Thursday, May 30, 2019

Rentak sama berulang lagi.

Aku kembali membaca penulisan-penulisan ku di blog ini. Penulisan-penulisan 7 atau 8 tahun yang lalu. Aku menyedari, aku banyak bercakap mengenai 'perjalanan'. Ya, perjalanan hidup ku. Sesuai dengan tujuan blog ini ditubuhkan, memang aku mahu mencatat perjalanan hidup ku di sini lebih-lebih lagi perjalanan dalam dunia seni.

Usia ku kini sudah tua. Tentu saja pemikiranku tidak sama seperti aku yang dulu. Namun apa yang mengejutkan aku adalah, aku bagai banyak mendapat nasihat dari diri ku dari masa yang lalu. Aku yang dulu lebih banyak berfikir. Lebih banyak positif. Lebih tinggi cita-cita dan harapan.

Ada sesuatu yang aku sedar, tidak berubah sejak dahulu. Aku telah ulang-ulang rentak hidup yang sama. Sejak dahulu, aku akan melalui fasa bersemangat mahu meneruskan bidang seni halus. Seterusnya, fasa lari dari bidang melukis. Seterusnya fasa serba salah dengan hala tuju hidup ku. Akhirnya fasa kembali ke bidang melukis. Kemudian, rentak yang sama berulang lagi, lagi dan lagi.

Ketika saat post ini sedang ditaip, aku sepatutnya perlu menyiapkan komik ku. Namun fokus ku telah lari ke bidang lakonan, iaitu kerja sambilan ku kini. Ini mengingatkan aku, bahawa bertahun-tahun dahulu, perkara begini sudah pun terjadi berkali-kali. Dan ketika itu aku pilih lari ke teater. Aku aktif kelab teater zaman dulu. Tak banyak beza dengan kisah hari ini ya.

Namun, aku bagai sudah tahu pengakhirannya. Rentak sama bakal berulang. Aku akan pulang melukis jua nanti. Tinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya pulang ke belakang kerbau. Aduh, serupa sekali seperti yang pernah ku tulis satu ketika dahulu di sini:

..akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.

Kenapa aku perlu lari dari melukis? Aku sendiri juga tak tahu. Aku dilahirkan dengan bakat melukis. Kononnya kecik-kecik lagi sudah pegang pensel. Lahir pula dalam keluarga pelukis. Bakat dan minat aku dipupuk sejak kecil oleh kedua ibu bapa ku. Sejak zaman persekolahan lagi, aku sudah nampak, bahawa aku ni nanti akan melukis sampai besar. Kerja aku nanti melukis. Sehingga aku tak berapa pentingkan subjek lain di sekolah. Adakah aku mengeluh? tidak! Betapa aku bersyukur dengan hidup yang diberikan Tuhan ini.

Jadi, atas alasan apa aku mahu lari dari melukis? Lari lah Amna! Lari! Lari! Lari dari melukis! Kerana aku tahu, selagi hayat dikandung badan, aku akan pulang juga nanti.


1 comment:

  1. kelinci99
    Togel Online Terpercaya Dan Games Laiinnya Live Casino.
    HOT PROMO NEW MEMBER FREECHIPS 5ribu !!
    NEXT DEPOSIT 50ribu FREECHIPS 5RB !!
    Ada Bagi2 Freechips Untuk New Member + Bonus Depositnya Loh ,
    Yuk Daftarkan Sekarang Mumpung Ada Freechips Setiap Harinya
    segera daftar dan bermain ya selain Togel ad juga Games Online Betting lain nya ,
    yang bisa di mainkan dgn 1 userid saja .
    yukk daftar di www.kelinci99.casino

    ReplyDelete