif Rayyan.
Sketches yang dapat dikumpul semasa berjumpa Abeben, Nudin dan Hasif Rayyan.
Ceritera Amna Shark, komik main-main yang boleh didapati di page Amna Shark.
Dalam tahun ini, aku agak kerap mencari Prof.
Lagi satu berita gembira dalam tahun ini, aku terlibat dengan Buasir Otak the Komik. Syukur Alhamdulillah.
Buasir Otak the Komik.
Lagi sekali, aku terlibat dalam kolaborasi komik lagi. Kali ini dengan Pyromania. Komik yang kami hasilkan adalah Gema Pemikiran, khas untuk Cabaran Komik Online Malaysia 2015.
Gema Pemikiran.
Oh ya, aku sudah miliki merchandise sendiri, Amna Shark's felt toys. Aku betul-betul sukakannya. Respon yang diterima juga agak positif. Alhamdulillah.
Amna Shark's felt toys.
Dipenghujung tahun, aku terlibat dengan Projek A. Projek komik yang dijayakan bersama rakan-rakan pengkarya dari Supreme.
Projek A
Pada hari Comic Fiesta, iaitu 20 Disember 2015, aku berpeluang bertemu dengan rakan-rakan pengkarya dari Supreme. Selama ini hanya rapat melalui group Whatsapp, kini boleh bersua muka. Semasa perjumpaan, aku tuntut sketches dari mereka semua sebagai kenangan.
Sketches-sketches dari rakan-rakan pengkarya.
Begitulah ringkasan 2015 ku. Terasa panjang sekali. Pelbagai perkara terjadi, baik ada, buruk ada.. Tapi yang aku tulis di sini yang baik-baik semuanya sebab dalam hidup, kita kena fokuskan perkara yang baik. Barulah kita bersyukur. Benar bukan? Namun, secara keseluruhannya, aku bersyukur dan berpuas hati. Setelah 2014 aku sia-sia, aku kini manfaatkan 2015 ku.
Semoga 2016 aku mampu untuk manfaat kan lagi masa ku. Hai 2016..
Tuesday, December 29, 2015
Perjalanan Pendar Ratna bahagian 6
Episod 6 Pendar Ratna mengambil masa yang agak lama untuk siap. Sebenarnya ada kisah panjang yang aku belum ceritakan kepada semua. Di sini aku tulis kisah di sebalik pembikinan episod 6. Aku tulis untuk rujukan diri aku sendiri di masa akan datang. Dalam erti kata lain, sebagai jurnal lah. (Kepada Amna di masa hadapan, kisah ini adalah catatan dari masa silam mu. Ambil sebagai pengajaran.)
*****
Kisahnya begini, oleh kerana aku membuat komik 'Gema Pemikiran', untuk tujuan Cabaran Komik Online Malaysia 2015, Pendar Ratna direhatkan seketika. Namun, itu bukan satu-satunya sebab. Lagi sekali, aku alami jatuh semangat. Aku hilang keyakinan terhadap Pendar Ratna. Meskipun respon yang diterima dari pembaca rata-rata semuanya positif, tapi aku tak nampak jalan yang membolehkan Pendar Ratna mampu pergi ke tahap yang lebih tinggi. Seolah-olah selama-lamanya Pendar Ratna akan berada dalam takuk yang sama. Memikirkan yang aku juga manusia biasa yang memiliki kerja lain selain melukis Pendar Ratna, aku mula terfikir. Lebih baik aku gunakan masa aku untuk buat sesuatu yang boleh ke tahap lebih tinggi bukan?Sampai satu tahap, aku rasa, "Amna, sudahlah, hentikan Pendar Ratna." Malah, ketika pihak Supreme benarkan untuk buat pilihan masih mahu editor atau tidak, aku telah pilih tak mahu editor. Ya, TAK MAHU. Sebab aku sudah pun putus asa terhadap Pendar Ratna. Selepas Pendar Ratna ketiadaan editor, aku rasa sedikit gayat. Berdiri sendiri. Tidak dipantau lagi. Ada sedikit rasa menyesal, tetapi memandangkan aku fikir mahu berhenti, aku abaikan perasaan menyesal tu. Betulkah mahu hentikan Pendar Ratna? Hati aku masih lagi berbelah bagi.
Setiap kali aku rasa hilang semangat, aku kembali mencari Prof. Orang yang paling aku kagumi dan hormati dalam bidang ini. Seseorang yang terlalu tinggi tarafnya, terlalu tinggi ilmunya. Bak pepatah Melayu, "Sukakan gaharu kerana baunya. Sukakan guru kerana ilmunya." Aku amat suka Prof. Sejak mula memasuki bidang komik, aku memang mengejar untuk menjadi seperti beliau.
Tapi agaknya, di sini lah silap aku. Aku terlalu mengejar sesuatu yang tarafnya jauh lebih tinggi, mana mungkin tercapai dalam masa yang singkat. Untuk menjadi seperti beliau, kemungkinan besar aku perlukan 20 atau 30 tahun lagi. Prof amat baik. Prof tak pernah abaikan aku. Prof memberi respon setiap kali aku mencarinya. Namun, cara ini salah. Seorang anak murid mana boleh dimanjakan. Aku tak boleh kacau Prof dengan setiap hal remeh temeh begini. Aku kena berusaha, barulah tunjukkan kepada Prof hasil yang boleh dibanggakan.
Sudahlah tak ada editor, ke mana lagi harus aku rujuk? Akhirnya aku mendapat bimbingan dari seseorang yang luar biasa. Dia bukan editor atau pelukis komik. Jadi dia memandang kes aku dari sudut lain. Dia bagai seorang pakar motivasi pula. Dia seorang yang mampu melihat kebaikan dalam apa jua situasi. Dengan mudah, semangat aku kembali, dan aku mula atur langkah perjalanan ku dengan cara yang berbeza. Selain dia, aku juga mendapat bimbingan dari Hasif Rayyan, penulis D'Raksha / bekas editor di Supreme, dan Putra Nubhan, salah seorang editor Supreme. Masih banyak ilmu aku perlu pelajari dari mereka.
Dengan ini, Pendar Ratna kembali bangkit!
*****
Bagi membuktikan kepada diri aku sendiri bahawa Pendar Ratna telah bangkit, aku buat perubahan wajah kepada Pendar Ratna. Tidak, aku tak ubah cerita Pendar Ratna. Cerita Pendar Ratna sudah lock lama dah, tak akan diubah suai saja-saja. Aku hanya buat perubahan kepada 'wajah' Pendar Ratna.
Cover utama Pendar Ratna, aku gantikan dengan yang baru.
Cover sebelum dan selepas tukar.
Aku rujuk poster 'The Phantom of the Opera' untuk dapatkan mood seperti filem tersebut.
Adikku, Tona dari Canada sudi hantar gambarnya sebagai rujukan cover terbaru ini.
Selain cover Pendar Ratna, aku juga telah ubah logonya. Mengubah logo, adalah sesuatu yang agak berat hati untuk dilaksanakan. Namun aku kebalkan hati aku untuk ubah juga tanpa ada perasaan sayang terhadap logo lama yang memang sudah tidak diragui lagi kehodohannya itu.
Cover episod 6 juga aku buat perubahan. Kiri sebelum, manakala kanan selepas.
******
Untuk Amna di masa hadapan, ini apa yang boleh dipelajari dari kisah kali ini:
1. Kau boleh dengar pendapat ramai orang, suka hati kau nak terima atau tidak, tapi akhirnya, yang buat keputusan untuk kau, adalah diri kau sendiri.
2. Jangan terlalu sayang. Apa saja yang menghalang kau untuk maju, buang! (Dalam kes kali ini, ianya logo. Tapi boleh digunakan dalam situasi lain juga)
3. Dalam keadaan paling buruk sekalipun, cuba pandang dari sudut berbeza. Mungkin ada cantiknya.
*****
Sekian sahaja buat masa ini. Untuk membaca Pendar Ratna episod 6, boleh baca di sini. Jika suka, jangan lupa undi di sini. Sebarang kritikan, boleh terus kritik di ruangan komen.
Subscribe to:
Posts (Atom)