Sunday, April 26, 2015

Tommy Tompok menjadi ibu

Ini kisah awal bulan lagi. Tapi aku baru berkesempatan nak bercerita kerana diri dilanda kesibukkan yang tak terperi. Begini kisahnya. Si Tommy Tompok kalut mencari tempat tempat yang tersorok di setiap ceruk bilikku yang kecil ini. Lalu tedetik di hati ku, mungkinkah Tommy Tompok mahu beranak? Susah mahu percaya kerana Tommy Tompok masih lagi seekor budak bagi keluarga kami. Malah perangainya yang nakal tahap monyet menyebabkan tak dapat bayangkan jika Tommy Tompok menjadi seekor ibu. Lagipun, badannya yang kecil buat kami tak perasan bahawa dia sedang bunting. Akhirnya, Tommy Tompok duduk dengan selesa dalam sebuah kotak dalam bilik ku. Aku membiarkan dia dan sambung menghadap kerja ku yang bertimbun. Entah  berapa minit kemudian, kedengaran bunyi anak kucing. Ya, Tommy Tompok kini menjadi seekor ibu. Umi aku mendengar khabar ini juga seakan tak percaya dan ketawa.. "Tommy ada anak? Haha.."


Sebelum ini, Tommy Tompok dilihat ber dating dengan si Guli, buah hati ku. Pernah Guli mengiau di tingkap bilikku, lalu Tommy Tompok segera keluar berjumpa Guli. Jadi, apabila Tommy Tompok beranak, aku syak anak-anaknya ini adalah anak Guli. Jika betul ini adalah anak Guli, bahagianya... aku terbayang semuanya perangai seperti Guli, baik, diam, dan suka guling-guling. Oh.. comel sekali.


Namun, aku dihantui bayangan yang menakutkan. Bagaimana jika anak Tommy Tompok semuanya seperti si Tommy Tompok? Berganda-gandalah kenakalan yang aku harus hadapi. Pen hilang. Katil penuh tapak kaki, panjat riba aku, panjat rak, kejar jarum jam, barang-barang atas rak jatuh, kaki mu di lukisan ku, dan lain-lain lagi.


Bagaimanakah rupa anak Tommy Tompok? Nantikan lain hari jika aku rajin cerita. Haha.. kerja masih ada yang perlu disiapkan lah. Terima kasih sudi baca. 



Saturday, April 4, 2015

Gadis Misteri 5 tahun.




Hei.. Tahukah anda? Blog Gadis Misteri telah mencecah usia 5 tahun. Saja nak beritahu..

Sepanjang 5 tahun menghidupkan blog ini, ramai blogger-blogger hebat yang aku kenal. Terima kasih semua..

Tujuan aku menulis blog, tak lain tak bukan, hanyalah sebagai jurnal kisah perjalanan aku di atas muka bumi ini sahaja. Namun, segelintir manusia adakalanya perli aku. "Amna, sikit-sikit tulis blog.." Dengan nada yang sememangnya berbunyi perli lah. Jika anda bukan seorang penulis blog, tidak apa. Bukannya dosa pun kalau tak tulis blog kan? Tapi, tak usahlah perli kami yang menulis blog. Aku dapat banyak kebaikan daripada menulis blog.

 Antara kebaikan yang aku dapat dengan menulis blog adalah..,

1. Aku berkenalan dengan blogger-blogger lain yang mempunyai minat yang sama. Apabila blog aku penuh dengan lukisan, aku menarik minat blogger-blogger lain yang turut minat melukis. Bagus bukan? Aku boleh bertukar-tukar ilmu dengan mereka.

2. Aku tajamkan skill penulisanku. Memandangkan aku bukan lagi pelajar sekolah yang perlu tulis karangan, maka di sinilah tempat aku tulis karangan.

3. Aku tahu apa yang telah aku lalui. Kadang dalam hidup ini, pelbagai ujian kita lalui. Bila aku menulis blog, aku mencatit apa yang telah aku lalui. Jadi apabila sesuatu ujian mencabar datang kepadaku, aku mengingatkan semula diri aku. Aku telah lalui bla.. bla.. bla.. Tentu ujian kali ini juga aku mampu lalui.

4. Aku menolong orang orang yang sama nasib dengan aku. Dalam dunia realiti, agak susah untuk aku bertemu dengan orang yang ada scoliosis seperti aku. Tapi dengan menulis blog, mereka-mereka boleh menemui aku dan kami saling bertukar cerita.

5. Aku bahagia. Ya, aku bahagia menulis blog. Mungkin mereka-mereka yang perli aku menulis blog, sebenarnya cemburu sebab mereka tak merasai kebahagiaan seperti ku. Muahahahahaaha....


Selamat menyambut ulang tahun yang ke-5 wahai blog ku. (hehe.. sendiri ucap.) Aku akan terus menulis di sini selagi diizinkan Tuhan.



Friday, April 3, 2015

Duga Jeladeri oleh Amna Shark




 Mungkin ramai yang sudah tahu, tapi tak apalah, aku ceritakan juga. Ini komik terbaru aku, Duga Jeladeri. Duga bererti cabaran/dugaan atau meneka/menduga. Manakala jeladeri membawa maksud laut dalam bahasa sastera lama.

Duga Jeladeri mengisahkan zaman akan datang di Malaysia. Pada zaman tersebut, penyu disangka telah pupus. Amri, seorang remaja 17 tahun, telah membesar bersama-sama seekor penyu bernama Yun. Ini kerana keluarga Amri membela seekor penyu secara rahsia. Namun, apabila tiba masa untuk Yun pulang ke laut, Amri tak rela berpisah dengan Yun. Maka, bermulalah perjalanan Amri bersama Syafinaz, jirannya, mereka sedaya upaya cuba lindungi Yun. Sepanjang perjalanan mereka, mereka mula mempelajari erti persahabatan, pengorbanan, dan tanggungjawab.

Bagaimanakah nasib Yun nanti? Sama-sama nantikan komik ini siap ya. Buat masa sekarang baru ada bab 1 sahaja. Bab 1 bolehlah baca di sini.

Sebarang kritikan dan pandangan adalah dialu-alukan. Terima kasih..




Friday, March 13, 2015

Ugut mengugut.

Minggu lepas, aku pergi bercuti bersama geng sekepala ku dari universiti. Geng ini dinamakan KITA. Sudah agak lama kami rapat. Seronok juga bercuti bersama-sama walau hanya di Fraser Hill. Bila dah bersama-sama begini, banyaklah mengambil gambar. Sama ada gambar posing, atau candid, semua ada. 


Bila masing-masing dah bersama macam ni, ada saja orang yang mula nak jadi jahat. Mengugut kawan sendiri begini:






Pengajarannya di sini, jangan buat jahat kepada rakan baik anda. Mereka ada 1001 lagi kelemahan anda.

Sekian... Itulah yang dinamakan kawan baik.  Alhamdulillah, masih mempunyai sahabat baik di dunia. Harap kekal hingga Syurga.

Tuesday, March 10, 2015

Aku, 'Baby' dan Sony Experia L

Ini adalah perihal aku dan telefon bimbit. Telefon bimbit yang pertama aku miliki adalah nokia jenis zaman batu, tapi skrin nya ada warna. Bukan yg hitam kuning tu je. Paling canggih dia mampu lakukan adalah MMS. Canggih tu. Aku milikinya selepas aku tamat PMR pada hujung tahun 2005. Beli menggunakan duit raya yang dikumpul. Betapa aku sayangkan dia sehingga aku menggelarnya 'baby'.


Aku menggunakan 'baby' dalam tempoh yang sangat lama. Dari zaman sekolah, universiti, sehingga alam pekerjaan. 'Baby' tetap setia dengan ku. Sehingga apabila aku lepak dengan kawan-kawan dari sekolah, mereka ketawa. "Amna masih guna phone tu!" Kawan-kawan di universiti pun sudah mula bising. "Amna, tukar lah phone tu..." Aku cuma ketawa sambil jawab: "Nantilah bila dah kerja.." Aku jawab untuk sedapkan hati mereka saja. Padahal aku langsung tak ada niat nak tukar 'baby'. Aku sayang phone ini. Selagi dia boleh guna untuk call dan sms, mengapa perlu tukar?


Zaman pantas bergerak. Phone rakan-rakan disekeliling semua sudah berevolusi. Phone mereka bukan sekadar untuk call dan SMS sahaja. Boleh dibuat macam-macam. Namun aku sikit pun tak terdetik mahu menukar phone. Sehinggalah di alam pekerjaan ku, satu hari, 'baby' tiba-tiba tak boleh on kerana butang on sudah tercabut. Tragis sekali pengakhiran 'baby'. Betapa hatiku luluh saat itu, hanya Tuhan yang tahu. Kenangan bersama 'baby' selama 7 tahun lebih datang bertalu-talu ke minda ku. Sambil muzik latar dalam mindaku bermain lagu sedih. Oh 'baby' kau telah bersama ku selama ini dalam susah dan senang. Aku menyesal cakap dulu mahu menukar mu bila dah kerja. Ianya benar-benar terjadi. Kau rosak apabila aku di alam pekerjaan. 7 tahun itu lamanya. Jika dia benar-benar seorang 'baby', dia telah masuk darjah 1. Apapun, perginya dia memang tak akan kembali.


Kebetulan pula, teman lelaki ku juga baru meninggalkan aku ketika itu. Jadi aku telah belajar satu pengajaran dalam hidup. Tiada yang kekal dalam dunia ini. Teman lelaki atau phone, mana-mana pun boleh tinggalkan kita. Maka, apa yang telah tak berguna, haruslah kita mencari ganti. Aku cari ganti phone lah, bukan teman lelaki! Selamat datang Sony experia L ke dalam hidupku. Dengan rupa dia yang putih berseri, sememangnya segak di mata ku. Namun, aku belajar untuk tidak sayang. Aku tidak memanggil yang baru ini dengan gelaran 'baby'. Yang baru ini hanyalah barang. Barang keperluan. Jika esok rosak, akan ku cari lain. Kini, sudah setahun setengah dia bersama ku.


Penukaran dari 'baby' ke Sony Experia L benar-benar adalah satu kejutan budaya buat ku. Bagai dari kayuh basikal tiba-tiba kena pandu helikopter.


Sekian saja kisah aku, 'baby', dan Sony Experia L...  Sedih bukan?