Sunday, March 20, 2016

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 7

Pendar Ratna episod 7 sudah boleh dibaca di sini. Alhamdulillah, dalam kesibukan dan tunggang langgang hidup ku, aku masih mampu menyiapkan episod 7. Di sebalik siapnya episod ini, terdapat kisah-kisah yang tak ramai orang tahu. Hari ini, aku akan bongkarkan kisah-kisah tersebut.

(Sepatutnya sudah lama Pendar Ratna episod 7 update. Tapi aku baru berkesempatan menulis kisah perjalanannya, hari ini. Maaf, kesibukan memburui aku kebelakangan ini. Dan, maaf juga sudah lama tak jenguk blog rakan-rakan. Akan terus kunjung blog mereka sesudah menaip ini)


1. Monyet dan cili
Bagi anda yang sudah membaca episod 7, tentu anda sedar dalam episod ini terselitnya satu kisah rakyat, Sang Monyet dan Sang Kancil bersama cili. Tentu anda semua tahu mengenai kisah rakyat ini bukan?

Aku mendapat idea untuk selitkan kisah ini adalah selepas perbualan dengan pelukis Tamingsari. Entah bagaimana ketika kami bersembang boleh terbuka kisah Monyet dan Kancil ini. Kemudian aku tersedar bahawa pengajaran dalam kisah tersebut bersesuaian dengan episod kali ini, lalu aku masukkannya.


2. Rakan-rakan seperjuangan tarik diri
Ada sesuatu terjadi yang menyebabkan aku pernah berniat untuk tarik diri dari Supreme sebelum siapnya episod 7. Beberapa orang rakan pengkarya ku dari Supreme telah memilih untuk tarik diri. Mereka tarik diri atas sebab-sebab tersendiri. Masing-masing mempunyai sebab berbeza. Namun, dengan pilihan mereka untuk tarik diri, sedikit sebanyak mempengaruhi aku untuk tarik diri juga. Ini kerana, aku juga mempunyai alasan tersendiri.

Jika aku pilih untuk tarik diri dari Supreme, tidak bererti aku tarik diri dari melukis komik. Aku akan terus melukis komik. InsyaAllah. Cuma, apa yang menyebabkan aku terdetik untuk tarik diri, kerana aku juga mempunyai komitmen lain, lagi pula, selepas rakan-rakan sudah tak bersemangat mahu teruskan, semangat aku turut hilang.

Syukur, aku tak buat keputusan terburu-buru. Aku ambil masa pertimbangkan baik buruk dan atur langkah perjalanan ku, malah aku mendapat khidmat nasihat dari salah seorang editor Supreme, aku akhirnya bertekad untuk meneruskan perjuangan di Supreme! Teruskan melukis Pendar Ratna! 

3. Pelukis tambahan
Dalam episod 7, terdapat sedikit scene yang dilukis oleh Sayuti, pelukis komik Forgia. Aku telah meminta bantuannya untuk melukis sedikit kerana aku kejar untuk update juga episod 7, di penghujung bulan Febuari.

Ramai yang dapat mengesan bahagian manakah yang dilukis oleh Sayuti dalam Pendar Ratna episod 7. Apa pendapat para pembaca? Bolehkan jika Pendar Ratna pada masa akan datang terdapat beberapa pelukis untuk membantu? Adakah para pembaca boleh menerima?

4. Perubahan saat akhir
*spoiler alert*
*Jangan baca bahagian ini jika belum membaca Pendar Ratna episod 7*

Pada muka surat terakhir episod 7, jika mengikut skrip asal, sebenarnya ia akan ditamatkan dengan Intan berkata-kata. Namun, pada saat akhir, aku menambah dialog Encik Selamat. Ini kerana, dalam episod 7 aku menekankan tentang 'Mencurah air ke daun keladi'. Seperti yang anda lihat, watak Intan tidak mendengar nasihat. Aku tak mahu tunjukkan pada para pembaca bahawa tidak mendengar nasihat itu adalah sesuatu yang bagus. Aku tak mahu beri contoh tak baik kepada adik-adik di luar sana. Maka aku tamatkan dengan kata-kata dari Encik Selamat: "Kamu akan menyesal kemudian hari dengan kata-kata ini". Menunjukkan apa yang Intan buat bukanlah contoh ikutan yang bagus.

Adikku Tona, kata ianya lebih saspen jika ditamatkan dengan kata-kata dari Intan. Aku pula berpendapat, memberi kesan buruk kepada pembaca, bukanlah sesuatu yang baik. Jadi aku memilih tamatkan dengan Encik Selamat walaupun kesan saspen jadi berkurang dengan tindakan itu.

5. Update serentak! Pendar Ratna dan Forgia.
Pada 29 Febuari 2016, Pendar Ratna update episod 7 serentak dengan Forgia episod 5. Buat pertama kalinya, kami Aretis (gelaran untuk pengkarya Supreme) bekerjasama menghasilkan satu poster gabungan. Maka, inilah poster Pendar Ratna episod 7 dengan Forgia episod 5.



6. Maklum balas luar biasa
Alhamdulillah, syukur. Selepas episod 7 ini, maklum balas yang aku terima dari para pembaca, agak meriah dari kebiasaan. Aku rasa nak menangis terharu. Terima kasih banyak-banyak buat semua pembaca Pendar Ratna. Sayang kamu semua! Teruskan menyokong Pendar Ratna ya?


Thursday, March 17, 2016

Ringan umpama belon

Sudah lama betul aku tidak update blog.
Namun, update kali ini pun sekadar luahan perasaan. Tak usahlah buang masa baca.

Ada tekanan yang amat berat melanda aku sekarang. Terlalu berat. Tak tertanggung rasanya. Tapi apabila diselidik, dikaji, difahami, semuanya berpunca dari diri sendiri. Orang sekeliling atau keadaan sekeliling tidak memberi tekanan kepada aku. Aku sendiri yang beri tekanan itu. Aku sendiri letakkan target yang tinggi sehingga diri sendiri tak tercapai. Aku sendiri yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam apa yang aku lakukan sedangkan aku manusia biasa yang jauh dari sempurna. Aku sendiri yang risau tentang matlamat dan hala tuju sedangkan benda itu tak perlu terburu-buru. Aku sendiri yang buli diri aku untuk menjadi sempurna, hebat. Aku sendiri yang pilih idola, seorang yang terlalu hebat dan tinggi tarafnya. Sekarang, diri sendiri rasa tertekan kerana untuk mencapai tahap beliau, aku tahu aku memerlukan paling kurang 20 tahun lagi.

Jadi, Amna, tolonglah berhenti buli diri sendiri. Sayangi diri sendiri. Buat masa sekarang, tolonglah jadi seringan belon. Biar angin bawa ke mana saja. Jangan risau tentang hala tuju buat masa ini. Ikut saja arus angin. Kau masih muda. Kalau tua pun, peduli apa. Kau masih kanak-kanak lagi. 


Sunday, February 14, 2016

Hantu zaman kanak-kanak aku

Membaca post Cero tentang hantu dari zaman kanak-kanaknya, aku terdetik untuk menceritakan kisah aku pula. 

Pada zaman dahulu, ketika aku masih seorang kanak-kanak comel, ketika arwah Mok (nenek aku) masih ada, aku dan sepupu-sepupu aku selalu kumpul bersama. Kami berenam merupakan cucu perempuan Mok yang selalu bermalam di rumah Mok, tidur bersama, ke mana-mana sahaja ikut Mok. Aduh, rindunya Mok. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa Mok dan tempatkan Mok bersama orang beriman.

Kami berenam adalah:
-Along besar dan Kak Nini (adik beradik)
-Along dan Angoh (adik beradik)
-Ilham dan aku (adik beradik)

Apabila malam menjelma, sebelum tidur kami akan bersembang-sembang dahulu di tempat tidur. Entah kenapa satu cerita hantu ini mesti menjadi cerita sebelum tidur. Bedtime story lah tu.


Hantu yang sering diceritakan itu adalah, kisah hantu yang separuh cantik dan separuh hodoh. Wajah dan badan hantu itu, terbahagi kepada cantik dan hodoh, sebelah-menyebelah. Separuh darinya, teramatlah cantik, manakala lagi separuh, teramatlah hodoh.

 Hantu itu akan mencari sesiapa saja, dan dia akan bertanya soalan: "Saya cantik tak?" Andai dia mendapat jawapan "cantik", dia akan berlalu pergi. Jika dia mendapat jawapan "hodoh", dia akan culik orang tersebut.


Aku percaya pada kewujudan hantu ini. Yelah, aku kanak-kanak yang terlalu kecil ketika itu. Punyalah aku takut sehingga aku bersedia dengan jawapan, andai hantu itu jumpa aku, aku akan jawab "cantik".

Selesai sesi bercerita, cerita akan ditamatkan dengan "Jom baca Al-fatihah. Kalau baca Al-fatihah, hantu ni tak akan kacau" Kami pun beramai-ramai membaca Al-Fatihah. Satu-satunya surah yang aku hafal pada usia tersebut.

Kini, bila terkenang semula hantu ini, aku akan ketawa. Bagaimana aku boleh takut dengan hantu yang sangat kelakar? Cuma perlu jawab "cantik", nak takut apa?


Tuesday, February 9, 2016

Kisah Seram Ketuk Pintu

Malam itu, aku tekun melukis. Jam menunjukkan hampir pukul dua pagi. Cuaca sejuk benar-benar menggoda aku untuk capai selimut kesayangan ku dan tidur. Namun, tak boleh! Ada kerja harus aku siapkan. Sesekali tirai ditiup angin dan menampakkan warna gelap langit luar. Kadang aku terbayang, bagaimana jika ketika tirai bertiup, ternampak wajah hantu? "Pfft.." Aku ketawa kecil. Sungguh berani berimaginasi seram sedangkan aku keseorangan berjaga di malam ini. Keluarga ku yang lain semua sudah lena diulit mimpi.


Playlist lagu memainkan lagu-lagu koleksi aku. Cukuplah lagu yang menjadi peneman aku di malam sunyi ini. Lagu-lagu Malaysia, Indonesia, mahupun barat, tak tentu. Semuanya bergilir-gilir dimainkan. Dalam banyak-banyak lagu, lagu biduanita Saloma antara yang menjadi kegemaran aku. Suaranya tiada tandingan. Tapi, terdetik juga di hati ini, walaupun suaranya merdu, namun jika didengar malam-malam, seram sejuk juga. Mengapa ya?

Sedang aku tekun menyiapkan kerja, tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu. Aku tersentak seketika. Ketukan ini, bukan manusia yang ketuk. Bunyinya lain, lebih kuat, seolah-olah satu pintu itu bergegar. "Ahh.. dia buat hal lagi.." Keluh hatiku.





'Dia' seolah-olah tahu bahawa dalam rumah ini hanya aku yang belum tidur. 'Dia' mesti kacau aku, bukannya keluarga ku yang lain. Ini bukan kali pertama aku dikacau oleh 'dia'. Sebab itulah aku tidak lagi terkejut. Mula-mula aku abaikan saja bunyi itu. Tapi, seperti biasa, semakin aku abaikan, semakin kuat bunyi gegaran pintu itu. Ahh.. 'dia' tahu-tahu saja aku belum tidur. Nak tak nak, terpaksalah aku melayan kerenah 'dia'.


Aku pun menuju ke pintu. Aku buka pintu dan merenung ke wajah makhluk itu. "Nak apa Tommy?" Tanya ku kepada kucing betina ku, Tommy Tompok. Ya, si Tommy Tompok ini pandai ketuk pintu. Sebenarnya bukan ketuk, tapi gegarkan pintu. Dia hulurkan tangannya di bawah pintu dan gegarkan pintu. Dia tahu aku akan terpaksa melayan dia juga jika dia buat begini. Dia tahu jika dia hanya mengiau, aku akan buat-buat pekak.



Dia nak keluar rumah, tapi tiada siapa nak tolong bukakan pintu. Jadi dia datang cari aku di bilik aku. Aku pernah ceritakan sebelum ini dia ialah seekor kucing yang bijak bukan? Susah bela kucing bijak ni.

Lagi kisah Tommy Tompok:
Tommy Tompok
Sabar
Susahnya memiliki kucing bijak

Wednesday, February 3, 2016

Group Whatsapp keluarga









Ketika aku sedang fokus nak siapkan kerjalah, perhatian aku mudah teralih kepada benda-benda remeh begini. Apa nak jadi Amna?

Sekarang rata-rata ramai mempunyai group Whatsapp keluarga sendiri. Keluarga kami juga tak terkecuali. Memandangkan adik beradik aku semuanya duduk jauh-jauh, group ini menjadi amat berguna untuk kami.

Jadi, bagaimanakah group Whatsapp keluarga anda?