Sunday, June 21, 2015

Sampul Duit Raya Pendar Ratna



Komik Pendar Ratna aku, agaknya tak lama lagi akan mula disiarkan episod 1. Sementara menunggu episod 1 keluar, Pendar Ratna nak beraya dulu. Maka, inilah sampul duit raya Pendar Ratna!!!

Terharu juga melihat komik aku mengeluarkan produk. Namun ini hanya produk edisi terhad. Jadi, jika anda berminat untuk memilikinya, sila pergi ke link ini, dan ikuti cara-cara di situ.

Selamat menyambut Ramadhan semua. Jangan lupa beraya dengan sampul duit raya Pendar Ratna.



Friday, June 5, 2015

6 perkara mengenai Pendar Ratna

Seperti yang aku pernah ceritakan sebelum ini, aku ada buat komik baru, Pendar Ratna tajuknya. Alhamdulillah, syukur.. Pendar Ratna berjaya disirikan. Dalam erti kata lain, anda akan dapat membaca sambungannya tak lama lagi. InsyaAllah. Terima kasih buat yang menyokong dan tak henti-henti memberi semangat kepadaku saat aku hampir putus asa.

Sementara menunggu sambungan Pendar Ratna, biarlah aku bercerita sedikit mengenai Pendar Ratna. Berikut adalah 6 perkara mengenai Pendar Ratna: (mungkin ada yang sudah tahu, tapi, tidak apa lah, aku cerita ulang-ulang. Haha..)


1. Maksud 'Pendar Ratna'



Menurut Kamus Dewan, 'Pendar' bermaksud: Cahaya atau sinar seperti yang kelihatan pada kunang-kunang (permukaan laut di waktu malam dll)

Panjang lagi huraian dalam Kamus Dewan. Jika mahu tahu, dipersilakan buka Kamus Dewan.

'Ratna' pula bermaksud 'permata', 'manikam' atau 'intan'.

Kenapa tajuk diberi sekian rupa? Ini kerana dalam komik ini, aku akan sentuh soal 'nilai'. Jika permata itu sesuatu yang bernilai, ini pula mengenai nilai dalam diri manusia. Tak perlu kupas panjang lebar, nanti jangan lupa baca ya?



2. Intan, watak utama


Nama watak utama dalam cerita ini, Intan, juga bermaksud 'permata', sama seperti maksud 'ratna'. Kebetulan? Kebetulan yang disengajakan.



3. Putera Kayangan


Percaya atau tidak, watak Putera Kayangan telah ku reka sejak tahun 2011 lagi. Namun cerita mengenainya tak pernah sempurna direka. Asyik mengalami perubahan saja. Pendar Ratna adalah hasil cerita yang asyik diubah suai sejak dulu.



4. Muzium Seri Bakawali.


Muzium Seri Bakawali adalah sebuah Muzium rekaan, tidak wujud. Namun rupa bentuk bangunan tersebut berasal daripada bangunan Muzium Sultan Alam Shah. Bagi yang menetap di Shah Alam, anda mungkin sering melihat bangunan tersebut.

Nak tahu satu rahsia? (Ahaha.. tak rahsia pun) Aku sendiri pernah menjalani latihan praktikal di Muzium Sultan Alam Shah. Mula-mula dapat idea cerita ini sebab diri sendiri pernah praktikal di muzium lah.



5. wajah-wajah awal Putera Kayangan


Gambar di atas adalah antara rekaan-rekaan awal rupa Putera Kayangan. Pelbagai kostum telah aku cuba berikan kepadanya, namun rambutnya tetap seperti itu. Rambut panjang dan menutupi sebahagian muka. Ini kerana aku rasa rambut panjang kelihatan misteri. Ok, sebenarnya, sebab aku suka lelaki berambut panjang. Ahahaha... ok, next... 


6. Penasihat utama Pendar Ratna


Komik Pendar Ratna ini, selain aku sebagai pelukis dan penulis, ada seorang Tuan Penasihat. Dia adalah, adik aku sendiri, Najaa. Najaa merupakan adik bongsu aku, berusia 14 tahun. Memandangkan dia seorang yang kuat baca komik, bijak pula tu.. Aku selalu mendapatkan nasihat mengenai Pendar Ratna daripadanya. Jadi, buat masa ini, selain diriku, Najaa adalah satu-satunya manusia yang tahu jalan cerita ini. (Tapi, janganlah pergi korek rahsia dari Najaa pula. Haha..) Sekarang Pendar Ratna juga memiliki seorang editor. Tapi aku belum beri sinopsis cerita kepada beliau lagi. Selepas ini aku akan ikut nasihat beliau pula.


Buat masa ini, cuma 6 perkara ini sahaja yang aku terfikir nak ceritakan. 

*****
Masih banyak benda yang aku perlu pelajari dalam menghasilkan komik. Harap kesemua guru komik yang pernah mengajarku tak bosan untuk terus ajar aku.


Sekian... Layan lah teaser Pendar Ratna ku:





Sunday, May 17, 2015

Pendar Ratna oleh Amna Shark



Hai semua.... aku ada hasilkan komik baru. Pendar Ratna tajuknya. Pendar bererti sinar atau kilau manakala ratna bererti permata. Mengisahkan tentang Intan yang menjalani latihan praktikal di sebuah muzium. Tidak disangka-sangka, muzium tersebut menyimpan satu kisah lain...


Nama watak utama, Intan, juga bermaksud permata. Semasa memikirkan tajuk komik ini, ada beberapa tajuk lain yang aku pertimbangkan. Antaranya ialah 'Sinar Ratna' dan 'Relap Ratna'. Tapi aku pilih Pendar Ratna kerana Umi aku suka tajuk itu. Memandangkan Umi adalah orang sastera, aku mempercayai pilihan Umi.

Kini, Pendar Ratna boleh dibaca di sini.

Jika anda suka komik tersebut dan mahu baca sambungannya, kenalah undi. Kerana jika mendapat undian top 6 sahaja aku boleh teruskan melukis Pendar Ratna.

Tolong undi di sini.

Sebarang kritikan atau pandangan mengenai Pendar Ratna, jangan segan silu untuk memberitahu ku. Kerana aku masih perlu belajar banyak perkara dalam komik. Terima kasih...



Wednesday, May 13, 2015

Anak-anak Tommy

Seperti yang aku janji sebelum ini, aku akan cerita kisah anak-anak Tommy. Tommy mendapat tiga ekor anak. Seekor corak tompok seperti Tommy. Seekor lagi hitam keseluruhan badan. Hitam sehitam hitamnya, bagai bontot kuali. Sehingga tak nampak mukanya. Seekor lagi, berwarna kelabu. Kelabu bagaikan kucing Russian Blue pula. Namun, tiada seekor pun bercorak seperti Guli. Ini membuatkan aku mula rasa Guli bukan bapa mereka.


Adikku Najaa, dan Umi, suka betul dapat anak kucing kelabu. Main cop-cop pulak. "Cop, yang kelabu Najaa punya.." Hampir setiap hari aku dengar ayat ini. Aku malas lah nak berebut. Biar mereka dua beranak je berebut. Aku suka yang hitam.


Lama-kelamaan, si kelabu mula tunjukkan belang. Tidak, ini bukan tunjuk belang seperti peribahasa yang bermaksud tunjuk perangai sebenar tu. Ini benar-benar tunjuk belang. Badannnya yang sebelum ini kelabu, makin lama makin kelihatan corak belang. Kini, semua kaki dan mukanya bercorak belang. Warna juga makin keperangan. Ekor menjadi hitam. Hanya tinggal badan sahaja yang masih kelabu. Makin menyerupai corak Guli. Aku kembali syak bahawa Guli adalah bapa mereka.


Apa jadi kepada Umi dan adikku yang suka kucing kelabu? Mereka mula mengeluh "Alaa.. janganlah ada belang". Boleh pula nak pilih-pilih corak kucing. Haha..




Thursday, April 30, 2015

Kau kritik untuk apa?

Saja lah aku mahu bercerita tentang perangai segelintir manusia. Segelintir saja manusia begini. Nasib baik manusia begini tidak banyak. Ada lah perangai segelintir manusia ni, ketika aku jatuh teruk, ketika aku tidak berjaya, dia ketawa dan mengejek apa yang aku buat, di belakang aku. Di belakang, bukan di depan. Tapi dia tidak tahu bahawa aku tahu dia sedang mengejek dan mentertawakan aku. Siap ajak geng sama-sama kutuk aku. Nasib baik aku pandai buat-buat pekak dan buta.


Namun, tatkala aku mula menunjukkan sedikit peningkatan yang elok, tatkala orang sekeliling mula membuka mata melihat apa yang aku buat, ketika itu lah dia tampil di depan aku. Dia kritik apa yang aku buat, dengan alasan mahu membantu aku supaya aku boleh meningkat lagi.


Jangan salah faham tentang post ini, bukannya aku tidak suka dikritik. Aku amat menghargai orang yang mengkritik karya aku. Barulah aku boleh improve dengan adanya kritikan. Cuma yang aku nak ceritakan di sini, segelintir manusia jenis ini, sebenarnya mengkritik aku untuk apa? Jika benar kritik sebab mahu bantu aku, kenapa saat aku jatuh teruk dulu kau antara yang mengutuk aku? Kenapa saat aku boleh berdiri baru kau nak tampil kritik konon untuk bantu? Jadi, apa tujuan kau kritik? Betul mahu bantu? Tepuk dada tanya niat.

Aku sedar, ramai yang kritik aku untuk bantu aku improve. Aku sangat-sangat menghargainya. Terima kasih semua. Cuma segelintir ni, yang kutuk saat aku jatuh, bila aku menunjukkan sedikit peningkatan baru nak tampil kritik konon untuk bantu, aku tak rasa kritikan dari golongan tersebut sebenarnya mahu membantu aku.

Namun, tidak kisahlah. Berada dalam bidang seni ni memang pelbagai kerenah harus ditempuhi. Aku tetap menerima semua kritikan walau apa pun niat golongan tersebut.