Thursday, May 30, 2019

Rentak sama berulang lagi.

Aku kembali membaca penulisan-penulisan ku di blog ini. Penulisan-penulisan 7 atau 8 tahun yang lalu. Aku menyedari, aku banyak bercakap mengenai 'perjalanan'. Ya, perjalanan hidup ku. Sesuai dengan tujuan blog ini ditubuhkan, memang aku mahu mencatat perjalanan hidup ku di sini lebih-lebih lagi perjalanan dalam dunia seni.

Usia ku kini sudah tua. Tentu saja pemikiranku tidak sama seperti aku yang dulu. Namun apa yang mengejutkan aku adalah, aku bagai banyak mendapat nasihat dari diri ku dari masa yang lalu. Aku yang dulu lebih banyak berfikir. Lebih banyak positif. Lebih tinggi cita-cita dan harapan.

Ada sesuatu yang aku sedar, tidak berubah sejak dahulu. Aku telah ulang-ulang rentak hidup yang sama. Sejak dahulu, aku akan melalui fasa bersemangat mahu meneruskan bidang seni halus. Seterusnya, fasa lari dari bidang melukis. Seterusnya fasa serba salah dengan hala tuju hidup ku. Akhirnya fasa kembali ke bidang melukis. Kemudian, rentak yang sama berulang lagi, lagi dan lagi.

Ketika saat post ini sedang ditaip, aku sepatutnya perlu menyiapkan komik ku. Namun fokus ku telah lari ke bidang lakonan, iaitu kerja sambilan ku kini. Ini mengingatkan aku, bahawa bertahun-tahun dahulu, perkara begini sudah pun terjadi berkali-kali. Dan ketika itu aku pilih lari ke teater. Aku aktif kelab teater zaman dulu. Tak banyak beza dengan kisah hari ini ya.

Namun, aku bagai sudah tahu pengakhirannya. Rentak sama bakal berulang. Aku akan pulang melukis jua nanti. Tinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya pulang ke belakang kerbau. Aduh, serupa sekali seperti yang pernah ku tulis satu ketika dahulu di sini:

..akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.

Kenapa aku perlu lari dari melukis? Aku sendiri juga tak tahu. Aku dilahirkan dengan bakat melukis. Kononnya kecik-kecik lagi sudah pegang pensel. Lahir pula dalam keluarga pelukis. Bakat dan minat aku dipupuk sejak kecil oleh kedua ibu bapa ku. Sejak zaman persekolahan lagi, aku sudah nampak, bahawa aku ni nanti akan melukis sampai besar. Kerja aku nanti melukis. Sehingga aku tak berapa pentingkan subjek lain di sekolah. Adakah aku mengeluh? tidak! Betapa aku bersyukur dengan hidup yang diberikan Tuhan ini.

Jadi, atas alasan apa aku mahu lari dari melukis? Lari lah Amna! Lari! Lari! Lari dari melukis! Kerana aku tahu, selagi hayat dikandung badan, aku akan pulang juga nanti.


Saturday, April 20, 2019

Bukan Rakan yang Baik


Aku bukan seorang rakan yang baik. Aku tahu kau dalam masalah. Tapi aku tak berani untuk bertanya: "Kau okay?" Sebab aku tahu kau akan jawab: "Tak". Maka aku pilih untuk diam.

Tambahan pula aku tahu dengan kudrat dan kemampuan aku, aku tidak mampu membantu. Masakan seekor burung kecil boleh membantu Sang Singa? Beratnya ujian yang ditanggung kau, sahabat. Sehingga tiada kata-kata aku boleh beri untuk pembakar semangat. Maka, aku pilih untuk diam.

Aku tidak pandai menyusun ayat. Aku tidak pandai bermanis mulut. Aku tidak pandai memujuk. Kerana itu aku pilih untuk diam.

Oh Tuhan, tolong berikan dia kebahagiaan. Permudahkanlah urusannya. Berikan dia kesihatan yang baik. Buat sesiapa saja yang baca ini, tolong aminkan doa ini.

Aku sayang kau. Serius.



Friday, March 22, 2019

Ringkasan 2018 Amna Shark

Aku rindu blog ini. Inilah tempat aku catitkan hampir semua pengalaman atau pemikiran ku. Ia adalah jurnal ku. Namun, kesibukan hidup membuatkan aku tidak berkesempatan meneruskan rutin ku semenjak dahulu. 

Kebiasaannya, setiap hujung tahun aku akan membuat ringkasan tahun tersebut, dan mensyukuri segalanya dalam tahun itu. Ini, 2019 telah berlalu beberapa bulan, namun kisah ringkasan 2018 ku belum tertulis. 

Di sini, biarlah aku himpunkan gambar-gambar sepanjang 2018, tanpa apa-apa tulisan cerita mengenainya. Semoga Amna di masa hadapan apabila membaca blog ini, masih tahu apa yang Amna pada hari ini cuba sampaikan walau cuma melalui gambar. 

Alhamdulillah untuk 2018. Semoga terus kuat wahai diri, untuk menempuh 2019.


























Monday, July 30, 2018

Di dalam impian mu


Satu ketika dahulu, tatkala kita berdua masih muda dan mentah, kita pernah bersembang mengenai impian. Aku suarakan keinginan ku, betapa aku teringin panjat bukit, naik gunung, melihat keindahan alam. Namun apa daya, kondisi kesihatan aku, tidak mengizinkan aktiviti lasak seperti itu. Kau pujuk aku. Kau kata, tak apa, nanti carilah suami yang boleh menemani aktiviti tersebut supaya ada seseorang menjaga ku. Terdetik juga dihati ku, andai kau sahaja tawarkan diri menjaga aku dan kita sama-sama pergi naik gunung.

Kau juga, ceritakan impian kau. Kau ingin mengembara melihat dunia. Kau ingin travel. Kau ingin bersama backpack pergi ke pelbagai negara.

Tahun demi tahun berlalu. Masa telah pudarkan persahabatan kita. Kita yang amat akrab dahulu, entah bagaimana tidak lagi seperti dulu. Kita masih bertegur sapa. Namun tidak lagi bersembang kerap seperti dahulu. Tidak lagi bercerita mengenai impian masing-masing.

Aku, Alhamdulillah.. Tuhan izinkan aku melawat ke beberapa negara semenjak usia pertengahan 20an sehingga lewat 20an ini. Sedar tak sedar, travel sudah menjadi kesukaan aku. Aku lihat, kau like segala posting ku di media sosial mengenai travel ku.

Kau, ku ikuti media sosial kau. Kini kau kerap kali panjat bukit dan gunung, meredah hutan. Aku like gambar-gambar tersebut.

Sekali-sekala, aku termenung. Agaknya, sedar kah kau? Aku kini hidup dalam impian kau. Manakala kau pula hidup dalam impian aku.

Tuhan berikan aku, sesuatu yang kau ingin. Dan Tuhan berikan kau, sesuatu yang aku ingin.

Mari kita bersyukur dengan apa yang kita miliki. Sesuatu yang kita miliki itu, kemungkinan sesuatu yang orang lain impikan. Seperti aku yang hidup dalam impian kau, dan kau yang hidup dalam impian aku.


Sunday, June 3, 2018

Di mana

Semakin hari, semakin tua. Cita-cita juga, selepas satu persatu tercapai. Jika aku yang muda dulu tahu apa yang aku kini telah kecapi, tentu dia tak sabar nak tua.

Namun, dalam pada aku dilihat telah miliki segalanya, sebenarnya di sudut hati, aku masih mencari-cari tempat untuk ku. Aku juga tak tahu, tempat apakah itu. Aku ketagih untuk travel. Sebelum ini, setiap tahun, sekurang-kurangnya sekali aku mampu travel. Namun tahun ini, kerana aku berjaya miliki studio, aku tak mampu untuk travel disebabkan komitmen yang harus ku berikan kepada studio. Orang lain mungkin anggap, travel itu cuma satu hobi generasi sekarang yang suka menunjuk-nunjuk di instagram. Tapi cuma aku tahu. Aku mencari 'tempat' untuk ku di dunia ini.

Makin tua, kawan-kawan menjadi semakin ramai. Lagi-lagi kerana banyak urusan kerja, jadi makin bertambah juga kawan atas urusan professional. Tapi, walau kawan ramai sekalipun, aku masih cari tempat yang mengalu-alukan diriku walau ketika aku tidak bersikap profesional.

Dalam kalangan adik beradik aku sendiri pun, aku rasa tak masuk. Bukan salah mereka. Mereka sempurna serba serbi. Sempurna sampai tahap, jika berkumpul saja, yang salah, mesti aku. Seolah olah aku spesis dari planet lain. Aku tak rasa seperti aku salah seorang dari mereka.

Jujur aku cerita di sini, sebenarnya bila aku makin tua, makin ramai lelaki yang cuba dekati aku untuk ke arah hubungan serius. Tapi, jujur juga aku katakan, cuma dari topik perbualan sahaja, sudahku tahu tempat aku bukan di mereka.

Patutlah Tuhan buat hayat manusia tidak panjang. Sebab, makin lama hidup, makin terasa dunia ini tak ada apa.

Cerita di sini, bukan untuk menyalahkan sesiapa di sekeliling diriku. Aku sedar, aku yang ganjil. Aku yang pelik. Tempat aku bukan di sini. Mungkinkah satu hari nanti aku sampai ke tempat yang benar-benar untuk ku dan mengalu-alukan kedatangan ku?