Friday, March 15, 2013

Awan dalam air



Waktu tengah hari tiba. Aku berjalan pulang dari makan tengah hari bersama rakan-rakan sekerja ku. Kami lalu di tepi kolam buatan manusia. Entah mengapa, tiba-tiba aku menjenguk melihat ke dalam kolam tersebut.  Aku terus terpesona pada bayangan dalam kolam itu. Gambaran Sang awan jelas dalam air, membuatkan aku merasa seolah-olah langit berada dalam kolam. Terus, pemikiranku terganggu dengan sesuatu perkara. Oh, awan. Sudah sekian lama aku lupakan awan.

Satu ketika dahulu, aku amat menyukai awan. Ketika dalam kereta yang dipandu Abah untuk pulang ke kampung, aku pasti merenung awan, bagi menghiburkan hatiku sepanjang perjalanan yang lama itu. Itulah kisah zaman kanak-kanak ku. Apabila melihat awan, pasti ada imej-imej yang muncul pada awan tersebut, hasil dari imaginasi kanak-kanak ku. Ketika zaman sekolah menengah aku, aku masih sama. Suka merenung awan. Teringat lagi pemandangan kelapa sawit, dihiasi awan-awan. Itulah pemandangan tempat lepak ku bersama rakan-rakan. Zaman universiti aku juga begitu. Awanlah jadi penghibur hati. Ada ketika terpaksa bermalam di studio kerana tugasan banyak. Apabila menjelang Subuh, pemandangan awan yang bertukar warna itu adalah pemandangan yang paling indah.

Kini, aku sudah bekerja. Aku keluar rumah pagi ketika cahaya terik kerana matahari sedang terbit. Sepanjang perjalanan, aku menundukkan muka menyembunyikan mataku dari terkena sinaran matahari. Kerana tundukkan mukalah, aku lupa melihat awan. Saat pulang dari kerja, langit sudah gelap. Aku mempercepatkan langkah kerana orang tua-tua tak bagi berada di luar rumah pada waktu Maghrib. Perjalanan pulang yang begitu juga melupakan aku untuk melihat pada Sang awan. Rupa-rupanya, semenjak terjebak dalam dunia pekerjaan, aku melupakan Sang awan yang selama ini adalah penghibur hatiku. Untunglah ada kolam yang mengingatkan ku kembali pada awan.

Ini baru saja kisah lupa pada awan. Bagaimana jika aku lupa untuk perkara yang lebih mustahak? Ketika aku lupa untuk mengejar akhirat lebih dari mengejar dunia, ketika aku lupa untuk utamakan solat apabila masuk waktu, ketika aku lupa untuk senyum, ketika aku lupa untuk bersyukur, ketika aku lupa untuk menghargai apa yang aku miliki sebaliknya mengejar sesuatu yang aku tak miliki. Aku manusia biasa. Tidak lari dari sifat lupa itu. Jika aku lupa pada awan, air boleh mengingatkan ku kembali. Namun, jika aku lupa pada perkara-perkara penting seperti yang ku nyatakan tadi, akan ada seseorang yang tampil untuk mengingatkan ku kembali kah? Aku harap, jawapannya ada...


Amna
15 Mac 2013


1 comment:

  1. macam mana air kolam menjadi pemantul bayangan awan, utk ingatkn amna kembali kpd awan, mcm tu juga lah sahabat2 sejati menjadi pantulan kepada diri kita, tugas sesama manusia untuk saling ingat-mengingatkan. Tengok Quran,(9:71).

    "Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar,.... (At-Taubah ayat 71.)

    "Sahabat itu cerminan diri." :D

    ReplyDelete