Wednesday, October 25, 2017

Senyap tandanya mengatur strategi

Semenjak bulan lepas, blog ini sepi tanpa apa-apa cerita baru. Sepinya blog ini adalah kerana, kehidupan aku sedang dalam fasa perubahan. Fasa perubahan dari sebuah kehidupan lama kepada satu kehidupan baru. Huru-haranya perubahan ini sehingga aku tak berkesempatan menaip di sini.



September yang sakit
Aku mencecah usia 27 tahun pada September baru-baru ini. Pada bulan September, company tempat aku bekerja, berada dalam fasa hampir tutup. Aku memilih untuk setia bersama company tersebut sehingga saat akhir kerana aku mahu bersama-sama ahli kumpulan aku, menyelesaikan storyboard terakhir di situ.

Hendak menambah garam di luka, bulan terakhir aku bekerja di situ, kami perlu ulang alik hari-hari dari Cyberjaya ke Mutiara Damansara. Keluar pagi, sampai ke rumah waktu malam, maka aku terus mengantuk dan tidur tanpa sempat menyiapkan komik. Komik Pendar Ratna ku, hampir-hampir ditendang oleh Sucomi gara-gara melanggar deadline.

Hari-hari di Mutiara Damansara adalah satu penyiksaan. Aku tak kisah melukis storyboard. Tapi kehidupan di paksa ke sana hari-hari. Tiada kebebasan. Aku menjadi satu macam stress yang tak pernah lagi aku alami. Disebabkan stress, aku makan dalam kuantiti yang banyak setiap hari. Sehinggalah, aku jatuh sakit. Pergi hospital sehingga check jantung. Alhamdulillah dah sembuh.

Aku bagai ternanti-nanti September berakhir semata-mata kerana tak larat dengan kehidupan sebegini. Tamat sahaja September, aku merasai satu perasaan merdeka yang tak pernah aku rasa. Namun, sebenarnya aku gembira untuk peluang bekerja di sini. Aku berkenalan dengan ramai orang hebat-hebat. Dan, aku bangga untuk berada bersama-sama company hingga saat akhir mereka. Team storyboard hanya 4 orang. Menjadi 4 orang yang terakhir, itu satu penghormatan bagiku.

Tatkala ucapan penutupan dari supervisor kami, beliau mengucapkan terima kasih: "Thank you for being with us until today. You're asset to the company" Mendengar perkataan 'asset' tu saja, air mata aku bagai hendak mengalir. Aku ada sejarah hitam, dengan company aku bekerja sebelum ini, mereka melayan pekerja seperti sampah. Mereka tinggi diri kononnya ramai lagi orang di luar sana mahu bekerja dengan mereka. Oleh itu mereka tidak hargai pekerja. Jadi, apabila aku dihargai oleh company yang aku bekerja kini, walau hanya ucapan terima kasih, aku berasa gembira sekali. Begini rupanya perasaan dihargai company.

Tamatlah kisah September yang sakit.

Oktober, plot twist 2017
Siapa sangka, menjelang Oktober, ia merupakan plot twist bagi kisah 2017 ku. Mengapa aku katakan ianya plot twist? Kerana keletihan bekerja bawah company, aku memutuskan untuk tidak lagi bersama-sama mana-mana company setelah kontrak ku dengan company terkini telah berakhir.

Aku pilih untuk cuma menghasilkan painting dan komik, atau mungkin beberapa kerja sambilan untuk meneruskan hidupku. Namun, untuk membuat begini, aku perlukan ruang. Bilik sewaku di Cyberjaya, rasa bagai tidak perlu lagi memandangkan ianya sempit jika dibuat studio, malah ia jauh dari rumah kedua orang tua ku.

Lantas, aku mengambil keputusan yang memerlukan keberanian yang tinggi, iaitu menyewa sebuah ruang kedai dan menjadikan ia studio ku. Idea ini, sudah aku miliki sekian lama. Namun, baru kini aku punyai keberanian yang gila untuk laksanakannya.

Aku mendapat pelbagai reaksi dari orang sekeliling. Ada yang menyokong dan memuji. Ada juga yang kata, ianya bagai aku downgrade kehidupan ku. Maklumlah, daripada kerja dengan gaji yang sedap, tiba-tiba ambil keputusan yang tinggi risiko ini. Aku tak salahkan mereka yang berkata begini. Ya, kamu betul. Aku downgrade kan kehidupan ku. Aku gila. Aku dambakan sebuah kehidupan penuh kebebasan ini, lebih dari kehidupan duit banyak.

Namun, buat sesiapa yang terfikir untuk lakukan perkara yang sama sepertiku, sila jangan tiru gila aku. Aku lain. Aku tiada apa untuk dikesalkan. Tidak punyai anak dibawah tanggungan buat masa ini. Tidak punyai hutang PTPTN, hutang rumah mahupun hutang kereta. Aku takkan tarik sesiapa andai aku jatuh. Aku jatuh sendiri. Aku tiada kerisauan. Kerana itu aku berani ambil tindakan gila ini. Aku jadi tekad, lebih-lebih lagi setelah aku terbaca artikel bahawa, apabila kita tua, salah satu perkara yang kita kesalkan adalah, bekerja dalam pekerjaan yang tak diminati. Oleh itu, kini aku sedang cuba buat apa yang aku minati.

Mengatur studio tidak mudah. Aku rancang elok-elok perbelanjaan yang harus aku keluarkan demi menyediakan studio ini. Kerisauan dan ketakutan aku, tetap ada. Namun percayalah, aku tanggung semua kerisauan dan ketakutan itu sendiri. Sendiri! Memang perjalanan hidup ku banyak sendiri. Benar aku ramai insan tersayang di sisi. Namun apa yang telah aku lalui dan tempuhi, kebanyakannya sendiri. Oleh itu, berhenti buat andaian sebarangan mengenai ku. Betapa aku susah payah untuk menjadi kuat.

Tatkala cerita ini ditaip, aku tunggu masa sahaja lagi untuk siapkan studio ku. Amna Shark Studio bakal tiba! Inilah plot twist 2017 ku!



3 comments:

  1. Saya tumpang simpati dengan apa yang berlaku pada Amna pada bulan September. Dalam masa yang sama, saya doakan Amna akan terus berjaya dalam apa jua perkara yang Amna usahakan. Betul, kita yang menentukan hidup kita sendiri, dan kita tak perlukan approval dan cakap-cakap orang lain tentang macam mana kita nak tentukan hala tuju kehidupan kita sendiri. Semoga Amna terus sukses.

    ReplyDelete
  2. Pergh...semoga sukses...insya-Allah... =)

    ReplyDelete
  3. Setuju dengan pendapat bossu Noob, dan harapan saya juga sama buat Amna. Stay strong girl, and just move forward :)

    ReplyDelete