Thursday, August 11, 2016

Satu petang di stesen LRT

Petang itu, aku baru pulang dari berjumpa Aman Wan atas sedikit urusan perihal komik. Setibanya di satu stesen LRT, aku menunggu di sana menantikan Umi ku datang menjemput ku. Matahari semakin terbenam, memancarkan sinarnya ke muka ku. Aku tundukkan wajah sambil duduk di sebuah bangku perhentian bas berdekatan. Menyesal tak pakai topi, sedangkan kebiasaannya aku memakai topi. Keluh hati ku.

Disebabkan aku menundukkan wajah gara-gara sinar matahari, aku tidak perasan seseorang menghampiri ku. Setibanya orang itu disebelahku, dia menegur. "Hello, you ada kawan-kawan grafik designer tak?" Aku membulatkan mataku yang sudah sediakala bulat. Aku memandang lelaki kurus muda itu. Aku teragak-agak untuk menjawab. Fikiran aku terus dilanda pelbagai pertanyaan. Siapa dia ni? Mengapa dia tanya soalan sebegitu kepada aku? Mana dia tahu aku ini orang seni, dan memiliki ramai kawan-kawan yang bekerja sebagai grafik designer? Adakah stalker?!! Fikiran aku mula bersangka buruk demi keselamatan sendiri. 

Melihat aku teragak-agak untuk menjawab, dia mengulangi pertanyaannya "You ada kenal siapa-siapa ambil job grafik design tak?" Aku melihat sekeliling. Stesen LRT ni sunyi. Ruangnya terbuka dan luas. Andai dia orang jahat, aku masih memiliki bakat larian anugerah Tuhan. Bakat yang sudah lama tidak ku gunakan, namun aku percaya aku masih mampu menggunakannya. Ini Amna, bekas top 10 pelari acara merentas desa entah berapa tahun yang dulu. "Erm.. Kalau saya ada kenal sesiapa pun, kenapa ya?" Jawab aku selepas seketika senyap.

"I ada job nak bagi. I ada projek, yang perlu grafik designer" Terang lelaki itu. Aku masih tak puas hati dengan jawapannya. Persoalan bagaimana dia tahu aku adalah orang yang sama bidang, itu masih menjadi misteri. Mungkinkah dia sekadar bertanya sesiapa sahaja yang dia jumpa secara random? "Macam mana you tahu saya ada kaitan dengan bidang ini?" Akhirnya aku menyuarakan juga kerana tak tahan dibelengu teka-teki. Dia menerangkan panjang lebar: "I memang kerja ini woo. I buat majalah, iklan, buku..." Aku tak dapat menangkap kesemua yang diterangkan oleh lelaki itu. Namun jawapannya, bagai tidak menjawab persoalan aku langsung. "bla..bla..bla.. kartun" Sambil tangannya menunjuk ke arah poster animasi Ice Age di dinding sebuah bas di hadapan kami. Aku tersentak dan kembali cuba fokus kepada percakapannya. Kenapa dia tunjuk Ice Age? Adakah dia tahu aku pekerja bidang animasi, atau ini sekadar kebetulan sahaja? Sambil mendengar percakapannya, aku mengelak memandang matanya. Ini semua gara-gara terbiasa baca kisah pukau di internet. Dalam hati memohon agar Allah jauhkan perkara sebegitu dariku.

"Kalau saya ada kawan-kawan grafik designer, bagaimana saya mahu beritahu mereka pasal tawaran you?" Aku cepat-cepat cuba untuk tamatkan perbualan ini. Dia mengeluarkan kotak kecil dari begnya. Dari kotak kecil itu, dia ambil sekeping business card dan hulurkan kepadaku. "Suruh diorang contact ini" pesannya. Aku mencapai business card tersebut. Setelah mencapainya baru teringat! Ada juga kisah pukau melalui business card. Melalui kertas, orang boleh letak bau-bau atau jampi apa-apa mungkin? Aku tak tahu. Aku memegang kad itu hujung jari sahaja.

Setelah lelaki itu mengucapkan terima kasih, dia berlalu pergi menaiki bas Ice Age tadi. Aku memandang kad tadi di tanganku. Kelihatan perkataan 'manager' tertera di atas permukaan kad tersebut. Aku ambil gambar kad tersebut menggunakan telefon pintarku, dan meninggalkan kad tersebut di bangku stesen itu. Tak berani rasanya untuk membawa pulang kad itu. Gambar kad tersebut, aku sampaikan kepada salah seorang rakan grafik designer yang terlintas di fikiranku. Dengan ini, bermakna aku telah laksanakan permintaan lelaki tadi.

Sepanjang perjalanan pulang, aku terkenang-kenang peristiwa tadi. Adakah aku yang jahat kerana bersangka buruk? Tapi, sebagai seorang perempuan yang berjalan berseorangan di zaman seperti ini, aku perlu untuk bersangka buruk. Abah selalu pesan, jangan ingat semua orang baik. Namun, apa yang menjadi misterinya adalah, bagaimana dia boleh meneka aku adalah orang yang sama bidang? Atau ianya memang kebetulan sahaja dia ter tegur orang yang sama bidang? Aku memandang pakaian ku dari atas ke bawah. Tudung berwarna merah lebam. Baju putih dengan sedikit bunga di bahagian lengan. Seluar jeans lusuh. Kasut Scholl berwarna hijau, manakala beg galas berwarna merah. Apa dengan penampilan ini menunjukkan aku orang seni?

Akhirnya sampai ke sudah persoalan ku tak terjawab. Namun, rakan yang telah ku berikan business card tadi menyatakan bahawa itu sebuah company yang agak besar. Apa?



6 comments: