Friday, July 24, 2015

Kapal tanpa destinasi


Beberapa minggu lepas (agaknyalah).. Aku pernah mendapat satu mimpi. Aku bermimpi aku menaiki sebuah kapal. Bersama ku ada beberapa orang yang lain. Aku tak kenal mereka.

Setelah seketika kapal tersebut berlayar, kapal tersebut berhenti di pelabuhan. Beberapa orang turun dari kapal. Kapal tersebut sambung berlayar, dan kemudian berhenti di pelabuhan lain pula. Beberapa orang lagi, turun dari kapal. Tiba-tiba aku pun nak turun dari kapal juga.

Namun, aku tak mampu untuk turun dari kapal itu. Seolah olah ada dinding invisible yang menghalang aku. Seseorang yang melihat kejadian itu berkata, "Kena ada keinginan nak turun kapal yang kuat, baru boleh turun dari kapal ini." Aku pun menjawab, "Ya, aku ada keinginan yang kuat.." Tapi, sambil aku jawab, sambil aku berfikir: "Mungkin keinginan aku tak cukup kuat?" Jadi, akhirnya aku tak turun dari kapal dan teruskan berlayar.

*****
Begitulah mimpi aku. Apabila aku terjaga dari tidur, aku terdiam sejenak. Terasa amat mendalam maksud mimpi ini.

Mungkin agak kena dengan aku. Ketika ini, aku belum ada destinasi (pelabuhan). Aku sekadar menikmati kehidupan bebas berlayar.

Benar, mimpi hanyalah mainan tidur. Cuma aku pun tak faham mengapa mimpi aku perlu memerli aku. 

Ini antara post lama aku, yang seakan akan begini juga:



Tuesday, July 7, 2015

Pendar Ratna episod 1 sudah boleh dibaca !






Hai semua.. Aku nak beritahu, betapa aku terharu dengan pembaca-pembaca Pendar Ratna yang sentiasa bertanya bilakah boleh baca lagi Pendar Ratna. Kini, episod 1 Pendar Ratna dah boleh baca di sini. 

Jika anda suka komik tersebut, sila undi di sini.

Undian anda penting bagi memastikan Pendar Ratna boleh diteruskan. Tolong ya semua.. Terima kasih.

Sudah baca episod 1 Pendar Ratna? apa pandangan anda? Tinggalkan komen anda. Lagi sekali, terima kasih semua...


  

Thursday, July 2, 2015

Seharum Kopi



(Pelik tak? Tiba-tiba lukis style lain? Saja.. konon cover novel. Haha..)


Aku dan kopi bukanlah satu kombinasi yang baik. Semua rakan-rakan terdekat ku tahu bahawa aku tidak minum kopi. Jika disuruh buatkan air kopi untuk orang pun, aku tak reti. Yalah, jika diri sendiri tak minum kopi, bagaimana mahu reti buat kopi? (Harap bakal mak mertua tak baca ini.) Pernah satu ketika aku menjalani latihan praktikal, aku disuruh bancuh kopi satu jug kepada pekerja-pekerja di situ. Terkial-kial aku dibuatnya. Nasib baik ada sorang akak tolong.

Namun, disebalik kisah aku yang tak minum kopi ini, sebenarnya tersembunyi satu kisah menyentuh perasaan yang tiada siapa tahu. Cewah... ayat agak poyo di situ. Begini kisahnya...

...................................flashback..............................

Entah berapa tahun yang lalu, aku merupakan seorang kanak-kanak yang comel. Yelah, yelah, bukan aku puji diri sendiri. Sekadar nak buat ayat sedap je. Jangan marah. Dengan mini skirt dan rambut ala-ala Dora the explorer, begitulah sedikit gambaran diri kanak-kanakku. Minuman kegemaran aku ketika itu adalah, kopi. Ya, kopi.

Tapi, aku mempunyai Umi yang cukup jaga pemakanan anak-anaknya. (Beliau patut dapat award 'the best mother') Umi cukup jaga makanan yang diambil anak-anaknya. Dari kecil lagi aku dah didedahkan dengan perkataan protein, carbohydrate, calcium, vitamin dan sebagainya. Kenapa kena makan nasi? Sebab carbohydrate.. Kenapa kena makan ikan? Sebab protein.. Susu untuk calcium, buah untuk vitamin... Hebat tak Umi aku? Mempunyai Umi begini, memang tak bolehlah untuk seorang kanak-kanak minum air kopi.

Sekali-sekala, Mok (gelaran untuk arwah nenek aku) akan datang bertandang ke rumah kami. Mok selalu buat air kopi. Menyibuk kami empat beradik nak minum kopi yang Mok buat. Mok bagi saja kopi kepada kami. Kopi Mok buat adalah kopi yang paling sedap di atas muka bumi ini. Tapi ada satu persoalan yang aku belum dapat selesaikan. Adakah kopi Mok memang benar-benar sedap? Atau aku rasa sedap kerana aku dilarang minum kopi? Biasalah manusia, benda yang dilarang itu yang akan jadi sedap.

Ketika aku berusia 8 atau 9 tahun, Mok pergi menghadap Ilahi. Selepas itu, aku tak minum kopi untuk tempoh yang agak lama juga. Pada suatu hari, entah di mana.. Agaknya di rumah kawan kepada ibu bapaku. Tuan rumah hidang air kopi. Haruman kopi tersebut benar-benar membuatkan kenangan lama kembali. Aku terkenang Mok. Namun, sebaik sahaja aku menghirup air kopi tersebut... puii... tak sedap!!!

Sejak tu, aku mula sedar yang sesiapa menghidang kopi pun, takkan mendapat rasa kopi yang sedap. Hanya bau sahaja yang harum seharum kopi Mok. Tapi rasa, memang tiada yang menandingi kopi Mok. Maka, sehingga kini aku hidup di atas muka Bumi tanpa minum kopi kerana kopi yang sedap sudah tiada. Misteri kekal misteri.... Mengapa hanya kopi Mok yang sedap?

Tamat.

(Diharap penggemar kopi tidak marah aku kerana cerita ini. Ini hanyalah pendapat peribadi, tiada niat mahu kutuk mana-mana jenama kopi. Sekian...)


Sunday, June 21, 2015

Sampul Duit Raya Pendar Ratna



Komik Pendar Ratna aku, agaknya tak lama lagi akan mula disiarkan episod 1. Sementara menunggu episod 1 keluar, Pendar Ratna nak beraya dulu. Maka, inilah sampul duit raya Pendar Ratna!!!

Terharu juga melihat komik aku mengeluarkan produk. Namun ini hanya produk edisi terhad. Jadi, jika anda berminat untuk memilikinya, sila pergi ke link ini, dan ikuti cara-cara di situ.

Selamat menyambut Ramadhan semua. Jangan lupa beraya dengan sampul duit raya Pendar Ratna.



Friday, June 5, 2015

6 perkara mengenai Pendar Ratna

Seperti yang aku pernah ceritakan sebelum ini, aku ada buat komik baru, Pendar Ratna tajuknya. Alhamdulillah, syukur.. Pendar Ratna berjaya disirikan. Dalam erti kata lain, anda akan dapat membaca sambungannya tak lama lagi. InsyaAllah. Terima kasih buat yang menyokong dan tak henti-henti memberi semangat kepadaku saat aku hampir putus asa.

Sementara menunggu sambungan Pendar Ratna, biarlah aku bercerita sedikit mengenai Pendar Ratna. Berikut adalah 6 perkara mengenai Pendar Ratna: (mungkin ada yang sudah tahu, tapi, tidak apa lah, aku cerita ulang-ulang. Haha..)


1. Maksud 'Pendar Ratna'



Menurut Kamus Dewan, 'Pendar' bermaksud: Cahaya atau sinar seperti yang kelihatan pada kunang-kunang (permukaan laut di waktu malam dll)

Panjang lagi huraian dalam Kamus Dewan. Jika mahu tahu, dipersilakan buka Kamus Dewan.

'Ratna' pula bermaksud 'permata', 'manikam' atau 'intan'.

Kenapa tajuk diberi sekian rupa? Ini kerana dalam komik ini, aku akan sentuh soal 'nilai'. Jika permata itu sesuatu yang bernilai, ini pula mengenai nilai dalam diri manusia. Tak perlu kupas panjang lebar, nanti jangan lupa baca ya?



2. Intan, watak utama


Nama watak utama dalam cerita ini, Intan, juga bermaksud 'permata', sama seperti maksud 'ratna'. Kebetulan? Kebetulan yang disengajakan.



3. Putera Kayangan


Percaya atau tidak, watak Putera Kayangan telah ku reka sejak tahun 2011 lagi. Namun cerita mengenainya tak pernah sempurna direka. Asyik mengalami perubahan saja. Pendar Ratna adalah hasil cerita yang asyik diubah suai sejak dulu.



4. Muzium Seri Bakawali.


Muzium Seri Bakawali adalah sebuah Muzium rekaan, tidak wujud. Namun rupa bentuk bangunan tersebut berasal daripada bangunan Muzium Sultan Alam Shah. Bagi yang menetap di Shah Alam, anda mungkin sering melihat bangunan tersebut.

Nak tahu satu rahsia? (Ahaha.. tak rahsia pun) Aku sendiri pernah menjalani latihan praktikal di Muzium Sultan Alam Shah. Mula-mula dapat idea cerita ini sebab diri sendiri pernah praktikal di muzium lah.



5. wajah-wajah awal Putera Kayangan


Gambar di atas adalah antara rekaan-rekaan awal rupa Putera Kayangan. Pelbagai kostum telah aku cuba berikan kepadanya, namun rambutnya tetap seperti itu. Rambut panjang dan menutupi sebahagian muka. Ini kerana aku rasa rambut panjang kelihatan misteri. Ok, sebenarnya, sebab aku suka lelaki berambut panjang. Ahahaha... ok, next... 


6. Penasihat utama Pendar Ratna


Komik Pendar Ratna ini, selain aku sebagai pelukis dan penulis, ada seorang Tuan Penasihat. Dia adalah, adik aku sendiri, Najaa. Najaa merupakan adik bongsu aku, berusia 14 tahun. Memandangkan dia seorang yang kuat baca komik, bijak pula tu.. Aku selalu mendapatkan nasihat mengenai Pendar Ratna daripadanya. Jadi, buat masa ini, selain diriku, Najaa adalah satu-satunya manusia yang tahu jalan cerita ini. (Tapi, janganlah pergi korek rahsia dari Najaa pula. Haha..) Sekarang Pendar Ratna juga memiliki seorang editor. Tapi aku belum beri sinopsis cerita kepada beliau lagi. Selepas ini aku akan ikut nasihat beliau pula.


Buat masa ini, cuma 6 perkara ini sahaja yang aku terfikir nak ceritakan. 

*****
Masih banyak benda yang aku perlu pelajari dalam menghasilkan komik. Harap kesemua guru komik yang pernah mengajarku tak bosan untuk terus ajar aku.


Sekian... Layan lah teaser Pendar Ratna ku: