Friday, January 31, 2014

Majalah Jom!

Ada beberapa naskah majalah Jom! berada di bilik ku. Itu semua, kerana adikku Diba tinggalkannya apabila dia pergi belajar keluar negara. Ya, itu majalah adikku. Tak pernah pula aku baca majalah sebegitu. Dengan moto di kulit majalah itu: "Dakwah itu mudah!" menggerunkan aku untuk cuba membacanya.

Tapi, pada suatu hari, entah bagaimana tangan aku ini tiba-tiba tergerak untuk membelek majalah-majalah tersebut.


Rupa-rupanya, sebaik sahaja aku tahu apa yang terkandung dalam majalah itu, aku seolah-olah tak mampu berpatah balik. Aku tak mampu untuk pura-pura aku tak pernah membacanya. Sekali dah terbaca, selama-lamanya hidup kau akan terus berubah. Begitu sekali perasaannya.


Kesannya kepadaku begitu kuat. Dunia tiba-tiba kelihatan lain. Cara aku melihat dunia berubah menjadi lain. Cara aku berfikir turut berubah. Cara aku menerima semuanya juga berubah. Bunyi seperti dongeng bukan? Nak tahu sendiri dongeng atau tidak, cuba anda dapatkan sendiri majalah Jom! di pasaran. Lihat sendiri, adakah anda turut rasa seperti yang telah aku rasa?

Semalam, aku menghadiri interview dengan pihak majalah Jom!. Nak cuba nasib bekerja di sana. Alhamdulillah interview tersebut berjalan lancar. Tapi sama ada aku diterima atau tidak, belum tahu lagi. Itu semua terletak pada rezeki. Kalau ada rezeki, adalah. Jika tidak, aku pulang ke tempat kerja aku yang sepatutnya. Apa yang menariknya, mereka memberi dua naskah majalah jom! kepada aku sebelum berpisah. Alhamdulillah... 




Majalah Jom!. Sila cari majalah ini di kedai buku berhampiran anda. Takkan rugi. Percayalah!

Itu sahaja kisah bosan dari aku. Terima kasih bagi yang sudi baca. InsyaAllah kita berjumpa lagi dalam post akan datang. Siapa pernah baca jom! bolehlah beri sikit pendapat anda. Kita sama-sama mencari redha Allah bukan? Hidup ini indah..


Friday, January 24, 2014

Liga Prajurit

Aku langkah kanan barangkali? Pelukis komik Liga Prajurit, Zharif memberi aku senaskah salinan komiknya kepadaku. (sebenarnya aku yang minta). Sebelum ini, aku sentiasa mengikuti perkembangan karya-karyanya di blog Liga Prajurit. Alhamdulillah kini mampu memiliki senaskah salinan untuk disimpan di rak sendiri.



Selepas membaca karya tersebut, perkataan yang boleh aku gambarkan komik ini adalah.. 'Wow!' Inilah contoh karya yang aku nanti-nantikan dari pelukis komik tanah air.

Aku seorang yang suka kepada seni tradisional. Perkara yang paling menarik perhatian aku dalam komik ini adalah, pembaca dapat melihat ukiran atas pintu rumah, keris, pending, cucuk sanggul, gamelan, dan banyak lagi yang membuatkan pembaca rasa seperti telah kembali ke zaman dahulu. Bukan itu saja, malah gaya dan gerak tubuh setiap watak juga terasa seperti benar-benar orang Melayu lama. Cara duduk bersila, cara perempuan berjalan, malah yang paling hebat, cara berlawan juga ada. Pelukis komik ini tentu telah melakukan banyak kajian, ataupun barangkali pelukis ini datang dari zaman dahulu. (Hehe.. Zharif, jangan marah)

Dari segi style lukisan, panel, latar belakang atau figure, bagi aku tak ada masalah. Sudah hebat. Tapi aku percaya ianya akan lebih hebat satu hari nanti. Sebab pelukisnya masih muda. Masih banyak masa lagi untuk asah skill.

Mengenai ceritanya pula, sekelip mata aku boleh suka kepada dua watak utama, Faris dan Mirza. Perwatakan mereka ditonjolkan dengan baik. Mereka buat cerita jadi menarik dengan perangai mereka yang tak berapa nak serius tu.

Rasanya itu saja aku nak cakap buat masa ini. Aku akan nantikan karya baru dari Zharif. Tentu akan lebih menarik. Anda semua, bolehlah pergi blog Liga Prajurit untuk melihat sendiri karya ini. Jangan lupa nyatakan pendapat anda tentangnya di sini.

Sekian saja dari aku.. Hidup ini indah...


Thursday, January 16, 2014

Kamu yang terbaik




Semasa aku masih kanak-kanak, aku pernah menanam pokok betik. Kemudian, beberapa anak pokok betik tumbuh dalam keadaan yang rapat antara satu sama lain. Aku sayang kesemua anak pokok betik tu. Satu hari, bapa saudara ku datang melawat. Dia mencabut anak-anak pokok betik tu, dan hanya membiarkan sebatang pokok betik yang paling tinggi sahaja untuk hidup. Katanya, pokok-pokok ni akan bersaing untuk hidup. Jadi kita biarkan sebatang yang paling tinggi sahaja hidup agar mereka tidak bersaing.

Ketika itu, aku mempelajari sesuatu. Hidup ini memang tentang persaingan. Jika anda tak boleh jadi yang terbaik, anda akan dibuang untuk beri laluan kepada yang lain. Malah, kehidupan juga menunjukkan tentang persaingan setiap masa. Dalam peperiksaan, ada nombor untuk membezakan anda dengan orang lain. Dalam setiap kertas ujian juga ada markah. Wah, dia dapat 88%.. Aku dapat 86% je.. Begitulah contohnya.

Persaingan itu seolah-olah tiada penamat. Sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej! Kita terus bersaing... Jika tak bersaing, kita akan ketinggalan. Jika kita berjaya melakukannya dengan baik, orang yang lebih baik dari kita tetap akan muncul. Lumrah alam barangkali. 

Cukup! Aku bosan dengan persaingan sia-sia yang akhirnya, bukan membawa manfaat kepada aku pun. Mungkin aku patut melihat anak-anak pokok itu dari sudut berbeza. Ia bukan mengenai aku dan orang di sekeliling ku lagi. Kini aku lihat anak-anak pokok itu semuanya adalah diri aku sendiri. Ya, kesemua anak-anak pokok itu mewakili aku. Aku tetap kena buang semua anak pokok kecuali kekalkan satu yang terbaik sahaja. Baik, mari cuba buangkan ego, malas, pemarah, lalai, dan kekalkan hanya 'hijrah'. Kemudian, jaga pokok hijrah itu sampai ia mampu membesar dan menghasilkan buah. InsyaAllah.

Pokok betik yang aku tanam masa sekolah rendah itu dulu, ia membesar dengan baik sekali. Menghasilkan buah betik untuk aku. Tapi, tahukah apa terjadi pada pokok itu? Ia telah ditebang kerana ia terlalu besar dan  boleh merosakkan simen di sebelahnya. Aku sedih. Tapi sekuang-kurangnya ia memberi aku sedikit kebahagiaan sepanjang hayatnya. Pengajaran dari kisah ini, kita manusia satu hari nanti juga akan mati. Sebelum tarikh kematian itu tiba, serlahkanlah yang terbaik dalam diri kita yang selama ini tenggelam kerana sifat-sifat buruk yang lain. Seperti anak-anak pokok yang terpaksa dibuang untuk memberi ruang kepada anak pokok yang terbaik, seperti itu jugalah kita kena buang sifat buruk kita untuk beri laluan kepada sifat baik kita.


Hidup, bukan mengenai bersaing dengan orang disekeling kita. Ia adalah mengenai bersaing dengan diri sendiri. Mampukan aku yang hari ini menjadi lebih baik dari aku yang semalam? Tanya soalan begini pada diri masing-masing. Serlahkan yang terbaik diri anda boleh serlahkan. Ayuh, hijrah!


Semua ini ditulis atas pendapat sendiri sahaja. Mana-mana yang salah, tolong betulkan. Mana-mana yang kurang, tolong tambahkan. Kita sama-sama mencari redha Ilahi bukan?

Sampai sini saja buat masa ini. Ingat ya, hidup ini indah!


Thursday, January 9, 2014

Mari buat Ice Cream Cake

Semasa hari jadi Umi tempoh hari, aku berani-berani cuba buat ice cream cake, walaupun tak pernah buat sebelum ini. Selepas mengkaji beberapa resipi di internet, aku ubah suai resipi nternet ikut cara aku. Err.. sebenarnya bukan ubah suai, tapi terpaksa ubah berdasarkan bahan apa yang aku mampu dapatkan. Nasib baik la ice cream cake itu menjadi walaupun kejutan sudah tak jadi. Haha..

Selepas siap, aku post gambar ice cream cake itu di instagram. Niat nak menunjuk-nunjuk kepada adikku Tonah yang turut suka menunjuk semua benda yang dia masak di instagram. (Niat tak baik tu. Mohon jangan sesiapa contohi. Aku sendiri kesal) Aku dan Tonah, baru-baru ni seperti suka lawan masak pula. Pelik tu. Oh, siapa nak follow instagram aku, boleh saja. Cari 'amnashark' ya?

Kepada rakan-rakan yang meminta resipi, hari ini aku nak berkongsi cara aku buat ice cream cake. Tak pernah pula blog aku memiliki resipi. Pelik bukan? Tak apa, baca sajalah. Mana tahu berguna.


Amat mudah!!! Benar-benar amat mudah! Apa yang perlu, dapatkan dulu bahan-bahan seperti di bawah:


Bahan-bahan:
1. Biskut Chipsmore (mungkin sekitar 18-20 keping, bergantung kepada saiz dulang anda)
2. Dua jenis ice cream yg berlainan perisa. (kalau nak cantik, pilih warna yang berbeza)
3. Mentega (kuantiti bergantung kepada jumlah biskut anda. Mungkin separuh dari sebuku mentega)


Mula-mula, hancurkan biskut dan cairkan mentega. Campur keduanya dan gaul.


2. Guna dulang yang boleh ditolak lantainya. (tak tahu apa nama dulang ni. maaf) Ambil campuran biskut dan mentega tadi dan padatkannya pada seluruh lantai dulang dan dinding dulang. Selepas itu, masukkan ke peti sejuk (frozen) selama 15 minit.


Selepas itu, ambil satu jenis aiskrim dan biarkan ianya lembik dahulu. Lembikkan saja, tak perlu cair sampai jadi air. Ratakan aiskrim itu dalam dulang tadi. Masukkan semula dalam peti sejuk (frozen) selama 30 minit. Selepas itu, ulang langkah yang sama untuk layer atas, dengan menggunakan lagi satu perisa aiskrim.


Hias lah ikut cita rasa sendiri. Akhir sekali, masukkan semula ke dalam peti sejuk (frozen) selama 4 jam atau lebih. Kena sabar menanti ya. Nah!!!! Siap!!! ice cream cake mudah dan malas, tapi InsyaAllah hasilnya cantik dan sedap.

Serlahkan kreativiti mu!! Gabungkan perisa-perisa aiskrim yang unik mengikut citarasa masing-masing. Boleh juga campurkan chocolate chips, chocolate rice, m&m, marshmallow atau kekacang ke dalam aiskrim semasa ia lembik tadi, sebelum masukkan ke dulang. Terpulanglah, ikut selera masing-masing.

Selamat mencuba!!!



Peliknya, aku buat resipi kat blog? Haha.. tak apalah.. Jumpa lagi dalam post akan datang. Hidup ini indah!!!




Saturday, January 4, 2014

Aku Islam, tapi...







Apa pandangan anda tentang cerita di atas?

Bertuahnya anda.. Lahir-lahir sudah lahir dalam keluarga Islam. Sejak kecil sudah diasuh untuk mendirikan solat, membaca Al-Quran dan menutup aurat. Alhamdulillah, solat jarang sekali tinggal. Quran tak pernah berjauhan. Aurat terjaga.

Hingga kini, hidup sehari harian anda sempurna mengikut cara Islam. Eh, nanti dulu. Sempurna? Anda pasti? Bukan anda ke yang ada teman lelaki atau teman wanita itu? Bukan anda ke yang selalu bergosip sampai semua cerita panas dalam kampus ini anda tahu? Bukan anda ke yang selalu cakap besar macam anda sorang je hebat? Bukan anda? Kalau bukan, baguslah...

Hidup sebagai seorang muslim, bukan sekadar solat dan mengaji Al-Quran saja. Ia bukan sekadar apa yang tubuh kita lakukan. Ia juga mengenai apa dalam hati kita. Tanamkanlah rasa cinta kepadanya-Nya melebihi segala-galanya di dunia ini. Jika betul kau kata kau cintakan Allah SWT, mengapa masih langgar larangannya?

Jika anda tidak seperti contoh di atas, Alhamdulillah. Tapi jika anda memang serupa seperti di atas, bagaimana ya? Pernah anda fikir seketika? Kita ni Islam, tahu rukun solat, bacaan tajwid, halal haram, semua tahu. Tapi mengapa kita masih melakukan beberapa perkara yang ditegah dalam Islam? Dah tahu couple tu salah, dengan bangganya anda tayang muka kekasih anda di lawan sosial berserta kata-kata konon sweet: "He/She is my everything..".. Err.. Kakak, belum tentu dia jodoh awak ler..

Ambil masa seketika fikirkan. Bertuahnya kita, lahir-lahir saja sudah lahir dalam keluarga Islam. Sedangkan ramai lagi di luar sana yang belum Islam kerana belum kenal Islam. Jadi kita yang Islam ini, menjadi tanggungjawab kita, tunjuk imej baik sikit sebagai Islam. (Bukan baik sikit, baik banyak) Jangan kerana kau seorang, pandangan orang terhadap Islam terus serong.


Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik. 
(3:110)



Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku
(51:56)



Itu saja yang aku nak tulis buat masa ini. Tidak memerli sesiapa, tapi lebih kepada peringatan. Termasuk untuk ingatkan diri sendiri lah. Mana yang aku silap, tolong betulkan. Mana yang aku kurang, tolong tambahkan. Kita sama-sama mencari redha Ilahi bukan?

Sekian..
Hidup ini indah...