Monday, May 28, 2012

Ali & Tuah


Siapa suka baca komik? Hari ni aku nak kenalkan sebuah komik yang aku rasa, tak rugi kalau anda semua bacanya. Tajuknya 'Ali & Tuah' karya Afiq dan Nazry. Siapa selalu baca karya Afiq dan Nazry? Sejujurnya, sebelum ni tak pernah pun aku baca mana-mana karya mereka. (Walaupun aku mengikuti blog mereka) Tapi di pesta buku tempoh hari, entah mengapa tangan ni tergerak untuk mencapai komik 'Ali & Tuah'. Jadi, di sini aku nak menyatakan pendapat aku mengenai komik ni.

Dari segi cerita, ianya memuaskan. Lawak-lawak selalu muncul tanpa dijangka. Penceritaannya jelas, siapa watak-watak dan latar belakang masing-masing. Dua watak utama masing-masing mempunyai karakter tersendiri. Aku suka watak Ali. Cerita turut diserikan dengan kehadiran watak haiwan-haiwan kecil yang menemani mereka. Mungkin watak haiwan-haiwan kecil ni nampak tak penting, tapi mereka lah yang buat cerita jadi santai, tidaklah terlalu serius. Keseluruhan cerita ni menarik, tapi, mana boleh cerita, silalah baca sendiri. Cerita ni mungkin ada satu kelemahan. Ceritanya terlalu laju. Sekejap saja sudah masuk babak seterusnya. Tak sempat nak merasai debar-debar dalam beberapa situasi. Tapi, ini hanya lah pendapat aku sendiri. Ia bukan kelemahan besar pun. Secara keseluruhan, aku suka komik ni.(Kalau tidak, aku tak tulis lah di sini kan?)

Dari segi lukisan, aku puji karya ni. Dalam zaman kini yang kebanyakan generasi kini terpengaruh dengan lukisan manga, Afiq dan Nazry lain. Mereka hanya mengambil gaya manga untuk beberapa perkara sahaja, jadi secara keseluruhan, karya mereka tidak nampak ke'manga'annya. (Suka hati cipta perkataan ni) Gaya manga yang mereka ambil, hanya dari segi garisan, susunan panel dan penggunaan perspektif. Watak atau latar tak nampak manga pun. Ini kalau apa yang aku nampaklah. Mungkin anda ada pendapat sendiri, bolehlah kongsi bersama.

Itu saja ulasan aku, nak kritik banyak-banyak, aku pun belum jadi pelukis komik lagi. Kritik dari sudut pandangan pembaca saja lah aku mampu. Kepada mereka yang asyik baca manga, cubalah beralih ke komik tempatan. Sebab apa yang ada dalam komik tempatan, tak boleh dijumpai dalam manga. Hehe.. betullah. Baca dulu, baru tahu kelebihannya.

Oh ya, nak meloncong sikit dari topik atas ni. Watak Ali dalam cerita ni mengingatkan aku pada satu watak ciptaan ku. Tapi watak ni tak jadi digunakan. Mungkin sebab tu agaknya aku suka watak Ali. Ni watak milik aku tu :




Sunday, May 27, 2012

Malam yang tragis

Pada suatu malam, aku berjalan menghentak-hentak kaki meninggalkan studio dan menuju ke tempat printmaking di tingkat bawah. Perasaan tak puas hati masih terasa. Aku menuju ke tempat Nik dan Ju. Sebagai printmaker, tempat mereka di bawah. Tempat mereka di depan surau Seni Halus. Setibanya di situ, aku mengadu pada Nik.

"Nik, Zizan tu... Dia mungkin berniat nak bergurau lalu menolak painting ku jatuh terhempas ke lantai. Aku juga, bagi membalas gurauan tersebut, aku tolak painting dia pula. Lepas tu painting dia rosak. Sekarang kitorang sedang gaduh besar.." Aku bercerita dengan penuh emosi. Wajah Nik kelihatan terkejut. Yalah, semua orang sedia maklum painting Zizan diperbuat daripada kayu yang dipotong mengikut bentuk-bentuk tertentu dan disusun dengan teliti. Satu usaha yang banyak untuk menghasilkan sesuatu seperti itu.

Tapi aku, tetap dengan ego ku. Aku kata: "Dia yang mulakan! Aku cuma balas balik apa dia buat. Dah painting tu nak rosak. Bukan aku berniat pun." Nik cuba tenangkan keadaan. Dia minta aku cool. Dia larang aku naik semula ke studio kerana bimbang keadaan jadi lagi keruh. Ju yang tidak ambil peduli tentang apa yang aku cerita, juga aku libatkan. "Ju, dengar tak ni?" "Aaa.. dengar." Balas Ju pendek.

Tiba-tiba, Zira muncul. Zira juga datang dari studio. Dia tahu keadaan sebenar. Bila Zira muncul, aku nak bela diri aku depan Zira pula. "Zira, bukan salah aku kan?" Selepas tu aku berlalu pergi walaupun dilarang oleh Nik. Tinggallah Nik, Zira dan Ju di situ. Entah apa agaknya mereka bincang tentang sikap keras kepala ku.

Entah berapa minit kemudian, Nik, Ju dan Zira naik ke studio. Agaknya untuk tahu apa terjadi seterusnya. Zizan yang sedang duduk dengan muka tak puas hati di tempatnya, mengadu pada Nik dan tunjukkan paintingnya yang ditolak oleh aku berada di atas lantai. Entah apa agaknya Zizan kata pada Nik. Aku tak dengar kerana aku berada di luar studio untuk layan perasaan sorang-sorang.

Tiba-tiba Zizan meluru keluar dari studio menuju ke arah ku. Sepanjang berkawan dengan Zizan, inilah kali pertama aku nampak dia begitu marah. Zizan menghampiri aku dan tengking-tengking aku. Aku melawan balik sebab aku tak rasa aku salah dalam hal ni. Aku tak ingat keseluruhan pertuturan kami, tapi yang pastinya, pertengkaran kami teruk sekali. 

Zira yang kebiasaannya tidak menyibuk dalam pergaduhan orang lain, akhirnya campur tangan. "Amna, dah la tu, minta maaf je lah" Desak Zira. "Huh, Sori~" Balas aku dalam nada yang sememangnya kedengaran tak ikhlas. Aku sempat jeling ke arah Nik yang duduk agak jauh dari kami semua. Agaknya takut. Dari riak wajahnya, memang ketara yang dia tidak mampu berkata apa-apa. 






"Happy Birthday!" 


Tiba-tiba Wani, watak yang tak ada dalam cerita ini pada mulanya, muncul! Tepung dilempar pada Nik yang masih tergamam. Ok, keseluruhan cerita ini semuanya lakonan semata-mata untuk menakutkan birthday girl, Nik.

Lakonan tamat, dan perang tepung bermula...

 Aku dan Zizan.
Pelakon malam itu.

 Birthday girl, Nik.

Dari kiri, Nik, aku, Wani, Ju dan Zira.
Aku tahu, aku akan merindui mereka selepas tamat degree nanti.


Moral : Jangan ego sangat. Lakonan tak apa laa..

Rindu Kamu


Saturday, May 26, 2012

Forum Pekomik

Pada Anugerah Pekomik 2012 yang diadakan minggu lepas, aku datang untuk menghadiri Forum Pekomik. Susah payah google map akhirnya tibalah aku ke forum tersebut. Terima kasih Aiman, (rakan sekelas aku) sudi bawa aku ke situ. Dalam hati sebenarnya melonjak-lonjak kegembiraan nak jumpa Dato Lat. Namun, luaran aku, cool je. Tiba saja Dato Lat tampil di depan aku, dalam hati dah menjerit! Macam biasa, luaran kena cool je. Hehe..

Dari kiri, Faizal Mukhtar, Gayour, Dato Lat dan Prof Muliyadi.

Prof Muliyadi pun ada. Lecturer kesayangan aku tu. Dia sokong aku libatkan diri dalam dunia komik. Sebab tu aku bersemangat sekarang ni. Tajuk forum: Style and market on local comics. Aku lihat kiri kanan, ada beberapa orang yang membawa buku Dato Lat bersama. Jadi, tahulah aku bahawa bukan aku sorang di sini yang hadir sebagai peminat beliau.

Forum tamat. Masa dirasakan sekejap saja berlalu. Orang ramai kerumun Dato Lat. Aku pun ada niat nak bergambar dengan beliau. Tapi, niat terkubur macam tu je. Tak berkesempatan. Agak kecewa, tapi aku yakin, kalau aku terus berjuang dalam dunia komik Malaysia ni, InsyaAllah aku berpeluang jumpa beliau lagi.

Aku pulang dengan semangat baru. Banyak perkara aku dapat dari forum ni. Apabila aku cerita pada Umi, Soalan pertama Umi tanya: "Bergambar dengan Lat tak?" Sebab, Umi pun peminat Dato Lat sebenarnya... Hehe..

Sekian saja cerita mengenai Forum Pekomik, doakan aku berjaya terbitkan komik pertama aku nanti.

Friday, May 18, 2012

Hari Guru dan Bubu


Ketika orang ramai menyambut hari guru, aku juga tak melepaskan peluang menghantar SMS hari guru kepada cikgu seni kesayangan aku. Kemudian, aku mendapat berita tentang kematian Bubu, kucing penyeri hidup aku. Perasaan aku, aku tak tahu nak kata apa. Baru tahun lepas aku menerima kematian Kembang (kembar tak seiras Bubu). Semasa kematian Kembang, hampir seminggu aku bersedih. Sejak kematian Kembang, Bubu lah yang menjadi penyejuk hatiku. Kini, Bubu pun tiada lagi.

"Setiap bencana yang menimpa di Bumi dan yang menimpa dirimu semuanya telah tertulis dalam kitab lauh mahfuz sebelum kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tak sedih terhadap apa yang luput dari kamu dan tak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu." (Al-hadid:22,23) ~SMS yang aku terima dari adikku pada hari kematian Bubu.

Sehari selepas kematian Bubu, aku mendapat tahu bahawa ada seorang rakanku kematian kakak ipar. Kakak iparnya pergi selama-lamanya, meninggalkan anak-anak kecilnya tak beribu.  bila nak dibandingkan anak kecil yang kehilangan ibu, sesungguhnya aku yang hanya kehilangan kucing ini jauh lebih bernasib baik.

Aku tak lagi bersedih mengenai Bubu, tapi aku tahu, selepas ini setiap kali tiba Hari Guru, aku akan teringat Bubu...

Wednesday, May 16, 2012

Bubu


 Bubu (2010-2012)






Gambar terakhir bersama Bubu:


Mak Yong

Hari Sabtu baru-baru ni, aku pergi tengok persembahan MakYong yang diadakan di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam. Malas nak tulis banyak-banyak sebab keyboard rosak. Tapi, aku agak kecewa sebab ramai rakan tak berminat untuk hadir walaupun ianya percuma.

bersama Fiqah yang turut hadir pada hari tersebut.

aku bersama pas masuk percuma.

Umi dan Najaa menemani aku.


Sunday, May 13, 2012

Atas Kasut


Pasu dan Potto tidur di atas kasutku. Biarkan mereka. Tak sampai hati nak kejut.

Thursday, May 10, 2012

Critic Session


Kali pertama menghadapi critic session. Agak gementar. Apatah lagi selepas dapat tahu ianya akan melibatkan seluruh part 6 Fine Art. Maksudnya, bukan painting sahaja, campur sculpture, ceramic dan printmaking sekali. Aku pun bersiap sedialah dengan painting dan sketches semua. Walaupun painting ku bukanlah sepenuhnya siap. Perlu kah aku cerita bahawa aku tak tidur untuk menghadapi ini? Rasanya ramai lagi yang tak cukup tidur.



Critic Session bermula dengan sculpure dulu. Disebabkan kami ramai, hanya lima orang sahaja dari sculpture terpilih untuk critic session ini. Sejujurnya, pelajar sculpture hebat-hebat! Mungkin juga aku rasa mereka hebat kerana aku tidak pandai buat seperti mereka. Tidaklah, mereka memang hebat! Setiap karya ada keunikan kerana masing-masing menggunakan bahan yang berbeza. Ini bertentangan dengan kami painting yang kebanyakannya guna bahan sama. Sebab itulah sculpture kelihatan hebat. Seperti biasa, aku kagum pada seseorang ni, dulu dia adalah senior aku. Dia kena kritik agak teruk, dan ini memeranjatkan aku kerana aku sentiasa anggap dia hebat. Tapi, dia menerima dengan tenang dan senyum saja. Aku jadi bertambah kagum pada dia. Aku nak jadi seperti dia. Aku pun akan senyum saja jika kena teruk nanti. 


Seterusnya, critic session beralih ke ceramic. Seperti tadi, hanya lima pelajar saja yang terpilih untuk dikritik. Aku tidak mahu kata apa-apa tentang critic session di sini kerana aku tidak pandai menilai ceramic. Semua nampak hebat je di mata ku.


Akhirnya, sampailah ke kemuncak debar-debar ku! Kini giliran painting. Aku tarik nafas dalam-dalam. Tapi, sebenarnya, setakut-takut aku, aku benar-benar berharap aku jadi antara yang terpilih untuk dikritik. Dua orang yang aku kagumi dalam kelas ku, terpilih. Ya, aku harus akui yang mereka hebat. Untungnya terpilih untuk dikritik.

Empat orang sahaja dari painting yang terpilih. Selepas itu, lecturer hentikan dan katanya akan disambung lain kali. Aku tidak terpilih. Ya, aku kecewa. Tapi tak apalah. Lagipun painting aku belum siap sepenuhnya. 

Cuba menjadi kurator




Hari Isnin yang lalu, bersama-sama rakan kelas liberal, aku pergi ke Balai Seni Visual Negara. Terima kasih Prof Muliyadi kerana membawa kami ke sini. Prof Muliyadi adalah lecterur kegemaran aku. Lecturer yang paling aku suka antara semua lecturer yang pernah mengajar aku. Tutur kata beliau penuh sopan, murah dengan senyuman, dan ilmu beliau tinggi. Sudah tentu lah kan. Kata pepatah, 'Sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya'. Ya, aku benar-benar suka beliau. Beliau banyak ubah pemikiran aku. Aku cuba ceburi bidang komik Malaysia selepas dapat galakan dari beliau, aku jatuh cinta dengan dunia liberal juga kerana beliau.


Berbalik kepada topik asal, aku dan rakan-rakan datang ke BSVN untuk kelas Curatorship kami. Ingin mendalami bidang kurator la. Aku rasa, banyak benda aku dapat dengan kelas ini. Baiklah, biar aku ceritakan satu persatu. 


Selepas mendapat sedikit ajaran dari kurator di sana, kami di bawa melihat pameran di BSVN. Kebetulan pameran 'Pertarungan-Amron Omar' sedang berlangsung. Pameran 'Pertarungan' diadakan di dua galeri di tingkat paling atas di BSVN. Kami bermula dengan memasuki galeri yang di sebelah kiri dahulu. Sebaik sahaja melangkah masuk, aku dapat rasakan sesuatu perasaan yang lain. Kerana ini pengalaman pertamaku. Melawati pameran adalah sesuatu yang aku biasa buat, tetapi, inilah kali pertama aku masuk pameran BUKAN untuk melihat karya, tapi untuk melihat cara mempamerkan karya. Tak pernah langsung aku terfikir begini sebelum ini.


Aku teringat sesuatu, sebelum ni, aku pernah terdengar seseorang berkata: "Kebiasaannya, apabila pelawat memasuki sesebuah pameran, mereka akan masuk dan melihat bermula dari belah kiri." Hari ini, aku dapat nampak kebenaran kata-kata tersebut. Rakan-rakan sekelas ku terus ke kiri sebaik sahaja memasuki ke ruang pameran. Ajaib. Bila difikir-fikir semula, ada logiknya juga. Kerana kita membaca bermula dari kiri. Oleh itu, tanpa disedari, kita melihat pameran juga bermula dari kiri. Sekadar andaian ku. Mungkin ada sebab lain, aku tak tahu.


Dalam ruangan pameran ini, pengunjung dapat melihat sketches-sketches milik Amron Omar dari dulu hingga kini. Susunan sketches-sketches ini berdasarkan tarikh. Kuantitinya banyak. Susunannya tidak semua sama jarak. Ada sekelompok sketches yang di atur berdekatan, ada jarak tertentu selang beberapa sketches, ada sederet sketches yang rapat-rapat, ada pula yang jarak selepas itu, pendek kata, kepelbagaianlah corak susunannya. Mengapa? Jika berdasarkan andaianku, ini semua atas faktor penegasan. Penegasan penting untuk daya tarikan. Malah, jika menghasilkan komik juga, setiap panel komik itu tak sama jaraknya untuk menghasilkan penegasan. Maaf jika andaianku tidak tepat. Tapi buat masa ini, itu yang aku fikir. 


Di bahagian ruangan tengah pameran tersebut, terdapat dinding yang meletakkan teks tentang Amron Omar. Namun, aku tidak sempat untuk meneliti teks tersebut walaupun aku tahu, penyediaan teks itu juga tugas kurator.          


Kami masuk ke galeri bertentangan dengan galeri tadi pula. Kali ini, diruangan pameran ini adalah karya-karya Amron Omar. Jika sana adalah sketches, sini pula painting. Ruangan di sini lebih kecil berbanding tadi. Painting yang di pamerkan juga lebih sikit berbanding sketchesnya. Tiba-tiba aku teringat sesuatu yang pernah diberitahu oleh Abah aku. Dalam pameran, karya  tak boleh banyak sangat, nanti orang pandang sekali lalu saja. Ada betulnya juga. Bila sikit, baru setiap karya itu dihayati.


Cahaya di ruang pameran ini lebih gelap berbanding di ruangan sketches tadi. Ini aku faham kenapa. Bila gelap, cahaya ditumpukan kepada karya. Jadi menonjol lah karya-karya tersebut. Menjelma dalam kegelapan, bagai menonton pawagam jugalah. Dalam gelap bukan? Di sini juga, aku bergambar dengan salah satu karya Amron Omar yang bertajuk: 'Catan Diri'. Sebuah karya yang aku sentiasa lihat dalam buku, kini aku nampaknya di depan mata. 


Satu tingkat di bawah pameran 'pertarungan', terdapat pameran ceramik. Cahaya di ruangan ini cerah. Cerah sehingga boleh melihat pantulan ceramik di atas lantai. Indah sekali suasana ini. Pameran ini berbeza, mungkin kerana ianya barangan 3D. Bila menggunakan barangan 3D, dinding lebih banyak kosong, tetapi lantai yang diperlukan untuk mengatur bahan-bahan pameran.


Bertentangan dengan ruangan pameran ceramik tadi, terdapat pameran 'The Last Harvest-Rabindranath Tagore'. Berbeza dengan pameran-pameran sebelum ini, pengunjung pergi ke sebelah kanan dulu, bukan kiri. Kemudian, barulah aku sedar, ini kerana terdapat tulisan di dinding :"phase 1, phase 2, Phase 3" dan seterusnya. Tulisan-tulisan tersebut yang memandu arah pengunjung supaya berjalan bermula dari kanan. Begitu rupanya, dan ianya berkesan buktinya aku lihat rakan-rakanku ke kanan dahulu.


Itu saja yang aku nak ceritakan. Mungkin bagi mereka yang sudah lama dalam bidang ini, semua yang aku tulis ini biasa saja. Tapi bagi aku, ini pegalaman baru. Itu saja, salah dan silap harap ditegur. Terima kasih.



Monday, May 7, 2012

Pesta Buku 2012

Sudah agak lama tak menulis di blog kesayangan aku ni. Biarlah aku jujur, sebenarnya, keyboard laptop ku rosak. Jadi ini mematikan mood aku untuk menaip di sini. Kali ni, nak ceritakan kisah aku di Pesta Buku 2012.

Pesta Buku 2012, sudah pasang semangat awal-awal lagi nak ke sini. Adalah sebab-sebab tertentu. Adalah sesuatu yang aku cari. Dugaan kuat betul untuk aku ke sini. Tarikhnya jatuh dalam minggu yang aku sibuk. Tapi aku curi masa juga untuk pergi. Akhirya, selepas beberapa dugaan yang aku malas nak cerita, aku selamat tiba di Pesta Buku pada 5 Mei 2012. (Sehari sebelum hari terakhir Pesta Buku) 

Kakak aku temankan aku. Ya, dia memang kakak baik nombor satu aku. (Sebenarnya memang ada satu kakak je.) Ni gambar kami sebelum bertolak ke Pesta Buku. 


Pesta Buku 2012, seperti biasa lah, ramai orang. Sesak. Tapi ini petanda bahawa rakyat Malaysia cintakan buku. Betulkan?

Alhamdulillah, aku sudah miliki apa yang aku cari. Mungkin ianya nampak remeh di mata orang lain, tapi, ianya satu langkah aku dalam mengejar cita-cita aku.

Sekarang, aku dalam masa yang agak sibuk. Nanti, InsyaAllah aku ceritakan di sini apa yang aku buat. Sekian sahaja...

Tuesday, May 1, 2012

Potto dan Pasu


Kiri Potto, kanan Pasu.
Mereka dah semakin besar.
Comel kan?