Sunday, February 14, 2016

Hantu zaman kanak-kanak aku

Membaca post Cero tentang hantu dari zaman kanak-kanaknya, aku terdetik untuk menceritakan kisah aku pula. 

Pada zaman dahulu, ketika aku masih seorang kanak-kanak comel, ketika arwah Mok (nenek aku) masih ada, aku dan sepupu-sepupu aku selalu kumpul bersama. Kami berenam merupakan cucu perempuan Mok yang selalu bermalam di rumah Mok, tidur bersama, ke mana-mana sahaja ikut Mok. Aduh, rindunya Mok. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa Mok dan tempatkan Mok bersama orang beriman.

Kami berenam adalah:
-Along besar dan Kak Nini (adik beradik)
-Along dan Angoh (adik beradik)
-Ilham dan aku (adik beradik)

Apabila malam menjelma, sebelum tidur kami akan bersembang-sembang dahulu di tempat tidur. Entah kenapa satu cerita hantu ini mesti menjadi cerita sebelum tidur. Bedtime story lah tu.


Hantu yang sering diceritakan itu adalah, kisah hantu yang separuh cantik dan separuh hodoh. Wajah dan badan hantu itu, terbahagi kepada cantik dan hodoh, sebelah-menyebelah. Separuh darinya, teramatlah cantik, manakala lagi separuh, teramatlah hodoh.

 Hantu itu akan mencari sesiapa saja, dan dia akan bertanya soalan: "Saya cantik tak?" Andai dia mendapat jawapan "cantik", dia akan berlalu pergi. Jika dia mendapat jawapan "hodoh", dia akan culik orang tersebut.


Aku percaya pada kewujudan hantu ini. Yelah, aku kanak-kanak yang terlalu kecil ketika itu. Punyalah aku takut sehingga aku bersedia dengan jawapan, andai hantu itu jumpa aku, aku akan jawab "cantik".

Selesai sesi bercerita, cerita akan ditamatkan dengan "Jom baca Al-fatihah. Kalau baca Al-fatihah, hantu ni tak akan kacau" Kami pun beramai-ramai membaca Al-Fatihah. Satu-satunya surah yang aku hafal pada usia tersebut.

Kini, bila terkenang semula hantu ini, aku akan ketawa. Bagaimana aku boleh takut dengan hantu yang sangat kelakar? Cuma perlu jawab "cantik", nak takut apa?


Tuesday, February 9, 2016

Kisah Seram Ketuk Pintu

Malam itu, aku tekun melukis. Jam menunjukkan hampir pukul dua pagi. Cuaca sejuk benar-benar menggoda aku untuk capai selimut kesayangan ku dan tidur. Namun, tak boleh! Ada kerja harus aku siapkan. Sesekali tirai ditiup angin dan menampakkan warna gelap langit luar. Kadang aku terbayang, bagaimana jika ketika tirai bertiup, ternampak wajah hantu? "Pfft.." Aku ketawa kecil. Sungguh berani berimaginasi seram sedangkan aku keseorangan berjaga di malam ini. Keluarga ku yang lain semua sudah lena diulit mimpi.


Playlist lagu memainkan lagu-lagu koleksi aku. Cukuplah lagu yang menjadi peneman aku di malam sunyi ini. Lagu-lagu Malaysia, Indonesia, mahupun barat, tak tentu. Semuanya bergilir-gilir dimainkan. Dalam banyak-banyak lagu, lagu biduanita Saloma antara yang menjadi kegemaran aku. Suaranya tiada tandingan. Tapi, terdetik juga di hati ini, walaupun suaranya merdu, namun jika didengar malam-malam, seram sejuk juga. Mengapa ya?

Sedang aku tekun menyiapkan kerja, tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu. Aku tersentak seketika. Ketukan ini, bukan manusia yang ketuk. Bunyinya lain, lebih kuat, seolah-olah satu pintu itu bergegar. "Ahh.. dia buat hal lagi.." Keluh hatiku.





'Dia' seolah-olah tahu bahawa dalam rumah ini hanya aku yang belum tidur. 'Dia' mesti kacau aku, bukannya keluarga ku yang lain. Ini bukan kali pertama aku dikacau oleh 'dia'. Sebab itulah aku tidak lagi terkejut. Mula-mula aku abaikan saja bunyi itu. Tapi, seperti biasa, semakin aku abaikan, semakin kuat bunyi gegaran pintu itu. Ahh.. 'dia' tahu-tahu saja aku belum tidur. Nak tak nak, terpaksalah aku melayan kerenah 'dia'.


Aku pun menuju ke pintu. Aku buka pintu dan merenung ke wajah makhluk itu. "Nak apa Tommy?" Tanya ku kepada kucing betina ku, Tommy Tompok. Ya, si Tommy Tompok ini pandai ketuk pintu. Sebenarnya bukan ketuk, tapi gegarkan pintu. Dia hulurkan tangannya di bawah pintu dan gegarkan pintu. Dia tahu aku akan terpaksa melayan dia juga jika dia buat begini. Dia tahu jika dia hanya mengiau, aku akan buat-buat pekak.



Dia nak keluar rumah, tapi tiada siapa nak tolong bukakan pintu. Jadi dia datang cari aku di bilik aku. Aku pernah ceritakan sebelum ini dia ialah seekor kucing yang bijak bukan? Susah bela kucing bijak ni.

Lagi kisah Tommy Tompok:
Tommy Tompok
Sabar
Susahnya memiliki kucing bijak

Wednesday, February 3, 2016

Group Whatsapp keluarga









Ketika aku sedang fokus nak siapkan kerjalah, perhatian aku mudah teralih kepada benda-benda remeh begini. Apa nak jadi Amna?

Sekarang rata-rata ramai mempunyai group Whatsapp keluarga sendiri. Keluarga kami juga tak terkecuali. Memandangkan adik beradik aku semuanya duduk jauh-jauh, group ini menjadi amat berguna untuk kami.

Jadi, bagaimanakah group Whatsapp keluarga anda?